1.0 Pengenalan
Hikayat merupakan salah satu bidang kesusteraan Melayu
silam. Cerita-cerita hikayat biasanya berbentuk panjang dan menceritakan
mengenai seseorang atau kejadian yang penting. Pada kebiasaannya, cerita
hikayat adalah warisan dari penceritaan secara lisan, dengan itu ia mengekalkan
format penceritaan lisan. Kebanyakan cerita hikayat ditulis dalam bentuk di
mana, pembaca akan membacanya secara kuat untuk didengari oleh pendengar. Hikayat
berasal daripada perkataan Arab iaitu hikayah
yang bermaksud cerita.
Menurut Wilkinson, beliau memberikan
erti hikayat sebagai narrative, story, dan tale. Walau bagaimanapun, dalam kesusasteraan Melayu lama yang
bentuknya terbahagi kepada dua, iaitu bentuk lisan dan tulisan, kata hikayat
ini lebih kerap ditemui pemakaiannya dalam sastera bertulis. Manakala untuk
bentuk lisan, judulnya bermula dengan 'cerita'.
Hikayat yang dikaji ialah Hikayat Patani yang bertemakan asal usul
pembukaan negeri Patani Dar al-Salam. Hikayat ini mewujudkan
persoalan-persoalan iaitu sikap bekerjasama yang diamalkan dalam membentuk
sebuah negeri yang baharu, sikap berani yang menegakkan kebenaran, kebolehan,
dan kemampuan luar biasa dalam mengubati penyakit, menunaikan janji seperti
yang telah ditetapkan, dan pengislaman seorang pemerintah.
Cerita ini bertarikh seawal
akhir abad ke lima belas, tetapi kemungkinannya direkodkan pada pelbagai masa
antara 1690 dan 1730 oleh sehingga enam pengarang yang berlainan (terdapat enam
seksyen yang pada mulanya ditetapkan oleh pakar bahasa Andries Teeuw dan sejarawan
David K. Wyatt) dan ditulis dalam tulisan Jawi. Cerita ini terselamat dalam
beberapa manuskrip asal lain, terawal disalin oleh Abdullah Menshi pada 1839,
dan berada di Perpustakaan Kongress.
Secara tuntasnya,
Hikayat Patani merupakan sebuah manuskrip Melayu silam. Hikayat ini mengisahkan
sejarah Patani yang berkaitan dengan lagenda dan kesultanan Patani iaitu sebuah
kerajaan Melayu yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia.
2.0
Sinopsis
Hikayat
Patani ini bermula
dengan pemerintahan Raja Phaya Tu Kerub Mahajana di Kota Mahligai.
Setelah beliau mangkat,
digantikan oleh puteranya, Raja Phaya Tu Antara yang menggelarkan diri sebagai
Phaya Tu Naqpa. Pada masa itu negeri Patani dibuka dengan nama Patani
Dar al-Salam. Phaya Tu Naqpa mempunyai dua putera dan seorang puteri
iaitu Kerub Picai Paina, Tunku Mahacai, dan Mahacai Pailang.
Pada masa pemerintahan Phaya
Tu Naqpa negeri Patani menerima Islam. Diceritakan bahawa baginda menghidap penyakit merekah
tubuh. Kemudian, seorang orang Pasai bernama Syekh Said telah
berjanji untuk mengubati baginda sekiranya baginda mahu memeluk Islam.
Setelah memeluk Islam
baginda bergelar Sultan Ismail Syah. Putera sulung bergelar Sultan Mudaffar Syah, puteri
bergelar Siti Aishah, dan putera bongsu bergelar Sultan Manzur.
Perhubungan dengan negara
asing bermula pada masa ini apabila sebuah wangkang dari China datang ke Patani
membawa sebutir peluru yang besar. Melalui peristiwa itu, baginda lalu memerintahkan
pembesar-pembesar supaya mencari tukang membuat meriam dan bedil.
Semasa pemerintahan Sultan
Mudaffar Syah perdagangan di Patani berkembang pesat dan terkenal sebagai
sebuah negara yang memeluk Islam. Kepesatan ini dapat
dilihat apabila terdapat sebuah
masjid dibina pada pemerintahan baginda, seorang syekh dari Pasai iaitu Syekh
Saifuddin diberi gelaran fakih, hubungan persahabatan dengan Ayuthia dijalinkan, dan hubungan dengan Johor
terjalin melalui perkahwinan Raja Kuning dengan Yang Dipertuan Johor.
Dalam
hikayat ini diceritakan tentang Sultan
Manzur Syah yang mempunyai tujuh orang anak iaitu Raja Ijau,Raja Biru, Raja
Ungu, Raja Kuning, Raja Bima (anak gundik), Raja Emas Kerecang (mangkat semasa
berumur lima tahun), dan Sultan Bahadur Syah.
Pengganti Sultan Manzur
ialah Sultan Patik Siam iaitu putera Sultan Mudaffar yang berusia sembilan
tahun.
Namun begitu, atas hasutan
pembesar yang bernama Seri Amrat Raja Bambang iaitu kakanda telah membunuh
Sultan Patik Siam. Kemudian, Seri Amrat membunuh Raja Bambang.
Seterusnya, Sultan Bahadur
Syah menjadi pemerintah tetapi baginda mati dibunuh oleh Raja Bima atas hasutan
Seri Amar Pahlawan. Raja Bima pula dibunuh oleh Seri Amar Pahlawan.
Selepas itu tiada lagi waris
lelaki untuk mewarisi takhta kerajaan Patani.
Pemerintahan dilakukan oleh
raja-raja perempuan. Raja perempuan pertama dilantik ialah Raja Ijau atau
Phra Cau. Baginda menawarkan air sungai Jambatan Kedi dengan
menggali sungai di Tambangan. Bagi menghargai jasa setelah mangkat digelar
Marhum Tambangan. Phrau Cau digantikan oleh Raja Biru.
Pada zaman itu, Raja Kuning
diperisterikan oleh Apya Deca. Oleh itu, berlaku peperangan antara Siam dan Patani.
Tentera Siam dapat
diundurkan. Raja Biru diganti oleh Raja Ungu atau gelarannya
Paduka Syah Alam dan kemudiannya diganti oleh Raja Kuning atau Marhum Besar.
Sampai sini putuslah
salasilah diraja Patani.
Patani kemudiannya bernaung
di bawah pemerintahan seorang anak raja yang berasal dari Kelantan bernama Raja
Bakal atau Marhum Teluk. Pemerintahan seterusnya digantikan oleh Raja Emas Kelantan atau Marhum Kelantan, dan seterusnya Raja
Emas Jayam. Dikisahkan tentang seorang anak raja Kedah bernama
Raja Putera yang lari ke Patani semasa Aceh mengalahkan Kedah.
Baginda mengahwini Sulung
iaitu hamba Nang Kebun dan mendapat seorang puteri bernama Raja Dewi.
Raja Dewi dilantik
menggantikan Raja Emas Jayam dan diberi gelaran Phra Cau.
Negeri Patani diperintah
pula oleh Raja Bendang Badan atau Paduka Syah Alam.
Selepas itu, Patani diperintah
pula oleh Raja Laksamana. Baginda lari ke Senggora kerana berkelahi dengan Datuk
Kun Pangkalan Pauh dan Datuk Sai. Untuk membalas dendam baginda membawa tentera Siam
menyerang Patani tetapi gagal. Baginda berundur ke Cenak dan membina negeri di
Nanggim. Datuk Pangkalan Pauh ambil Datuk Tarab dari Kelantan
dijadikan bendahara dan dirajakan di Jambu.
