Saturday 23 May 2015

Sakura Mengorak Kelopak


1.0  Pengenalan

           Dalam kesusasteraan Melayu moden, perkataan novel itu dipinjam daripada perkataan Inggeris novel dan perkataan ini digunakan bagi menamakan sejenis prosa naratif yang munasabah panjangnya yang terdapat dalam kesusasteraan tersebut yang muncul sekitar tahun-tahun dua puluhan abad ini. Sesungguhnya dalam kajian kesusasteraan Melayu moden, perkataan novel ini pertama kali digunakan oleh Za'ba sekitar tahun empat puluhan dalam sebuah tulisannya berjudul, Modern Developments. Tulisan ini berbahasa Inggeris yang membicarakan perkembangan baru dalam kesusasteraan Melayu moden.

Dalam tulisan berbahasa Melayu penggunaan perkataan novel itu, masih terlalu baru. Ini berlaku sekitar akhir tahun 1940-an atau dalam tahun-tahun 50-an manakala pembicaraan mengenai genre novel dan kajian mengenainya mula mendapat tempat dalam penerbitan majalah, akhbar, dan di universiti tempatan. Sebelum itu, berbagai-bagai sebutan digunakan bagi genre tersebut seperti hikayat, cerita, citra, ceritera, dan rencana.

Perkataan “novel” banyak maksud dan dapat dibahagikan kepada dua iaitu “novel kecil” yang dikenali sebagi novella dan “novel besar” yang dipanggil novel. Semua cerita yang panjangnya sederhana atau yang sangat panjang semuanya boleh terangkum dalam satu dan dikenali sebagai novel. Kemunculan karya-karya sastera seperti novel-novel Melayu sejak tahun-tahun 1920an hingga akhir-akhir tahun 1960an dengan membawakan isu, pemikiran dan dan juga gaya bahasa dan teknik penceritaan tersendiri dan sesuai pada kontek zamannya, sebenarnya telah menjadi dasar (model) dan kovensi kepada proses penciptaan bentuk novel yang kukuh kepada pengarang-pengarang novel Melayu yang mula berkarya pada dekad 40an hingga dekad 60an.


2.0 Sinopsis

           Novel Sakura Mengorak Kelopak mengisahkan tentang kehidupan golongan wanita Jepun yang sangat dikenali dengan perwatakan lembut dan bersopan santun. Mereka juga begitu sinonim dengan kesetiaan dan kepatuhan mereka kepada golongan lelaki. Namun begitu, rasa kesetiaan tidak lagi dianggap satu penghormatan oleh wanita Jepun yang kini didedahkan dengan cara hidup moden yang dipengaruhi oleh Barat. Mereka telah bangkit untuk merobohkan egoisme lelaki Jepun.

   Dalam Sakura Mengorak Kelopak diceritakan tentang rasa kesetiaan yang telah lama wujud di dalam diri wanita Dai Nihon semenjak berabad-abad lamanya sehingga menjadi kontroversi kerana mereka mula bangkit menentang. Dalam hal ini, digambarkan tentang watak seorang wanita Jepun iaitu Michiko yang berani menolak mayat suami yang mati yang melakukan harakiri (membunuh diri dengan menikam atau memburaikan perutnya apabila mendapat malu atau dihukum mati) bersama-sama dengan teman wanitanya yang mengandung.

  Watak utama bagi novel ini iaitu Nagai Michiko atau dikenali sebagai Michiko-San dari Universiti Tokyo telah membuat keputusan untuk tidak menerima mayat suaminya, Harumi yang curang. Walaupun didesak berkali-kali untuk menerima mayat Harumi tetapi Michiko tetap berkeras dengan keputusannya itu. Oleh itu, mayat Harumi akhirnya diuruskan oleh rumah sakit dan dibawa ke dewan besar Tonarigumi untuk upacara dan adat kematian. Hal ini menunjukkan kebangkitan Michiko untuk mendapatkan haknya sebagai seorang wanita yang tidak tunduk  kepada lelaki yang mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Michiko juga kecewa dengan ayahnya, Sa geike yang menganggap dirinya setia kepada ibunya walaupun membuat pengakuan bahawa dia pernah mempunyai perempuan lain selain ibunya. Bagi ayahnya, perkara itu merupakan perkara biasa bagi golongan lelaki Nihongin. Selama ini Michiko menyangkakan bahawa ayahnya merupakan seorang lelaki yang budiman dan setia setelah dia dikhianati oleh suaminya, Harumi.

Pada masa itu juga, Tokyo dan Kyoto mengalami satu siri letupan dan kebakaran yang hampir memusnahkan bandar-bandar. Dalam kejadian tersebut diceritakan pula tentang watak Atan iaitu seorang lelaki Melayu yang tinggal di Jepun yang kematian isteri dalam kebakaran hotel. Dia mengikuti fellowship selama setahun di Fakulti Pertanian Universiti Kyoto. Setelah kejadian malang yang menimpa isterinya, Atan berubah kepada seorang pendiam dan suka termenung kerana masih bersedih. Setelah bertemu dengan Michiko dalam satu perjumpaan, ada sesuatu yang menarik hati Michiko untuk mendekati Atan lantas bibit cinta muncul antara mereka. Tidak lama kemudian mereka berkahwin.
Melalui perkahwinan Atan dan Michiko telah wujud pertembungan budaya antara dua bangsa yang berbeza iaitu bangsa Jepun dan bangsa Melayu. Keadaan ini dapat dijelaskan apabila watak Atan digelar sebagai Atai-No-San oleh Michiko. Atai-No-San membawa maksud hadiah atau nilai berharga. Didapati adat masyarakat Jepun dan masyarakat Melayu mempunyai perbezaan. Selain itu, perkahwinan ini juga menyebabkan Michiko memeluk Islam dan banyak belajar tentang Islam melalui suaminya Atan.