Setelah itu, Alung Yunus
pula mendirikan kerajaan di Air Lilih dan digelar Yang Dipertuan.
Baginda merombak Istana Raja
Dacang (Raja Laksamana) dibuat masjid. Pada masa itu, beberapa orang alim datang ke Patani
dan mengajar hukum-hukum Islam. Mereka ialah Sayid Abdullah dari Terengganu, Haji Yunus
dari Jawi Patani, Syekh Abdul Kadir dari Pasai, dan Haji Abdul Rahman dari
Jawa.
Akhir sekali, baginda mangkat
dalam peperangan dengan Datuk Pangkalan Pauh iaitu bapa saudara baginda. Negeri
Patani akhirnya huru hara tidak beraja.
3.0 Pengarang
Hikayat Patani
ialah sastera hikayat berunsur sejarah. Hikayat ini tidak menyebut nama
pengarangnya. Hikayat ini dibukukan oleh A. Teeuw dan D.K. Wyatt dengan judul Hikayat Patani, Bibliotheca Indonesia 5
pada tahun 1970 dan diterbitkan oleh Martinus Nijhoff. Cerita ini terselamat
dalam beberapa manuskrip asal lain, terawal disalin oleh Abdullah Menshi pada
1839, dan berada di Perpustakaan Kongress.
4.0 Pemikiran dalam Hikayat Patani
4.1 Definisi Pemikiran dan
Idealisme
Dalam
sesebuah buku, biasanya pengarang buku akan cuba mengetengahkan pemikiran dan
idealisme ke dalam karya. Hal ini demikian kerana pemikiran dan idealisme
merupakan tonggak utama dalam sesebuah karya. Begitu juga halnya dengan Hikayat Patani ini. Pengarang telah
mengetengahkan pemikiran dan idealismenya yang tersendiri. Istilah pemikiran
itu pada asalnya terbit daripada kata akar ‘fikir’
(S. Othman Kelantan, 1997). Perkataan itu berasal dari istilah Arab ‘fikrun’ atau ‘aftar’. Dua perkataan ini membawa maksud fikiran. Menurut S. Othman
Kelantan (1997: 6) lagi, kalimat fikir dan fikiran itu diertikan sebagai
“ingatan, angan-angan, renung, akal; anggapan, pendapat, sangka, kira; daya
berfikir, akal, ingatan; hasil pemikiran, pendapat, pertimbangan, upaya, dan muslihat”.
Di samping itu, S. Othman Kelantan
(1997) turut menjelaskan bahawa pemikiran merupakan satu fikiran atau idea yang
muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan ini menggunakan akalnya
dalam memikirkan konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya, dan
pemikiran tersebut dilebarkan oleh golongan cerdik pandai ke luar lingkungannya.
Pemikiran pengarang juga merupakan penampilan makna dalaman dalam sesuatu karya
klasik juga dapat dilihat daripada sikap pengarang yang menampilkan pengembaraan
watak yang baik dan mengandungi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam
sesebuah karya klasik. Fungsi cerita-cerita tersebut pula bukanlah sekadar
menggambarkan selok-belok nasib wataknya, tetapi menampilkan atau mewujudkan
idea melalui imej-imej plastis, memenuhi segenap ‘ruang fikiran’ dengan idea tersebut yang disampaikan
melalui imej. Dengan hal itu pula, idea sedemikian membentuk
dan mendidik akal pembaca dan pendengar. (V. I. Brinsky, 1994: 59).
Idealisme menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2007: 558-559) ialah sifat, iaitu sikap atau perbuatan melihat atau
mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Selain itu, idealisme turut
membawa maksud pemikiran atau idea. Pemikiran dan idealisme membawa makna yang
sama iaitu buah fikiran atau idea yang cuba diketengahkan oleh golongan cerdik
pandai. Kebanyakan pemikiran dan idealisme disebarkan melalui buku atau novel.
4.2 Unsur Sejarah Dalam Hikayat Patani
Hikayat Patani sebuah
teks yang membawa pemikiran tentang
asal-usul raja negeri Patani Dar al-Salam. Raja Kota Maligai bernama Phaya Tu
Kerub Mahajana. Baginda mempunyai seorang putera bernama Phaya Tu Antara. Phaya
Tu Antara menjadi raja selepas kemangkatan ayahandanya dengan gelaran Phaya Tu
Naqpa. Baginda suka berburu dan meminta rakyatnya untuk menjejaki rusa yang
banyak di kawasan itu tetapi tidak berhasil. Phaya Tu Naqpa berasa hairan dan
menyuruh pengikutnya melepaskan anjing perburuannya. Setelah dua jam perburuan,
anjing itu menyalak dengan kuat dan mengejar seekor pelanduk putih tetapi
pelanduk tersebut dapat menghilangkan diri. Phaya Tu Naqpa berangkat ke tepi
pantai dan bertemu sepasang suami isteri yang tinggal di pantai itu bernama
Encik Tani. Orang tua itu menyatakan mereka rakyat Kota Mahligai yang pernah
mengiringi Paduka Nenda ke negeri Ayuthia, disebabkan menghidap penyakit mereka
ditinggalkan di situ. Phaya Tu Naqpa berbincang dengan orang-orang besar untuk
membuka negeri di tempat pelanduk putih ditemui dan diberi nama Patani Dar
al-Salam sempena nama Encik Tani. Mereka juga membina sebuah pangkalan yang
diberi nama Pintu Gajah, manakala tempat Encik Tani turun ke laut dinamakan
Jambatan Kedi. Setelah beberapa lama memerintah, baginda dikurniakan tiga orang
cahaya mata bernama Kerub Picai Paina, Tunku Mahacai, dan Mahacai Pailang.
Beberapa lama selepas itu Phaya
Tu Naqpa mengalami sakit kulit yang sukar diubati. Phaya Tu Naqpa menawarkan
sesiapa yang boleh mengubati baginda, orang itu akan dijadikan menantu. Namun begitu,
tiada sesiapa pun yang dapat mengubati baginda, lalu pemukul canang telah pergi
ke kampung orang Pasai. Syekh Said telah bersetuju mengubati baginda dengan
syarat Phaya Tu Naqpa mesti memeluk agama Islam sekiranya baginda sembuh. Syekh
Said mengubati baginda selama tujuh hari dan baginda pun sembuh seperti sedia
kala. Namun begitu raja telah mungkir janji. Selepas dua tahun baginda mendapat
sakit kembali dan meminta Syekh Said mengubatinya semula. Syekh Said bersetuju
untuk mengubatinya dengan syarat raja tidak akan mungkir janji buat kali kedua.
Apabila sembuh baginda masih tidak menunaikan janji sehingga baginda jatuh
sakit buat kali ketiga. Syekh Said bersetuju mengubati buat kali terakhir.
Menurutnya, jika berulang lagi, beliau tidak akan mengubati lagi walaupun
dihukum bunuh. Akhirnya, setelah sembuh baginda bersama-sama
pengikut-pengikutnya memeluk agama Islam dengan gelaran Sultan Ismail Syah
Zillullah Fil-Alam.
Sebuah kapal Cina berlabuh di
Patani Dar al-Salam. Sultan Ismail dihadiahkan sebuah peluru besar oleh nakhoda
kapal dari negara China sedangkan negeri baginda tidak mempunyai meriam. Hal
ini telah mengaibkan baginda, lalu baginda mengarahkan rakyat jelata agar tidak
menjual tembaga kepada pedagang asing selama tiga tahun bagi membolehkan
rakyatnya membuat meriam. Selepas tiga tahun Syekh Gambak seorang pedagang
Patani menyuruh anak muridnya, Abdul Mukmin menjual tembaga yang mereka kumpul
kepada saudagar dari Melaka. Abdul Mukmin ditangkap semasa membawa tembaga. Hal
ini dikhabarkan kepada baginda sultan. Baginda murka lalu mengarahkan Syekh
Gambak dan Abdul Mukmin dihukum bunuh dan mayatnya dihanyutkan ke sungai.
Peristiwa itu telah menyebabkan berlaku beberapa kejadian aneh. Hal ini
mendorong Tuk Besar meminta keizinan raja bagi mengebumikan mayat tersebut.
Semasa upacara pengebumian dijalankan kedua-dua mayat itu memanjang. Oleh itu,
kubur mereka dikenali sebagai kubur Tuk Panjang.
Sultan mengarahkan seorang tukang
berbangsa Rom membuat meriam. Namun begitu, setelah siap meriam tersebut tidak
dapat digunakan kerana terlalu nipis. Akhirnya baginda menyuruh tukang tersebut
agar membuat semula meriam tersebut. Hasilnya terciptalah tiga meriam diberi
nama Seri Negeri, Tuk Buk, dan Nang Liu-liu.
4.3
Mengukuhkan Kedudukan dan Kuasa
Suatu lagi pemikirannya sebagai teks sejarah ialah kita dapat menyaksikan dalam bidang
politik, Patani telah mengukuhkan kedudukan dan kuasa dengan mengadakan
hubungan dengan kuasa-kuasa luar negeri, terutamanya dengan Siam, Acheh,
Pahang, Palembang, China, Melaka, Pasai, dan Johor. Semasa pemerintahan Sultan
Mudaffar Syah, baginda telah berkunjung ke Siam untuk menjalinkan persahabatan
dengan negeri tersebut. Bagaimanapun setengah-setengah buku menceritakan bahawa
kedatangan Sultan Mudaffar Syah tidak mendapat sambutan yang sewajarnya
daripada raja Siam pada masa itu, kerana raja Siam menganggap taraf raja Patani
adalah lebih rendah daripadanya. Tetapi sewaktu keberangkatan pulang, baginda
dihadiahkan beberapa tawanan Pegu (Burma) dan Khmer (Kemboja). (Ibrahim Shukri
196: 18).
4.4
Pengaruh Kedatangan Islam
Dalam Hikayat
Patani diceritakan bahawa raja Patani yang pertama memeluk islam ialah Raja
Phaya Tu Naqpa. Peristiwa bagaimana raja ini memeluk Islam diceritakan agak
menarik juga. Dikatakan bahawa baginda telah menghidap sejenis penyakit yang
tidak dapat diubati oleh para tabib (penyakit merekah tubuh). Akhirnya baginda
menyuruh orang memalu canang memberitahu tentang penyakit baginda, dan sesiapa yang
dapat menyembuhkannya akan diambil menjadi menantu. Khabar ini sampai ke pengetahuan
seorang syekh dari Pasai bernama Syekh Said. Syekh Said berjanji untuk
mengubati beliau seandainya beliau berjanji untuk memeluk agama Islam. Tetapi
ternyata setelah penyakit baginda sembuh, janji tidak ditunaikan. Perkara ini
berlaku sehingga tiga kali berturut-turut. Pada kali ketiga barulah raja
menunaikan janjinya untuk memeluk Islam.
Setelah raja memeluk Islam, semua pembesar dan rakyat
turut memeluk agama tersebut. Hikayat
Patani menyatakan bahawa setelah diislamkan oleh Syekh Said, Phaya Tu Naqpa
menggunakan nama Sultan Ismail Syah Zillullah Fil’-Alam. Putera dan puterinya
juga diubah nama. Putera yang sulung, iaitu Kerub Picai Paina dinamakan Sultan
Mudaffar Syah, puterinya Tuanku Mahacai dinamakan Siti Aisyah, dan Mahacai
Pailang pula dinamakan Manzur Syah.
Pengaruh Islam terkandung dalam
penyebutan Nabi s.a.w, bulan Ramadan. Kelemahan pengarang disini ialah tidak
mencatatkan tahun pada tarikh tersebut.
“Adapun tatkala menuang dia itu hijrat Nabi
salla’Llahualaihi wasallama kurang dua delapan puluh, pada tahun tikus pada
tiga hari bulan Ramadan pada malam Selasa”
(Hikayat Patani, halaman: 78)
4.5 Kemunculan
Patani Sebagai Sebuah Pelabuhan Entrepot
Selepas menerima dan memeluk agama Islam, negeri
Patani telah menjadi sebuah negeri yang masyhur. Ia menjalin persahabatan
dengan negeri-negeri asing, terutama sekali melalui hubungan perdagangan.
Kemunculan Patani sebagai sebuah pelabuhan entrepot ternyata daripada banyaknya
kapal-kapal perdagangan yang berulang alik membawa berbagai-bagai dagangan.
Dari negeri China diperoleh barang-barang tembikar. Sementara dari India pula
didapati kain-kain. ( Teeuw dan Wyatt 1970: 7).
4.6 Siri
Peperangan Patani
Siri peperangan Patani dengan Siam merupakan fakta
sejarah yang tidak boleh diketepikan dengan begitu sahaja. Dalam Hikayat Patani diceritakan peperangan
yang pertama kali berlaku masa pemerintahan Sultan Mudaffar Syah. Dikatakan
sultan Patani mempunyai hasrat untuk merampas kerajaan Siam pada masa itu.
Kesudahan peperangan ini tidak diceritakan. Dalam buku sejarah Patani yang
disusun oleh Ibrahim Syukri dinyatakan peperangan ini berlaku pada tahun 1563,
berpunca daripada perasaan untuk membalas dendam atas sambutan yang diterima
oleh sultan Patani daripada Raja Siam dahulu. Peluang keemasan ini diambil
semasa Burma menyerang Siam. (Ibrahim Syukri 1961:23).
Peperangan seterusnya berlaku
pada masa pemerintahan Raja Ungu. Peperangan ini telah melibatkan raja Johor
kerana pada masa itu Yang Dipertuan Johor telah mengahwini Raja Kuning, puteri
raja Patani. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1636 dan Siam telah mengalami
kekalahan teruk. (Ibrahim Syukri 196: 23).
5.0 Nilai Budaya dan Pandangan
Hidup Dalam Hikayat Patani
Budaya
berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah
yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi
yang membawa maksud budi pekerti atau akal. Dalam bahasa Inggeris, budaya
disebut sebagai culture yang berasal
daripada perkataan Latin, iaitu colore
yang membawa maksud menanam atau mengerjakan.
Budaya
mempunyai hubungan erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang ditentukan dalam
sesebuah masyarakat mempunyai hubungkait dengan kebudayaan yang dimiliki oleh
masyarakat itu sendiri. Bukan itu sahaja, budaya juga adalah sesuatu yang
diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya.
Selain
itu, budaya juga merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, normal, ilmu
pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni
dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu,
budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan,
kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam serta kebiasaan yang diperoleh
oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Daripada
kesemua pengertian ini, budaya boleh disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup
manusia termasuk pemikiran dan hasil ciptaan yang sesuai dengan kehendak rohani
dan jasmani yang menjadi amalan hidup dalam sesuatu kelompok masyarakat. Oleh
itu, dalam karya agung Melayu iaitu Hikayat
Patani, turut menggambarkan peribadi masyarakat Melayu sebagai masyarakat
yang kuat berpegang pada adat dan mengamalkan cara hidup yang berlandaskan
Islam.
i. Adat Pantang Larang
Pantang
larang merupakan suatu bentuk peraturan yang diwarisi secara turun-temurun
sejak berkurun lamanya. Pantang larang juga merupakan kepercayaan masyarakat
Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang.