3.0 Pengarang

         Muhammad Dahlan bin Abdul Biang, Andi Mohalan Andi Beang atau lebih dikenali sebagai Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia dan meninggal dunia pada 25 Januari 2009. Beliau merupakan Sasterawan Negara Malaysia pada tahun 1988. Nama pena beliau ialah Duta Muda dan Patria.

Arena Wati mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953.

Novel Sakura Mengorak Kelopak telah dihasilkan pada tahun 1987. Dalam novel ini, Arena Wati menyingkap beberapa aspek sistem nilai masyarakat Jepun. Turut dinaratifkannya ialah perubahan yang berlaku dalam sistem nilai masyarakat tersebut yang membawa kepada terjadinya emansipasi wanita Jepun. Arena Wati berwacana mengenai beberapa aspek pemikiran dan nilai masyarakat Jepun sambil meletakkannya ke dalam fiksyen seperti feminisme.  Hal ini telah memulakan, secara serius, pembinaan perspektif baru bagi naratif kesusasteraan Melayu yang berupaya keluar daripada kepompong Melayu Nusantara, dan berupaya menyingkap rahsia minda dan nilai kebudayaan asing. Seperti yang kita tahu, sasterawan Barat telah sekian lama menghasilkan naratif kita, naratif masyarakat Dunia Ketiga, daripada kacamata Orientalisme mereka, sehingga telah melahirkan wacana ilmu kolonial yang memperkecilkan minda Dunia Ketiga.


4.0 Pemikiran dan Idealisme dalam Sakura Mengorak Kelopak

4.1 Definisi Pemikiran dan Idealisme

Dalam sesebuah buku, biasanya pengarang buku akan cuba mengetengahkan pemikiran dan idealisme ke dalam karya. Hal ini demikian kerana, pemikiran dan idealisme merupakan tonggak utama dalam sesebuah karya. Begitu juga halnya dengan Hikayat Patani ini. Pengarang telah mengetengahkan pemikiran dan idealismenya yang tersendiri.Istilah pemikiran itu pada asalnya terbit daripada kata akar ‘fikir’ (S. Othman Kelantan, 1997). Perkataan itu berasal dari istilah Arab fikrun atau aftar. Dua perkataan ini membawa maksud ‘fikiran’. Menurut S. Othman Kelantan (1997: 6) lagi, kalimat fikir dan fikiran itu diertikan sebagai “ingatan, angan-angan, renung, akal; anggapan, pendapat, sangka, kira, daya berfikir, akal, ingatan, hasil pemikiran, pendapat, pertimbangan, upaya, muslihat”.

            Di samping itu, S.Othman Kelantan (1997) turut menjelaskan bahawa pemikiran merupakan satu fikiran atau idea yang muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan ini menggunakan akalnya dalam memikirkan konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya, dan pemikiran tersebut dilebarkan oleh golongan cerdik pandai ke luar lingkungannya.Pemikiran pengarang juga merupakan penampilan makna dalaman dalam sesuatu karya klasik juga dapat dilihat daripada sikap pengarang yang menampilkan  pengembaraan watak yang baik dan mengandungi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam sesebuah karya klasik. Fungsi cerita-cerita tersebut pula bukanlah pula sekadar menggambarkan selok-belok nasib wataknya, tetapi menampilkan atau mewujudkan idea melalui imej-imej plastis, memenuhi segenap ‘ruang fikiran’ dengan idea tersebut yang disampaikan melalui imej. Dengan hal itu pula, idea sedemikian membentuk dan mendidik akal pembaca dan pendengar (V. I. Brinsky, 1994: 59)

            Idealisme menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 558-559) ialah sifat, iaitu sikap atau perbuatan melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Selain itu, idealisme turut membawa maksud pemikiran atau idea. Pemikiran dan idealisme membawa makna yang sama iaitu buah fikiran atau idea yang cuba diketengahkan oleh golongan cerdik pandai. Kebanyakan pemikiran dan idealisme disebarkan melalui buku atau novel.


4.2 Terlatih  DenganDisiplin Dan Semangat Yang Kental

Sebagai gadis remaja zaman perang, Hanaoka terlatih dengan displin dan semangat kebangsaan yang meluap-luap dan tinggi, dan inilah yang masih berkesan dalam hidupnya sekarang. Kehidupan di Tokyo selepas perang dunia amat mencabar dan memaksanya bekerja kerana untuk lulus  dari Christian Women’s University di Tokyo 1954 dan dia berhenti  setakat Ijazah Kepujian Dalam Jurusan Sosiologi, lalu berkahwin dengn Ozawa Nakamura pada tahun 1955. Persaingan untuk mendapatkan pekerja amat sukar menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah dan menggalas tanggungjawab untuk menjaga keluarga mertuanya, namun begitu dia masih mencari peluang dan ruang supaya dapat meneruskan minatnya dalam bidang penulisan. Contohnya:

Persaingan untuk mendapat kerja terlalu berat, dan dia sudah menjadi suri rumah dalam suatu keluarga ternama, yang sekaligus berkewajipan seratus peratus menjaga mentua untuk mempersiapkan diri sebagai kepala rumahtangga dalam keluarga suaminya. Untuk mempergunakan ilmunya dan mengisi masanya, dia mengasah bakat semula jadi dari darah Sasaki dan Kawatake untuk menjadi penulis fiksyen, dan ini membawa kepada suatu  kejayaan sebagai novelis ketika usianya meningkat tiga puluh lima.