Pantang larang adalah sesuatu perkara yang menyekat kita dari melakukan sesuatu
kerana ada keburukan di sebaliknya.
Di
dalam Hikayat Patani, terdapat adat
pantang larang berkaitan dengan kematian keturunan raja iaitu rakyat tidak
dibenarkan menumbuk dalam negeri selama empat puluh hari bagi menghormati mayat
keturunan raja. Bukan itu sahaja, kubur keturunan raja juga ditanam berhampiran
dengan istana dan disediakan batu nisan bersalut emas. Hal ini dapat dibuktikan
dalam petikan teks Hikayat Patani
seperti berikut:
Adapun Raja Emas Kercang
itu mati umurnya ada lima tahun, terlalu kasih paduka ayahanda akan anakanda
baginda, itulah yang diperbuatkan nisan emas dan dikuburkan pun hamper dengan
istana, empat puluh hari tiada diberi orang menumbuk dalam negeri itu, kalau
rentan sampai kepada mayat paduka anakanda itu dan barangsiapa hendak menumbuk
keluar menumbuk ke Sungai Pandan dan segala yang berbuat makanan sedikit
sebanyak digiling dengan batu.
(Hikayat
Patani, halaman: 20)
Adat
pantang larang seterusnya ialah berkaitan dengan kemangkatan seseorang
pemerintah. Dalam adat ini, apabila seseorang pemerintah mangkat, rakyat perlu
berpantang larang iaitu bagi golongan lelaki, mereka perlu bercukur manakala
bagi golongan perempuan, mereka perlu mengunting hujun grambut. Hal ini dapat
dijelaskan dalam teks Hikayat Patani
seperti berikut:
…maka bendahara pun
menyuruhkan berkerah segala menteri pegawai sekalian. Setelah berhimpun
kesemuanya maka Phra Cau pun berangkatlah diiringkan oleh bendahara dengan
segala menteri pegawai sekalian mudik ke Tambangan. Setelah keesokan harinya,
maka sungai itu ditembuskan oranglah. Setelah sudah sungai itu turun air hulu
terbit sampai lalu ke Kuala Aru. Maka Phra Cau pun berangkat hilir lalu ke
istana. Setelah berapa lama Phra Cau di atas takhta kerajaan maka Phra Cau pun
gering, lalu mangkat. Maka segala rakyat di dalam negeri Patani itu semuanya
laki-laki disuruh bercukur dan segala perempuan bergunting hujung rambutnya.
(Hikayat Patani, halaman: 34)
ii. Adat Mengarak Surat dan Utusan
Ketinggian
adat istiadat mengarak surat dan utusan diterima sebagai tanda persahabatan
serta memperlihatkan tanda kemuliaan dan kebesaran. Adat istiadat menyambut dan
mengarak surat disebut dalam Hikayat
Patani apabila Sultan Mansur Syah menyuruh Wan Muhammad untuk pergi ke Siam
berjumpa dengan Raja Bercau bagi memohon maaf dan menjalinkan semula hubungan
kemesraan antara Patani dengan Siam. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan
teks seperti berikut:
…Maka titah baginda
Bercau pada bakelang “suruhlah pergi sambut perahu utusan Patani itu, bawa
mudik dengan segeranya.” Maka bakelang pun bermohonlah lalu keluar menyuruhkan
orang membawa mudik perahu Seri Agar itu. Setelah sampai ke labuhan pada
keesokan harinya maka surat dan segala bingkis pun diarak oranglah dengan
gendang nafiri, dan payung iram kekuningan pun terkembanglah kiri kanan gajah
menunggang surat itu. Setelah sampai maka surat dan bingkis itu pun disambut
orang dibawa mengadap Bercau.
(Hikayat Patani, halaman: 22)
Konsep
pandangan hidup menurut pandangan sarjana Islam, iaitu Syed Naqiub al-Attas
(1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia
dan akhirat. Oleh itu, dari perspektif Islam, pandangan hidup ialah pandangan
tentang reality atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai
kewujudan seluruh alam.
Dalam
Hikayat Patani, terdapat pandangan
hidup berteraskan Islam iaitu pengukuhan Islam kepada seluruh rakyat Patani.
Hal ini dapat dilihat apabila Sultan Mudaffar Syah memanggil Syekh Safiuddin
untuk bertanya tentang agama Islam. Hasilnya, sebuah masjid dibina bagi
mengukuhkan lagi agama Islam di Patani dan pekerjaan serta kepercayaan karut
masyarakat Patani yang terdahulu seperti menyembah kayu, batu, dan tamban sudah
ditinggalkan. Hal ini dapat dilihat dalam teks Hikayat Patani seperti contoh berikut:
... Maka sembah Syekh
Safiuddin “Adapun negeri Islam itu mahulah ada sebuah masjid tempat segala
rakyat menyembah Allah Taala, maka nyatalah agama Islam, dan jikalau tiada
masjid itu jua tiadalah kenyataan agama Islam itu.” Arakian maka Sultan
Mudaffar Syah pun memberi titah kepada bendahara menyuruh berbuat masjid
seperti sembah Syekh Safiuddin itu. Hatta maka masjid itu pun diperbuat
sudahlah, maka Syekh Safiuddin pun dikurniakan nama Fakih.
(Hikayat Patani, halaman: 10)
Pandangan
hidup seterusnya dalam Hikayat Patani
ialah golongan pemerintah menjadi contoh dan teladan kepada golongan diperintah
iaitu rakyat. Hal ini dapat dilihat apabila raja Patani iaitu Phaya Tu Antara
memeluk Islam dan diikuti oleh semua golongan rakyat yang turut sama memeluk
agama Islam. Setelah mengucap kalimah syahadah, Syekh Said iaitu orang yang
mengislamkan Phaya Tu Antara telah menukarkan nama baginda kepada Sultan Ismail
Syah serta nama anak-anaknya kepada nama Islam iaitu Kerub Picai Paina kepada
Sultan Mudaffar Syah, Tunku Mahacai kepada Siti Aisyah, dan Mahacai Pailang
kepada Sultan Manzur Syah. Hal ini dapat dibuktikan dalam teks Hikayat Patani seperti contoh berikut:
Syahadan pada zaman itu
segala rakyat yang di dalam negeri juga yang membawa agama Islam, dan segala
rakyat yang di luar daerah negeri seorang pun tiada masuk Islam. Adapun Raja
itu sungguhpun ia membawa agama Islam, yang menyembah berhala dan makan babi
itu juga yang ditinggalkan, lain daripada itu segala pekerjaan kafir itu suatu
pun tiada diubahnya.
(Hikayat Patani, halaman: 2)
6.0 Konsep
Nilai Ilmu Dalam Hikayat Patani
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat,
kualiti, mutu, dan taraf. Dalam bidang sains sosial menurut Mohd Rashid (2011),
nilai atau value boleh didefinisikan dalam
tiga konteks utama iaitu sebagai menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek
berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan
manusia. Nilai juga dapat diistilahkan sebagai ‘Al-Qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang
ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai
hubung kait dengan falsafah nilai.
Nilai
membolehkan manusia membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang
buruk dan yang betul dengan yang salah. Oleh hal yang demikian, nilai bukan sahaja
merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau atau
asas dalam menerima atau menolak dalam sesuatu perlakuan manusia. Kehidupan masyarakat
Melayu sememangnya tidak boleh terlepas daripada peraturan dan aturan yang
perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat
Melayu amat mementingkan nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat.
Nilai dalam masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua cara iaitu formal dan tidak
formal.