                                                       (Sakura Mengorak Kelopak: 27)


4.3 Ritual Kematian Menurut Buddha

Masyarakat Jepun mempercayai mengamalkan ritual kematian menurut Buddha seperti kehidupan selepas mati dan kehadiran anasir-anasir jahat yang menganggu kesejahteraan,antaranya kepercayaan terhadap kehadiran roh jahat. Contohnya :

Tanpa kata Sageike meninggalkan rumah, lengkap baju hujan, topi dan payung dan segera menyelesaikan rawatannya, lalu berkejar ke rumah Muragaki Harumi. Di sana Nagai Sageike dapati mayat sahabatnya sudah dikerumuni anak-cucu, keluarga, jiran-jiran dan sahabat handai. Menantu dari putera sulung Harumi telah melengkapi keperluan; pisau untuk menghalau roh jahat, kapas, pakaian mayat, hidangan nasi dan lauk dan sake atas dulang kayu, berbagai alat upacara kematian menurut Buddha campuran Shinto sudah lengkap semuanya.
                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 41)


4.4 Kepentingan Pendidikan Dalam Meneruskan Kehidupan

Michiko mengetahui betapa  pentingnya pendidikan bagi dia untuk meneruskan kehidupan dan supaya berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik.Hal ini kerana saingan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik contohnya seperti jawatan white collar sangat terhad dan memberi saingan yang tinggi kepada pemohon. Contohnya:

Dari sekolah rendah Michiko membuktikan bahawa dia lebih pintar dari abang-abangnya sehingga masing-masing lulus dari High School di Aomori. Abang-abang Michiko hanya mencapai sekadar lulus, dan akhirnya kembali dalam masyarakat sebagai nelayan dan petani moden, sebab saingan untuk jawatan white collar sangat terbatas di utara; tidak mudah tembus dengan hanya bersenjatakan High School yang tidak cemerlang. Michiko mengatasi semua itu, lalu diterima masuk ke Universiti Tokyo.
                                                                                  
                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 64)

4.5 Pengaruh Islam Dalam Kehidupan

Michiko sudah mula untuk mendalami ajaran islam dalam kehidupan. Meskipun agak sukar pada permulaannya, namun dia bertekad untuk mempelajari secara perlahan-lahan sambil dibantu oleh suaminya. Suami Michiko iaitu Atan yang banyak mendorong dan membantu Michiko dalam mempelajari tuntutan dalam agama Islam. Contohnya:

Atan memandikan Michiko, menjirusnya dengan sekujur tubuh, tujuh kali dan berkata “Kau sudah tahu ambik wuduk. Buatlah sekarang, dan kerana saya dan kau dalam mazhad Syafie, kita tidak boleh bersentuhan buat sementara hingga selesai saya buat solat sunat.” Atan jadi iman, dan Michiko jadi makmun dalam solat syukur, dan setelah Atan menyelesaikan doa, dia berpaling kepada isterinya, menjabat tangan Michiko.
                                            (Sakura Mengorak Kelopak: 173)


4.6 Bertimbang Rasa Sesama Manusia

Atan yang kehabisan tenaga tidak dapat meneruskan perjalanan walaupun disuruh oleh Pihak Polis. Dalam keadaan yang lemah Atan cuba untuk mengatur tutur kata dalam bahasa Jepun walaupun masih kaku. Atan dan Isterinya iaitu Michiko dibukakan pintu supaya dapat masuk ke dalam. Kehadiran orang ramai yang merempuh pintu menyebabkan Atan tersepit. Akhirnya Atan dan isterinya dapat masuk ke dalam dengan pertolongan polis yang berada disitu walaupun pada permulaannya dihimpit oleh orang ramai. Contohnya:

Atan lega, kerana dia sedar sekarang, orang Rusia ini mungkin dapat menolong. “Bolehkah isteri saya dan saya berlindung sebentar? Saya tidak akan meminta apa-apa, kecuali telefon kalau masih dapat digunakan.” “Kepada kedutaanmu”? Atan mengangguk. Dan orang ini memerintahkan buka pintu pagar. Tapi sebelum Michiko dapat dimasukkan ke dalam, orang ramai sudah merempuh pintu pagar yang terbuka sedikit itu. Atan tersepit. Dan polis bersama tentera memegang tanggannya dari dalam. Akhirnya Michiko lolos, dan orang yang memaksa dari luar dipujuk supaya jalan terus. Tapi pujukan tidak laku dalam keadaan sebegitu. Lalu seorang polis bertindak kasar menolak keluar dan Atan ditarik ke dalam.

                                                      Sakura Mengorak Kelopak: 343)


4.7 Penggunaan Nama Keluarga Dalam Masyarakat Jepun

Masyarakat Jepun amat mementingkan penggunaan nama keluarga dalam kalangan mereka. Hal ini boleh dilihat apabila setiap orang akan disebut dan ditulis nama keluarga dahulu berbanding namanya sendiri. Seseorang akan dianggap kurang sopan sekiranya nama dirinya mendahului nama keluarganya. Tambo dan salasilah keluarga ini menjadi satu simpanan yang dianggap sakti, dijaga dan dipelihara. Contohnya:

Nama-nama keluarga itu kekal pada diri setiap orang, kerana setiap orang disebut dan ditulis nama keluarga dulu baru disebut nama diri. Dan umumnya dalam etika hubungan, dalam perbualan atau pertemuan, namadiri jarang disebut tetapi diutamakan nama keluarga. Adalah dianggap kurang sopan bagi seseorang yang belum akrab apalagi orang yang dianggap lebih tua atau tinggi darjatnya kalau disebut nama dirinya mendahului nama keluarganya.
                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 411)

4.8 Mempelajari Budaya Asing

  Atan merupakan individu yang dilahirkan di Malaysia dan berasal darisebuah kampung. Cara hidup dan budaya yang dipelajari adalah berkitan dengan budaya masyarakat Melayu. Namun Atan cuba untuk membiasakan diri dan mempelajari nilai dan budaya masyarakat Jepun setelah berkawan dengan sahabatnya yang tinggal di Jepun dan mempunyai ikatan perkahwinan dengan seorang gadis Jepun iaitu Michiko. Atan telah mempelajari cara memegang mangkuk sup dengan betul dengan bantuan sahabatnya Jirosaki Taeko. Atan juga menerapkan budaya menghormati tuan rumah apabila berkunjung ke rumah sahabatnya. Contohnya:

Atan melihat Nobutake menghabiskan dua mangkuk nasi. Dan untuk menghormati tuan rumahnya, dia membiarkan mangkuknya diisi oleh Nobutake. Lalu meminum habis supnya. “Saya lihat caraAtan-san memegang mangkuk sup sudah lancar, kena betul. Michiko ajar begitu?” “Di Kyoto, Sasaki-san. Lama sebelum berjumpa dengan Michiko. Jirosaki Taeko banyak mengajar saya tentang cara hidup di negeri ini. Tapi maafkan saya Sasaki-san. Saya masih bebal. Belum sanggup hadir dalam majlis minum teh.”
.                                                               (Sakura Mengorak Kelopak: 446)

5.0 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup Dalam Sakura Mengorak Kelopak

          Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang membawa maksud budi pekerti atau akal. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu colore yang membawa maksud menanam atau mengerjakan.

Budaya mempunyai hubungan erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang ditentukan dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubungkait dengan kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Bukan itu sahaja, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya.

Selain itu, budaya juga merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, normal, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni, dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.

Daripada kesemua pengertian ini, budaya boleh disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk pemikiran dan hasil ciptaan yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan hidup dalam sesuatu kelompok masyarakat. Oleh itu, dalam karya agung Melayu iaitu Sakura Mengorak Kelopak, turut menggambarkan peribadi masyarakat Jepun sebagai masyarakat yang kuat berpegang pada adat dan mengamalkan cara hidup yang berlandaskan agama Buddha dan warisan nenek moyang.

5.1 Adat Perkahwinan

Adat perkahwinan masyarakat Jepun sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan adat perkahwinan bagi masyarakat Melayu. Dalam adat perkahwinan masyarakat Jepun iaitu adat merisik, mereka menggunakan orang tengah bagi kedua-dua pihak iaitu pihak lelaki dan juga pihak perempuan. Orang tengah akan meminta gambar dari pihak lelaki untuk dibawa kepada pihak perempuan dengan syarat gadis tersebut belum terikat dengan risikan lain. Hal ini juga dilakukan oleh pihak perempuan iaitu gambar gadis tersebut juga diberikan kepada pihak lelaki.

Setelah kedua-dua pihak telah bersetuju dan saling menyukai, barulah memasuki fasa yang rumit iaitu menyiasat latar belakang kedua-dua belah pihak. Bagi pihak perempuan, mereka akan melantik beberapa orang untuk mengumpulkan maklumat latar belakang diri lelaki, ibu bapa, saudara baik dari segi adat, amanah, dan sesuatu kecacatan yang ditemui akan dijadikan alasan untuk memberhentikan risikan yang dibuat.

Bagi pihak lelaki, mereka lebih berhati-hati dengan erti kata lain, mereka akan mengkaji peribadi gadis dansejarah hidupnya, melihat kekurangan saudara maranya dan jika terdapat cacat-celanyarisikan akan diberhentikan dengan memulangkan cincin ikatan risikan melalui orang tengah. Hal ini dapat dibuktikan seperti contoh dibawah:

…Hanaoka termenung panjang   menyusuri tatacara risiskan dan peminangan dalam perkahwinan orang Jepun. Orang tengah akan meminta Orang tengah akan meminta gambar dari pihak lelaki untuk dibawa kepada pihak perempuan setelah pasti bahawa gadis yang dimaksud belum terikat risiskan lain. Dan sebaliknya, gambar gadis tersebut juga diberikan kepada pihak lelaki.Setelah masing-masing berkenan, barulah memasuki fasa yang rumit iaitu menyiasat keluarga kedua belah pihak. Bagi pihak perempuan, mereka akan melantik beberapa orang untuk mengumpulkan keteranganatas diri lelaki, ibu bapa, saudara baik dari segi adat, amanah, perangai dan segala jenis penyakit, sudah cukup dijadikan alasan untuk memberhentikan risikan. Bagi pihak lelaki, mereka lebih berhati-hati dengan erti lagi. Peribadi gadis dan sejarah hidupnyaakan dikaji, cacat-cela saudara maranya, ibu bapanya. Dan didapati sedikit kecacatan di kalangan mereka, risikan akan diberhentikan dengan memulangkan cincin ikatan risikan melalui orang tengah.
                                                                                         
                                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 77)