Seri Lanang Jaya et. al (2013) menyatakan bahawa nilai dan
etika masyarakat berkait rapat dengan perkara yang mempunyai nilai yang tinggi dari
aspek kebenaran, kebaikan, dan keindahan yang sangat sinonim dengan agama Islam
yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu seluruh Nusantara. Ketinggian dan
kesucian nilai dan etika berdasarkan pengaruh agama Islam itu sendiri telah
memberi kesan yang sangat besar terhadap akal budi Melayu sehingga hari ini.
Manakala, ilmu pula bermaksud pengetahuan
mengenai perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dan sebagainya menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat, (2010). Oleh itu, ilmu dikatakan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan
usaha menyebarkannya dalam bentuk maklumat kepada orang lain. Maklumat yang
disebarkan itu mengandungi pelbagai fungsi seperti untuk menambahkan ilmu pengetahuan
dan merungkaikan segala kemusykilan. Ilmu dan maklumat yang dikaji berdasarkan karya
agung, antaranya ialah ilmu pendukunan, ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih,
strata masyarakat Melayu, serta adat dan istiadat Melayu.
6.1 Nilai Ilmu Yang
Terdapat Dalam Hikayat Patani
Terdapat
beberapa nilai ilmu yang boleh dikenal pasti dalam Hikayat Patani. Antaranya ialah ilmu firasat dan ilmu pendukunan.
i.
Ilmu
Firasat
Menurut Kamus Dewan
(2010), firasat bermaksud pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka,
badan, dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang.
Tilikan atau ramalan ahli nujum juga antara contoh ilmu firasat. Menurut Sulastin
Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa,
melihat, atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu
yang berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama,
hari, atau ketika.
Hal ini penting terutama dalam kalangan
pahlawan- pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan
musuh.
Umumnya,
ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib,
firasat mimpi, dan firasat terhadap binatang.Contoh ilmu firasat dalam Hikayat Patani ialah:
Contoh
1:
“Kembalilah sembahkan kepada
raja, yang menjadi menantu raja itu hamba tidak mahu,
dan jikalau mahu
raja masuk agama Islam, hambalah cakap mengubati penyakit
raja itu.”
(Hikayat Patani, halaman: 12)
Berdasarkan petikan
di atas, dapat dibuktikan bahawa Syekh
Said berpendapat atau berfirasat bahawa beliau dapat menyembuhkan penyakit
Raja Patani iaitu Raja Phya Tu Nakpa tetapi dengan syarat bahawa
Raja Phya Tu Nakpa hendaklah memeluk
Islam setelah sembuh dari penyakit baginda.
Contoh2:
…“Pegu di kaki jambatan itu kena sangat horanya.”Arakian maka
Sultan Manzur Syah pun pergilah mendapatkan Pegu itu.Maka titah baginda,
“Haikalwa, lihat apa di dalam tam bera handal itu:
adakah kita ini akan menjadi raja atau tiadakah?’
Setelah Pegu itu mendengar titah
raja itu, maka ia pun segera melihat tam beranya.
Setelah habis dilihatnya, maka
sembah Pegu itu, “Pada tahun ini sampai kepada bulan dua inilah tuanku akan menjadi
raja”…
(Hikayat Patani, halaman: 12)
Berdasarkan petikan
di atas, dapat dibuktikan bahawa Pegu berpendapat atau berfirasat bahawa
Sultan Manzur Syah akan menjadi
raja sehingga bulan dua tahun ini.
Hal ini demikian kerana,
Sultan Mudaffar Syah telah ke
Siam untuk bertanya imam
Islam di sana. Oleh itu, sementara ketiadaan baginda,
Sultan Manzur Syah akan menjadi
raja di Patani buat sementara waktu.
Contoh
3:
…“Pada hati kita akan nakhoda Cina itu seorang dagang,
maka ia memberikan kita sebutir peluru
yang besar ini; akan kita seorang
raja sebuah negeri tiada menaruh bedil
yang dapat dibedilkan peluru itu.
Maka menjadi aiblah kita pada segala negeri asing,”.Maka sembah segala menterinya,
“Sebenarnya seperti titah Duli
Yang Maha Mulia itu,
kerana patik sekalian ini hamba ke bawah Duli Syah
Alam, mana titah patik sekalian junjung”.
Hatta maka titah baginda,
“Jika demikian temenggung canangkanlah:
jangan siapa-siapa membawa keluar tembaga dalam negeri ini tiga tahun
…”
Berdasarkan petikan
di atas, dapat dibuktikan bahawa
Raja Phya Tu Naqpa mempunyai daya firasat bahawa peluru
yang dihadiahkan oleh nakhoda Cina itu boleh
memalukan negara baginda, hal ini demikian kerana,
negara
Patani tidak mempunyai meriam.
Oleh hal
yang demikian, baginda mengarahkan agar rakyat jelatanya
tidak menjual tembaga kepada pedagang asing selama tiga tahun bagi membolehkan rakyatnya membuat meriam.
ii.
Ilmu
Pendukunan
Menurut Kamus
Dewan (2010), dukun membawa maksud orang yang mengubati orang sakit atau member
ubat secara kampong atau tradisional melalui bacaan jampi serapah dan sebagainya.
Manakala, pendukunan pula membawa maksud pengubatan cara kampung atau tradisional
yang berkaitan dengan ilmu pendukunan. Terdapat juga golongan istana yang
menggunakan dukun atau ahli nujum terutama sebelum kedatangan Islam atau
tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh.
Dia lebih membuat ramalan.
Berdasarkan
Hikayat Patani, dapat dilihat Raja
Phya Tu Nakpa telah mencari seorang
dukun untuk mengubati penyakit misterinya sehimggalah baginda berjumpa dengan
Syekh Said. Syekh Said merupakan seorang pendakwah Islam yang bertanggungjawab menyembuhkan
Raja Phaya Tu Naqpa. Raja ini menghidap satu menyakit merekah yang tidak dapat
diubati oleh tabib lain. Syekh Said bersedia mengubati baginda seandainya baginda
berjanji untuk memeluk agama Islam. Namun, Raja Phya Tu Nakpa telah memungkir janji
setelah baginda sembuh dan menyebabkan baginda kembali sakit. Kejadian ini berulang
sebanyak tiga kali. Pada kali ketiga inilah Raja Phya Tu Nakpa sedar akan kesilapannya
dan berjanji tidak akan memungkir janjinya lagi. Setelah Raja Patani sembuh dari
penyakitnya, baginda bersama keluarga, pembesar istana dan seluruh rakyatnya memeluk
agama Islam. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah:
…Setelah sudah Syekh Said berjanji dengan raja
itu, maka Syekh Said pun duduklah mengubati raja itu. Ada tujuh hari lamanya, maka
raja pun dapatlah keluar diadap oleh menteri dan hulubalang sekalian. Arakian
maka Syekh Said pun bermohonlah kepada baginda, lalu kembali kerumahnya. Antara
beberapa hari lamamanya maka penyakit raja sembuhlah. Maka raja pun mungkirlah
ia akan janjinya dengan Syekh Said itu…
7.0 Teknik kepengarangan
7.1 Teknik
Kepengarangan
Menurut Mohd Rashid et. al (2014), kepengarangan dianalisis daripada pelbagai aspek
keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak
kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam
perjuangan seseorang pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang
unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing. Keindahan dapat dilihat daripada pembentukan
tekstual dan kontekstual, terutamanya aspek kebahasaan juga. (Mana Sikana, 2007)
Dalam hikayat yang dikaji iaitu Hikayat Patani, terdapat beberapa teknik
kepengarangan yang diperoleh berdasarkan hasil pembacaan. Teknik kepengarangan
ini telah digunakan di sepanjang jalan cerita hikayat tersebut. Antara teknik
kepengarangan yang terdapat dalam Hikayat
Patani ialah:
7.2 Pengarang
Mengaitkan Asal Usul Penyebaran Agama Islam Di Patani.