5.2 Adat Membongkok sebagai Tanda Hormat

Masyarakat Jepun adalah masyarakat yang cukup lemah lembut dan sopan. Hal ini dilihat melalui adat yang mereka sering buat iaitu membongkok. Adat membongkok ini adalah bertujuan untuk meminta maaf, berkenalan, berziarah di rumah orang, meminta kebenaran berbuat sesuatu, bahkan sehingga berbicara di telefon pun orang Jepun sering membongkok sedikit walhal orang yang berbicara dengannya tidak melihat dia.
Adat membongkok ini adalah suatu kemestian. Tradisi ini sudah dididik daripada peringkat kanak-kanak lagi. Adat membongkok dalam novel ini adalah bertujuan untuk menunjukkan tanda hormat dan tanda meminta maaf Hanaoka kepada Nobutake kerana menyebabkan Nobutake menunggu lama. Hal ini dapat dilihat seperti contoh di bawah:

…setelah saling membongkok sebanyak tiga kali sebagai kelaziman adat, Hanaoka berkata halus sekali, “Maafkan kerana barangkali menunggu lama.Tapi saya sudah berusaha tepat pada waktunya. 
                                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 21)

5.3  Adat Memakai Pedang

Adat memakai pedang bagi keturunan dari darah samurai asal Hikone menjadi kebanggaan Tokugawa.Mereka lazimnya memakai pedang pendek dalam kawasan sendiri sebagai symbol yang mana bukan sahaja harus dipakai, malah mesti dihayati dengan tanggapan erti dan semangat pedang.Adat memakai pedang ini menjadi teradat bagi anak lelaki yang tua yang menjadi symbol pemegang waris. Hal ini dapat dilihat seperti contoh di bawah:

Nobutake tidak pernah curiga atas keselamatan dirinya, terutama dalam kawasan Sasaki Kyori sendiri.Tapi sebagai keturunan dari darah samurai asal Hikone yang jadi kebanggaan Tokugawa, kelaziman memakai pedang dalam kawasan sendiri menjadi teradat terutama bagi anak lelaki tertua, sebagai pemegang waris.Pedang pendek itu hanya sebagai simbol, yang bukan saja harus dipakai, tetapi juga mesti dihayati dengan tanggapan erti dan semangat jiwa pedang.
                                                                                                
                                                                              (Sakura Mengorak Kelopak: 14)

5.4  Adat potong Rambut

Adat potong rambut hanya dilakukan oleh kaum perempuan sahaja untuk menunjukkan bahawa mereka mahu berkahwin lain atau menjadi janda seumur hidup. Pertama, jika seseorang wanita yang kematian suami tidak mahu berkhawin lagi, maka dia harus memotong pendek rambutnya sebagai tanda mahu menjadi janda seumur hidup. Kedua, jika wanita tersebut mahu berkahwin lagi, maka dia akan membiarkan rambutnya panjang sebagai tanda bersedia berkahwin.Hal ini dapat dibuktikan dalam novel Sakura Mengorak Kelopak seperti contoh di bawah:

“Andai kata saya terima mayat suami saya dengan baik, ya, saya jadi janda yang normal.Ertinya dalam adat kami, saya ada dua pilihan secara rasmi.Pertama, saya nyatakan tidak mahu kahwin lagi dan untuk itu, saya mesti potong pendek rambut saya, sebagai tanda pengumuman bahawa saya mahu jadi janda seumur hidup.Kedua, saya bersedia untuk kahwin lagi dan dalam hal ini saya akan biarkan rambbut saya panjang sebagai pengumuman bahawa saya bersedia kahwin”.


                                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 66)


     Seterusnya, konsep pandangan hidup merupakan satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu.Konsep pandangan hidup menurut pandangan sarjana Islam, iaitu Syed Naqiub al-Attas (1972) pandangan hidup mestilah bersumberkan islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, dari perspektif Islam, pandangan hidup ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.

     Namun, dalam novel Sakura Mengorak Kelopak banyak menceritakan atau menerangkan permasalahan yang berkaitan dengan manusia dan alam. Pandangan hidup tentang manusia dapat diperincikan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat.

5.5  Kesetiaan Isteri kepada Suami

Berdasarkan novel Sakura Mengorak Kelopak, para isteri masyarakat Jepun harus menunjukkan sepenuhnya taat setia mereka kepada suami walaupun mereka menyedari suami mereka melakukan perbuatan yang tidak elok seperti curang secara tersembunyi atau terang-terangan. Hal ini dapat diterima oleh semua kaum perempuan masyarakat Jepun dan mereka juga tidak mempunyai hak untuk menahan suami meraka keluar atau bersama perempuan lain.

Bukan itu sahaja,  menurut tradisi wanita Jepun, mereka tidak berasa khuatir suami mereka bersama dengan perempuan lain kerana mereka menganggap bahawa suaminya mereka akan tetap ada bersama mereka. Hal ini berlaku adalah disebabkan kaum lelaki masyarakat Jepun tidak boleh berkahwin lebih daripada satu iaitu berkahwin lagi selepas adanya isteri di sisi. Hal ini dapat dibuktikan seperti ayat dibawah iaitu percakapan antara Michiko dengan ayahnya.

“Memang tidak Papa!” suara Michiko seakan memberi jaminan. “Agama mereka melarang perbuatan begitu, pergi ke perempuan lain. Tidak boleh ada dua atau tiga bini.Tapi mereka lakukan juga.Saya mahu buat apa suami begitu?”

                                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 66)

Oleh itu, kaum wanita masyarakat Jepun membiarkan kecurangan suami mereka seperti membutakan mata dan memekakkan telinga. Mereka harus mentaati suami mereka walau apa pun yang berlaku. Hal ini dapat dilihat apabila seorang isteri yang betul-betul taat kepada suaminya sehinggakan mereka menyediakan tempat tidurnya sendiri untuk diberikan kepada perempuan yang dibawa suaminya masuk ke rumah.