Dalam hal ini, penyebaran agama Islam di Patani ada
sejarahnya. Hal ini demikian kerana asalnya di Patani bukannya berasal daripada
agama Islam. Berdasarkan buku Hikayat
Patani, penyebaran agama Islam bermula daripada seorang lelaki yang bernama
Syekh Said yang merupakan seorang hamba yang telah mengislamkan Sultan di
Patani. Bukti yang menunjukkan bahawa Syekh Said seorang yang menyebarkan agama
adalah seperti yang berikut:
Maka
kata Syekh Said “Apa kerja tuan-tuan memalu canang ini?” Maka kata penghulu
canang itu, “Tidakah tuan hamba tahu akan raja di dalam negeri ini sakit
merekah segala tubuhnya? Beberapa segala hora dan tabib mengubati dia tiada
juga mahu sembuh, jangankan sembuh, makin sangat pula sakitnya.Dari kerana
itulah itulah maka titah raja menyuruh memalu canang ini, maka barang siapa
bercakap mengubati raja itu jikalau sembuh penyakitnya, diambil raja akan
menantu.” Maka kata Syekh Said, “Kembalilah sembahkan kepada raja, yang jadi
menantu raja itu hamba tiada mahu, dan jikalau mahu raja masuk agama Islam,
hambalah cajap mengubati penyakit raja itu”
(Hikayat
Patani, halaman: 4)
Setelah demikian, penyebaran Islam mula
berkembang di Istana selepas Sultan Patani iaitu Sultan Ismail Syah Zillullah
Fil-‘Alam (nama Islam) diislamkan oleh Syekh Said setelah dua kali Sultan
Patani mungkir janji. Semasa Sultan Patani menghidapi penyakit tersebut buat
kali ketiga, baginda telah berjanji lagi akan memasuki agama Islam sekiranya
sembuh penyakitnya itu. Hal ini dapat dilihat melalui ayat yang berikut:
“Tuan
ubatilah penyakit hamba sekali ini. Jikalau sembuh penyakit hamba ini, barang
yang tuan kata itu bahawa sesungguhnya tiadalah hamba lalui lagi,” Maka kata
Syekh Said, “Baiklah, biarlah patik ubat penyakit duli tuanku. Jikalau sudah
sembuh duli tuanku tiada masuk agama Islam sekali ini juga, jika datang penyakit
tuanku kemudian harinya, jika duli tuanku bunuh patik sekalipun, redalah patik”
(Hikayat Patani, halaman: 6)
Kemasukan Sultan Ismail Syah ke dalam
agama Islam telah menyebabkan penyebaran agama Islam di negeri itu turut
berlaku.Hal ini demikian kerana Sultan Ismail Syah telah menitahkan bahawa
rakyat di negeri itu juga perlu memasuki agama Islam.
7.3
Menggarap Corak Penulisan dengan Menggunakan
Pengaruh Bahasa Arab.
Bagi Hikayat
Patani, penggunaan bahasa Arab telah digunakan pada awal sebelum permulaan
bab iaitu dengan menggunakan perkataan “Bismillahirrahmanirahim”. Selain itu,
bahasa Arab juga digunakan di dalam teks Hikayat
Patani setelah berlakunya penyebaran agama Islam di Patani. Dalam hal ini,
terdapat beberapa contoh yang menunjukkan penggunaan bahasa Arab dalam Hikayat Patani iaitu:
i.
Kalimat syahadah
Penggunaan kalimat syahadah ini digunakan ketika
Syekh Said ingin mengislamkan Sultan Patani.
Sudah
itu maka diajarkanlah kalimat syahadat oleh Syekh, demikian bunyinya, “ Asyhadu
an la ilaha illaLlah waasyhadu anna Muhammadan RasululLah.” Maka Raja pun
kararlah membawa agama Islam.
(Hikayat Patani, Halaman: 6)
ii.
Syafaat
Perkataan ini telah digunakan oleh Syekh Said kepada
Raja Patani bagi memberi nasihat kepada Raja supaya menukarkan nama kepada nama
Islam bagi memperoleh keberkatan. Contoh ayat:
“Ya
Tuanku Syah ‘ALam, baiklah tuanku bernama mengikut nama Islam, kerana tuanku
sudah membawa agama Islam, supaya bertambah berkat duli tuanku beroleh syafaat
daripada Nabi Muhammad rasululLah salla’Llahu ‘alaihi wasallamdi akhirat
jemah”
(Hikayat Patani, halaman: 7 )
7.4
Menggunakan Pelbagai Teknik Penceritaan
i.
Cerita dalam cerita
Teknik penceritaan ini digunakan bagi
menceritakan semula cerita di dalam teks hikayat. Di dalam Hikayat Patani, teknik ini dapat dilihat ketika penceritaan nama
tempat Patani diwujudkan iaitu hasil daripada seseorang yang bernama Encik Tani
yang merupakan seorang yang sering merawa dan menjerat di pangkalan di mana
tempat Raja pergi ketika itu. Selain itu, teknik ini juga dapat dilihat melalui
cerita hamba raja kepada Raja Patani tentang punca anjing peliharaan raja
menyalak kuat ketika di dalam hutan waktu itu akibat ingin menghalau pelanduk
putih yang berada di kawasan itu. Contoh ayat:
Maka
titah baginda, “Apa yang disalak oleh anjing itu?” Maka sembah mereka sekalian
itu, “Daulat Tuanku , patik mohonkan ampun dan kurnia. Ada seekor pelanduk putih,
besarnya seperti kambing, warna tubuhnya gilang-gemilang,.Itulah yang dihambat
oleh anjing ini.Maka pelanduk itu pun lenyaplah pada pantai ini.”
(Hikayat
Patani, halaman: 2)
ii.
Imbas Kembali
Teknik ini digunakan untuk menceritakan
semula perkara atau situasi yang telah terjadi dan diceritakan selepas perkara
itu terjadi di dalam babak yang lain. Dalam hal ini, teknik cerita imbas
kembali ini dapat dilihat melalui penceritaan Raja Kuning yang telah
dipersuamikan oleh Marhum Tengah dengan Apya Deca. Cerita ini diceritakan
setelah Raja Biru ( Marhum Tengah ) mangkat. Contoh ayat :
“Sebermula
adapun Raja Kuning itu pada masa Marhum Tengah di atas takhta kerajaan dipinang
oleh Apya Deca.Maka Raja Kuning pun dipersuamikan oleh Marhum Tengah dengan
Apya Deca.Maka umur Raja Kuning pun pada masa itu baharu dua belas tahun.”
( Hikayat
Patani, halaman: 35 )
iii.
Dialog
Dalam hikayat ini, banyak menggunakan dialog dalam
menyampaikan cerita. Dialog ini digunakan bagi sesebuah perbualan anatara
rakyat dengan sultan, rakyat dengan rakyat, dan sebagainya. Dialog menjadi satu
sumber penceritaan yang menarik di dalam karya. Dialog juga mampu menjadikan
seseorang itu berasa seronok untuk membaca sesebuah karya itu. Penggunaan
dialog amat penting bagi menimbulkan rasa ingin tahu kisah yang selanjutnya.
Contoh ayat:
Maka Laksamana pun bertanya, “Berapa hari oaring
kaya di laut?” Maka kata Raja Lela, “Tiga belas hari di laut.” Maka kata
Laksamana, “apa khabar Patani?” Maka kata Raja Lela,
“Khabar baik, segala orang besar-besar semuanya ada
di dalam sihat kesukaan dan segala rakyat pun makmur dengan makanan”.
(Hikayat Patani, halaman: 47)
7.5
Teknik Penerangan
Di dalam hikayat ini, teknik penerangan yang digunakan
oleh penyelenggara adalah untuk menerangkan kepada sesuatu perkara yang merujuk
kepada sesuatu perkara. Penerangan ini digunakan bagi memudahkan pembaca untuk
memahami dan mengetahui sebab gelaran tersebut diberikan. Teknik penerangan
yang digunakan secara langsung dapat menarik perhatian pembaca untuk mengetahui
sesuatu perkara itu. Misalnya, penerangan terhadap penggunaan gelaran bagi
Sultan yang telah mangkat serta penerangan terhadap pokok bayam yang dipanggil
rajakali. Contoh ayat:
“Dan
Sultan Mudaffar Syah itu sebab mangkat di Siam maka dipanggil orang Marhum ke
Siam, dan Sultan Manzur Syah itu sebab putera bongsu maka dipanggil orang
Marhum Bongsu.”
(Hikayat Patani, halaman: 34)
“Maka pada
tempat dibunuh Raja Kali itulah mulanya sekonyong-konyong tumbuh bayam berduri.
Sebab itulah bayam berduru itu dipanggil orang rajakali”
(Hikayat Patani, halaman: 50)
7.6
Kreatif kerana Melibatkan Pelbagai Perasaan di dalam
Karya.
Dalam hal ini, pengarang berjaya menghasilkan sebuah
karya yang melibatkan pelbagai perasaan seperti perasaan marah, sedih, dan
riang gembira bagi membentuk sebuah karya yang berupaya menghidupkan watak itu
di samping mengajak pembaca merasai sesuatu perkara itu. Pengarang juga berupaya membuatkan pembaca
mempunyai pendapat yang tersendiri berkaitan dengan sesuatu kisah di dalam
hikayat ini. Contohnya:
i.
Perasaan marah
Melalui Hikayat
Patani, perasaan ini dapat dilihat semasa Raja Kuning telah dipersuamikan
oleh Paduka Syah Alam dengan Yang Dipertuan Johor. Walhal pada waktu itu, Raja
kuning telah pun berkhawin dengan Apya Deca. Perkahwinan antara Raja Kuning
dengan Yang dipertuan Johor ini berlangsung setelah tiga tahun lebih berada di
Siam. Di sini dapat melahirkan perasaan marah dalam diri pembaca dan juga dalam
watak Apya Deca sehingga ingin menyerang Patani. Contoh ayat:
“Hatta antara beberapa bulan maka Raja Kuning pun
dipersuamikan oleh Syah Alam dengan Yang Dipertuan Johor. Arakian maka khabar
itu pun dipersembahkan orang kepada Apya Deca.Maka Apya Deca pun terlalu marah
lalu pergi meminta tolong kepada bakelang menyembah Bercau hendak menyerang
Patani.”
(Hikayat Patani, halaman: 37)
ii.
Perasaan sedih
Perasaan sedih ini pula dapat dilihat semasa
peristiwa Sultan Mudaffar Syah yang berperang secara mati-matian dengan Siam.
Semasa peristiwa ini, Sultan Mudaffar Syah telah mengalami kecederaan di lengan
sebelah kiri akibat tembus terkena bedil semasa serangan Siam. Selepas itu,
Sultan Mudaffar Syah masih ingin terus berperang dengan Siam sehingga meminta
adiknya iaitu Sultan Manzur Syah menyelamatkan diri pulang ke Patani. Sultan
Manzur Syah sedih untuk meninggalkan Sultan Mudaffar Syah dengan keadaannya
yang sebegitu dan Sultan Manzur Syah tahu bahawa peluang untuk Sultan Mudaffar
Syah hidup itu tipis. Contoh ayat:
Maka tiatah baginda kepada adinda
baginda itu, “Adik pergilah pulang,yang abang ini negeri inilah akan kubur
abang.” Setelah didengar oleh adinda baginda titah paduka kakanda itu demikian,
maka adinda baginda pun menangis seraya sujud pada duli kakanda baginda,
sembahnya, “Mohonlah tuanku patik pulang, jikalau baik jahat pun patik hendak
bersama-sama dengan duli tuanku”
(Hikayat Patani, halaman: 16)
iii.
Perasaan riang gembira
Perasaan gembira ini pula wujud setelah negeri
Patani dapat menewaskan Kiai Kelasang dalam peperangan. Peperangan ini telah
menyebabkan ramai rakyat Kiai Kelasang mati dan cedera. Disebabkan itu, segala
rakyat Kiai Kelasang habis lari dan berundur ke Bandar lalu pulang ke
Palembang akibat tewas. Kemenangan ini
menyebabkan Sultan dan rakyat berasa gembira. Begitu juga pembaca turut merasai
peraaan itu. Contoh ayat:
Maka Kiai Kelasang pun tiadalah
dapat hampir kaki kota,kerana bedilnya terlalu banyak di atas berkeliling
sehingga sedepa jarangnya. Maka bedil Nang Liu-liu dengan Tuk Buk pun dibedil
jufa kepada rakyat kelasang. Maka rakyat Kelasang pun terlalu banyak matinya
dan luka tiada dapat dikira-kirakan lagi,saffan-saffa.
(Hikayat Patani, halaman: 19)
8.0 Kesenian Bahasa
8.1 Definisi Retorik
Menurut
Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, retorik merupakan satu seni gaya
penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu
individu yang berada di persekitarannya. Aristotle menyatakan bahawa retorik
adalah seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik,
kaedah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan menurut Abu
Hassan et.al (2010). Orang Melayu
lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya
penarik berbanding isi yang ingin disampaikan.Orang Melayu lebih mementingkan
retorik daripada genre bagi mencapai sesuatu maksud. Mohd Affandi Hassan
menyatakan bahawa apa juga usaha bagi menarik minat penonton misalnya
penglipurlara, Tok Selampit, dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita
cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik.
Selepas
kemasukan pengaruh Arab ke dalam Bahasa Melayu pada abad ke-12, karya Melayu mempunyai
pengaruh Arab Islam dari segi genre mahupun struktur diksi, frasa, serta ayat misalnya
pada syair mahupun prosa-prosa Melayu pada permulaan, pertengahan, dan pengakhiran
cerita kesan daripada pengaruh karya-karya sastera kitab dan hikayat daripada Timur
Tengah (Teori Balaghah Melayu: 25). Selepas kedatangan Islam, berlaku perubahan
besar dalam masyarakat Melayu. Hal ini bukan sahaja melibatkan kepercayaan masyarakat
Melayu pada zaman tersebut malahan melibatkan sistem bahasa masyarakat Melayu.
Melalui Hikayat Patani, didapati kepercayaan
masyarakat pada zaman ini telah berubah daripada Hindu Buddha kepada
Islam. Hal ini boleh dilihat melalui penggunaan
beberapa perkataan seperti Allah yang menyentuh tentang agama Islam. Contohnya hikayat
ini dimulakan dengan “bismillah”.
Dalam
zaman Bahasa Melayu Klasik, penggunaan perkataan pangkal ayat adalah berlainan dengan
penggunaan penanda wacana pada zaman moden.
Antara penanda wacana yang sering digunakan pada zaman moden adalah di samping itu, seterusnya, oleh yang
demikian, tuntasnya, kesimpulannya, dan lain-lain lagi. Pada zaman ini, pangkal ayat yang sering digunakan
adalah terdiri daripada alkisah, syahadan, sebermula, maka, hatta, arakian, dan lain-lain.