Bukan itu sahaja, isteri yang sah tersebut mesti setia menunggu di luar pintu, duduk atau berdiri secara senyap dan diam sebagai persediaan sebarang kerja yang akan diarahkan oleh suami bagi kesenangannya dengan perempuan yang dibawanya tidur. Hal ini dapat dibuktikan seperti ayat di bawah:

…si isteri mesti setia kepada suaminya, menyediakan tempat tidurnya sendiri, untuk diberikan kepada perempuan yang dibawa suaminya masuk ke dalam rumah.Dan isteri yang sah itu mesti setia menunggu di luar pintu, duduk atau berdiri diam-diam, untuk segera melakukan kerja yang diarahkan oleh suaminya bagi kesenangannya dengan perempuan yang dibawanya tidur itu.”


                                                                      (Sakura Mengorak Kelopak: 118)


5.6  Pegangan Etika Moral Masyarakat Jepun

Pegangan etika moral masyarakat Jepun adalah sangat bercanggah dengan peraturan agama Islam bagi masyarakat Islam, namun bagi mereka masyarakat Jepun, mereka khususnya kaum wanita di sana menerimanya sebagai peraturan kehidupan yang dapat diterima oleh semua. Mereka memegang etika moral ini dengan dua tujuan iaitu tujuan pertama adalah bagi menjaga air muka roh nenek moyang mereka. Kedua adalah bagi menjaga maruah atau air muka orang yang hidup iaitu merangkumi lingkungan keluarga, lingkungan jiran atau Tonarigumi, linkungan masyarakat, dan sebagainya.

Keadaan ini dibuktikan oleh Michiko kepada Atan kenalan yang ditemuinya di dalam pesawat ke Kyoto. Michiko menjelaskan konsep etika moral kepada Atan dengan membuka pakaiannya sebelum pergi mandi dengan berkeadaan berbogel di hadapan Atan. Menurut Michiko, berkeadaan sedemikian tidak melanggar etika moral dalam masyarakat mereka. Hal ini adalah disebabkan oleh Michiko berbogel di tempat tertutup atau dalam rumah di tengah-tengah keluarga sendiri adalah tidak melanggar hukum etika moral.

Maksud di tengah-tengah keluarga sendiri adalah ahli keluarga sendiri, suami, isteri, dan juga termasuk orang lain iaitu orang yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri. Hal ini dapat dibuktikan melalui percakapan Michiko dengan Atan di apartmen Michiko sewaktu Michiko mahu Atan sebagai kawan menemaninya yang dalam kesedihan buat sementara waktu. Contohnya adalah seperti berikut:

Ini salah satu daripada kriteria etika moral dalam konsep malu itu,” kata Michiko.“Telanjang dalam tempat tertutup atau dalam rumah di tengah-tengah keluarga sendiri, tidak melanggar etika moral.”


                                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 114)


6.0 Konsep Nilai Ilmu Dalam Sakura Mengorak Kelopak

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu, dan taraf. Dalam bidang sains sosial menurut Mohd Rashid (2011), nilai atau value boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama iaitu sebagai menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga dapat diistilahkan sebagai ‘Al-Qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai.

            Nilai membolehkan manusia membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang buruk dan yang betul dengan yang salah.Oleh hal yang demikian, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau atau asas dalam menerima atau menolak dalam sesuatu perlakuan manusia.Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat.Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu amat mementingkan nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai dalam masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua cara iaitu formal dan tidak formal. 

            Seri Lanang Jaya et. al (2013) menyatakan bahawa nilai dan etika masyarakat berkait rapat dengan perkara yang mempunyai nilai yang tinggi dari aspek kebenaran, kebaikan, dan keindahan yang sangat sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu seluruh Nusantara. Ketinggian dan kesucian nilai dan etika berdasarkan pengaruh agama Islam itu sendiri telah memberi kesan yang sangat besar terhadap akal budi Melayu sehingga hari ini.

            Manakala, ilmu pula bermaksud pengetahuan mengenai perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dan sebagainya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Oleh itu, ilmu dikatakan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan usaha menyebarkannya dalam bentuk maklumat kepada orang lain. Maklumat yang disebarkan itu mengandungi pelbagai fungsi seperti untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan merungkaikan segala kemusykilan.

6.1 Nilai Ilmu yang Terdapat dalam Sakura Mengorak Kelopak

Dalam menganalisis karya moden kali ini, Arena Wati telah menyelitkan beberapa nilai ilmu dalam karyanya yang bertajuk Sakura Mengorak Kelopak. Berbeza dengan novel lain, Arena Wati telah menyelitkan nilai-nilai ilmu yang lebih mengfokuskan ke arah negara Timur iaitu negara Jepun. Antara nilai-nilai ilmu yang dapat diketengahkan berdasarkan novel Sakura Mengorak Langkah ialah nilai ilmu pendidikan, ilmu perniagaan, ilmu pertanian, ilmu firasat, ilmu mantera, ilmu perikanan, dan ilmu keagamaan.

            6.1.1        Ilmu Perniagaan

Ilmu perniagaan telah lama wujud sejak zaman Nabi Adam sehinggalah zaman keemasan pemerintah Islam yang menggariskan tentang halal haram sesuatu perniagaan di dalam khazanah ilmu yang terdapat di dalam kitab-kitab semasa zaman Abbasiah. Jadi, tidak hairanlah ilmu ini telah berkembang pesat sehingga ke pelusuk dunia. Arena Wati telah menggambarkan ilmu perniagaan dalam novel Sakura Mengorak Kelopak dengan menceritakan bahawa Sasaki Nabutake seorang yang bekerja keras dalam mengumpul harta di mana beliau telah memulihkan perusahaan Sasaki sebagai jurubina dan kontraktor dan sekaligus memasuki bidang hartanah. Hal ini dapat dibuktikan  pada muka surat 18.

Di sinilah Nabutake mulai bekerja keras, menggunakan bekas tentera yang masih hidup dan pernah dipimpinnya. Dia memulihkan perusahaan Sasaki sebagai jurubina, kontraktor dan sekaligus memasuki bidang hartanah. Dasar MacArthur membangun kembali Jepun dengan mengenakan cukai pembangunan yang terlalu tinggi menyebabkan        ramai pemilik hartanah di Jepun, terutama di Tokyo tidak mampu membayar cukai lalu menjual tanah mereka.”

                                                                                (Sakura Mengorak Kelopak : 18)

            6.1.2        Ilmu Pertanian

Sektor pertanian sememangnya merupakan salah satu sektor yang terpenting bagi setiap negara. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju.Berdasarkan novel yang dikaji, Arena Wati turut menyelitkan ilmu pertanian dalam kalangan masyarakat Jepun.Sektor pertanian merupakan sektor yang kurang diceburi dalam masyarakat Jepun.Hal ini dapatdibuktikan  pada muka surat 25.

“Dalam masyarakat Jepun yang dianggap pada dasarnya masih banyak bergantungan pada pertanian dengan menggunakan tanah lima setengah juta hectare, hanya 13% rumah tangga Jepun yang terlibat dalam sektor pertanian.”
                                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 25)

          6.1.3        Ilmu Pendidikan

Pendidikan adalah hal terpenting dalam kehidupan seseorang. Melalui pendidikan, seseorang akan dipandang tinggi, memiliki kerjaya yang baik serta dapat bertingkah-laku sesuai dengan norma-norma yang berlaku. Ilmu pendidikan juga turut diselitkan dalam novel yang dikaji iaitu novel Sakura Mengorak Kelopak. Dalam novel ini, Arena Wati menceritakan Nabutake pada zaman remajanya merupakan seorang pelajar yang berkelulusan dari High School di Tokyo, namun pencapaianya tidak cukup untuk beliau menyambung pembelajarannya ke Tokyo Imperial University. Oleh kerana Nobutake merupakan seorang anak dari hartawan, Nobutake telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Waseda sehingga beliau lulus dalam kelulusan Kejuruteraan Awam. Hal ini dapat dibuktikan pada muka surat 17 hingga 18.

Pada zaman remajanya, Nonutake lulus dari High School Di Tokyo, tetapi pencapaiannya tidak cukup untuk masuk ke Tokyo Imperial Uiversity. Bukan salahnya semata-mata.Ini tergantung pada sikap ayahnyasendiri yang terlalu banyak mengambil masa Nobutake untuk melibatkannya dalam urusan perniagaan. Tetapi, sebagai anak orang kaya, Nobutake mudah masuk ke Universiti Waseda, dan di sana dia lulus Kejuruteraan Awam pada tahun 1936.
                                                                                 
                                                                    (Sakura Mengorak Kelopak :17-18)

Berdasarkan rangkap di atas, dapat dibuktikan sememangnya orang Jepun begitu mementingkan ilmu pendidikan.

             6.1.4        Ilmu Firasat

Menurut Kamus Dewan (2010), firasat bermaksud pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka, badan, dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang. Tilikan atau ramalan ahli nujum juga antara contoh ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat, atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan  orang lain, antaranya berdasarkan nama, hari, atau ketika. Umumnya, ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi, dan firasat terhadap binatang. Contoh ilmu firasat dalam novel Sakura Mengorak Kelopak ialah:

“Michiko-san langsung dari fakulti?” Tanya Nobutake. “Maafkan saya kalau terpaksa mengambil waktumu hari ini.” Michiko senyum dan geleng kepala, “Langsung dari rumah!”“Ya, sekali lagi maafkan saya yang tua renta ini, Michiko-san, sebab saya rasa beg fakultimu telah bercerita banyak kepada saya sekarang, bahawa kau datang ke Sasaki Kyori sebagai suatu tugas yang kau samakan dengan kerjamu di fakulti.”
                                                                                  
                                                                      (Sakura Mengorak Kelopak: 31)

Berdasarkan petikan yang dinyatakan di atas, dapat dibuktikan bahawa Nobutake berpendapat atau berfirasat bahawa Michiko telah menyamakan tugasnya di fakulti dengan kehadiran dirinya ke Sasaki Kyori.

             6.1.5        Ilmu Keagamaan

Ilmu keagamaan juga cuba digambarkan oleh Arena Wati dalam novel Sakura Mengorak Kelopak. Ilmu keagamaan yang cuba ditonjolkan ialah ilmu keislaman. Bagaimana seorang lelaki muslim iaitu Atan menerangkan adat perkahwinan mengikut cara Islam kepada seorang wanita Jepun yang beragama Buddha iaitu Michiko. Hal ini dapat dibktikan pada rangkap di bawah:

“Kaum wanita kami lebih beruntung, dibandingkan wanita Nihon. Dalam hal ini, norma kami terbahagi dua. Pertama, isteri yang kematian suami.Kedua, isteri yang bercerai dengan suami.” “Bagaimana itu?Yang pertama dulu.” “Isteri yang kematian suami, boleh kahwin dengan lelaki lain, kalau dia mahu, dengan syarat kena melalui tempoh selama setahun. Tujuan tempoh setahun tersebut ialah untuk memastikan bahawa tidak ada lagi kandungan dalam rahimnya hasil dari percampuran  dengan suaminya sebelum suami itu meninggal dunia.