Hatta
antara berapa tahun
lamanya maka Phaya Tu Naqpa pun sakit merekah segala tubuhnya, dan beberapa segala
hora dan tabib mengubati tiada juga sembuh.
(Hikayat
Patani, halaman: 3)
Kata-kata
daripada bahasa Jawa juga banyak digunakan apabila pengarang membincangkan peristiwa
Palembang. Misalnya pakanira, paseban, manira, ratu, lawang, dan lain-lain.
Maka Kiai Kelasang pun
memekik serta katanya, “Cih, jika manira gerangan dititahkan oleh duli sultan,
sehari manira sampai itulah manira naik makan di paseban ratu Patani itu.”
(Hikayat
Patani, halaman: 19)
Antara
contoh retorik yang digunakan dalam Hikayat
Patani ini ialah retorik pemujukan, retorik penerangan, dan retorik
penceritaan.
i.
Retorik
Pemujukan
Retorik
pemujukan merupakan retorik yang menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan
orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan itu. Misalnya dapat
dilihat dalam Hikayat Patani di bawah:
Maka titah raja kepada Syekh
Said, “sungguhlah tuan hamba bercakap mengubati penyakit hamba ini?” maka sembah
Syekh Said, “Jikalau tuanku masuk agama Islam hambalah yang mengubat penyakit Syah
Alam itu.” Maka titah raja, “Jikalau sembuh penyakit hamba ini, barang kata
tuan hamba itu, hamba turutlah.”
(Hikayat Patani, halaman: 4)
ii.
Retorik
Penceritaan
Retorik
penceritaan pula merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada
dalam penulisan mahupun lisan. Ia juga menghubungkan beberapa siri peristiwa
yang berkaitan dalam satu plot yang logik. Contohnya dalam Hikayat Patani:
Adapun masa baginda tinggal
pergi ke Siam itu isteri baginda itu sudah hamil delapan bulan. Setelah genaplah
bulannya, maka isteri baginda pun berputeralah seorang laki-laki. Maka ada pula
putera baginda dengan gundik seorang laki-laki bernama raja Bamban, ada tiga puluh
umurnya duduk dengan bondanya di luar Kota Wang.
(Hikayat
Patani, halaman: 14)
iii.
Retorik
Penerangan
Manakala
retorik penerangan pula bermaksud retorik yang memberi penerangan tentang sesuatu
perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain.
Contohnya:
Setelah Bercau mendengar
bunyi di dalam surat itu maka Bercau pun terlalu suka. Setelah sudah dibaca
orang surat itu maka Seri Agar pun menjunjung duli Bercau (seketika duduk maka
Seri Agar pun menjunjung duli Bercau). Seketika duduk maka Seri Agar bersalin. Arakian
maka Seri Agar pun bermohon turun ke perahu.
(Hikayat
Patani, halaman: 23)
Dalam
hikayat Patani juga terdapat penggunaan gaya bahasa skema perulangan iaitu
polisindeton dan anafora.
i.
Polisindeton
Polisindeton
merupakan penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim
digunakan menurut rumus tatabahasa. Ia juga digunakan bagi menunjukkan penekanan
terhadap sesuatu maksud. Contoh dapat dilihat dalam Hikayat Patani di bawah:
Hatta antara berapa hari
selangnya pada suatu hari baginda semayam di bendul pengadapan dalam diadap oleh
Bentara Seri Nara Indera kedua dan segala mahat (kedua) biduanda dan hamba raja
tapakan segaladan Wan Muhammad pun ada mengadap baginda.
(Hikayat
Patani, halaman: 21)
ii.
Anafora
Manakala
anafora pula bermaksud sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan
perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara
berturutan supaya memperoleh kesan tertentu.
Setelah sudah bendahara
berpesan itu, maka bendahara Raja Jalal pun mudiklah ke Sai. Setelah sampai ke Tabih maka orang yang dititahkan baginda melihat
Raja Jalal itu pun datanglah ke Beruas mengadap baginda menyembahkan, Bendahara
Raja Jalal itu sudah mudik ke Tabih.”
(Hikayat
Patani, halaman: 17)
Majaz perbandingan juga terdapat dalam Hikayat Patani. Misalnya seperti simile dan personafikasi.
Majaz perbandingan juga terdapat dalam Hikayat Patani. Misalnya seperti simile dan personafikasi.
i.
Simile
Simile
bermaksud mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan
kata seperti, ibarat, laksana, bagai,
umpama, bak, dan sebagainya. Contohnya: Ada
seekor pelanduk putih, besarnya seperti kambing.
(Hikayat Patani, halaman: 2)
ii.
Personafikasi
Personafikasi
pula merupakan sejenis gaya perbandingan iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri
peribadi atau sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang,
tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, objek, atau idea. Misalnya dalam Hikayat Patani seperti di bawah:
Syahadan maka baginda
pun berdiri dipegang Nang Liu-Liu itu seraya bertitah, “ Hai Nang Liu-Liu,
jikalau engkau lepaskan aku selamat sampai ke Patani aku tabalkan engkau tujuh hari.”
(Hikayat
Patani, halaman: 16)
Penggunaan
majaz pertentangan turut terdapat dalam Hikayat
Patani ini. Majaz pertentangan bermaksud bentuk bahasa yang mengemukakan makna
yang bertentangan dengan makna sebenarnya.
Majaz pertentangan yang terdapat dalam hikayat ini ialah hiperbola.
Majaz pertentangan yang terdapat dalam hikayat ini ialah hiperbola.
i.
Hiperbola
Maksud
hiperbola ialah untuk mencapai kesan tertentu, iaitu suatu gaya bahasa yang
mengandungi kebenaran yang diperbesar-besar. Pembaziran atau suatu cara yang
melebih-lebihkan semata-mata. Hiperbola juga boleh dikatakan sebagai perbandingan
yang melampau. Contoh ayat yang mengandungi unsur hiperbola dalam Hikayat Patani ialah:
Ada seekor pelanduk putih,
besarnya seperti kambing, tubuhnya gilang gemilang.
(Hikayat Patani, halaman: 2)
9.0 Kesimpulan
Secara
kesimpulannya, dari segi nilai sejarahnya Hikayat
Patani merupakan sebuah hasil historiografi Melayu tradisional yang tidak kurang
pentingnya jika dibandingkan dengan hasil-hasil yang lain. Sekiranya Hikayat Negeri Johor dianggap sebagai
satu catatan sejarah kerana setiap peristiwa dicatatkan serta diberi tarikh
yang tepat dan Misa Melayu pula
dianggap salah satu hasil sastera Sejarah yang amat bernilai, maka Hikayat Patani pula amat penting dalam melahirkan
hakikat bahawa pernah munculnya sebuah kerajaan Melayu lama yang menjadi pusat
agama Islam yang kuat di Pantai Timur Tanah Melayu, selepas runtuhnya kerajaan Melayu
Melaka.
Suatu
hal yang agak jelas ialah Hikayat Patani
tidak boleh sepenuhnya dianggap sebagai karya istana walaupun ia mengandungi
catatan peristiwa mengikut kronologi. Menurut Teeuw, matlamatnya yang utama
adalah untuk memberikan suatu jenis ‘piagam’ dalam institusi sosial, iaitu
Kesultanan Patani berserta fungsi-fungsi yang nomatif. Menurut Yusoff Iskandar
(1973), fungsi ini boleh mengambil bentuk mengenai perlakuan-perlakuan raja dan
rakyat Patani umumnya, juga masalah pola adat dalam kerajaan Melayu lama
zamannya.