                                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 112)


7.0 Teknik Kepengarangan

Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al ( 2014 ), kepengarangan dianalisis daripada pelbagai aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing.  Keindahan dapat dilihat daripada pembentukan tekstual dan kontekstual , terutamanya aspek kebahasaan juga ( Mana Sikana, 2007 ).

Dalam karya yang dikaji iaitu Sakura Mengorak Kelopak karya Arena Wati, terdapat beberapa teknik kepengarangan yang diperoleh berdasarkan hasil pembacaan. Teknik kepengarangan ini telah digunakan di sepanjang jalan cerita novel tersebut. Antara teknik kepengarangan yang terdapat dalam novel Sakura Mengorak Kelopak ialah:

7.1 Teknik Penceritaan

Teknik penceritaan merupakan salah satu cara atau kaedah seseorang penulis menyampaikan  cerita dalam karya mereka. Dalam teknik ini, terdapat beberapa teknik penceritaan yang biasa digunakan oleh penulis.Menurut Sulaiman Masri et al ( 2006 ), teknik penceritaan yang biasa termasuklah teknik dialog, monolog dalaman, monolog luaran, pemerian dan sebagainya. Dalam novel Sakura Mengorak Kelopak, teknik penceritaan yang digunakan adalah seperti yang berikut:

             7.1.1        Teknik pemerian
Pemerian merupakan teknik yang paling tua dan paling banyak digunakan oleh penulis dalam karya-karya mereka. Melalui teknik ini, penulis telah bercerita secara langsung tentang apa sahaja sama ada peristiwa atau keadaan, watak dan perwatakan atau latar cerita dalam karya tersebut. Dalam novel yang dikaji, contoh teknik pemerian yang terdapat adalah seperti yang berikut:
Contoh ayat 1:

Panas lembap awal Julai dengan curahan hujan yang mula merosot menjelang kemuncak musim panas di Tokyo, menggerakkan thermometer naik ke angka tiga puluh darjah celcius.Daun-daun mencapai puncak kesuburannya.Angin Tenggara dari Pasifik mengalir sepoi basah. Suara burung mencicik tingkah-bertingkah, berpasangan, bertenggek mematuk ulat dahan, melayang, menyambar serangga dalam sebuah taman yang luas. Tubuh-tumbuhan merimbun dengan ranting baru yang menjulur dari bekas cantasan bulan November.
                                                                                 (Sakura Mengorak Kelopak: 11)
Contoh ayat 2:

Sikapnya terbuka, peramah tapi hormat kepada orang, dan dengan kegemarannya sendiri, Ariyoshi sanggup membuang masa sehari penuh, kalau ada pelanggannya dari Indonesia atau Malaysia, dan dilayannya berbual dengan bahasa Melayu yang lancar.

                                                          (Sakura Mengorak Kelopak: 101)

Berdasarkan contoh ayat 1, pemerian yang digunakan oleh penulis ialah pemerian tentang keadaan di Tokyo. Dalam hal ini, penulis telah menceritakan suasana pada waktu itu dengan mengaitkan tentang cuaca panas, hujan, tumbuh-tumbuhan dan haiwan iaitu burung. Manakala bagi contoh ayat 2 pula, penulis telah membuat pemerian tentang perwatakan bagi watak Osaragi Ariyoshi yang merupakan seorang yang bersikap terbuka, hormat-menghormati dan seorang yang melayan pelanggannya dengan baik.

              7.1.2        Teknik dialog

Dialog pula merupakan percakapan watak dengan watak dalam cerita yang melibatkan dua watak atau lebih yang akan berbalas kata. Melalui teknik ini, penulis menyampaikan cerita secara tidak langsung pembaca dapat mengetahui sesuatu peristiwa, watak dan perwatakan serta latar belakang dialog. Contohnya :

“ Tentu papa marah pada perempuan itu?”
“ Mama juga marah.”
“ Nah, kalau papa marah, dan mama juga marah kepada perempuan itu, kenapa mereka bertengkar tentang perempuan itu?”
“Papa berkeras , mahu perempuan itu dibunuh.”

                                                                      (Sakura Mengorak Kelopak: 153)

Berdasarkan dialog di atas, ia merupakan dialog antara Kenji dengan isterinya yang berbual tentang ibu bapanya yang bertengkar disebabkan oleh peristiwa Michiko yang bertindak tidak menerima mayat suaminya.


              7.1.3        Monolog dalaman

Monolog dalaman merupakan percakapan di dalam minda atau fikiran watak dengan dirinya sendiri.Ia tidak mengeluarkan suara. Sesetengah penulis menggunakan akan menggunakan tanda pengikat kata, terdapat juga yang tidak menggunakan pengikat kata. Monolog dalaman yang terdapat dalam novel ini ialah:

‘Kenapa suamiku berubah?’ dia bertanya dalam hati, dan mencari liku-liku persoalan itu.‘ kenapa dia tidak berterus terang?’
                                                                                (Sakura Mengorak kelopak: 46)

Dalam ayat ini, Michiko bertanya dalam hatinya tentang sikap suaminya yang telah berubah.Dia tertanya-tanya sebab berlakunya sedemikian.Dia juga tertanya tentang sebab suaminya yang tidak berterus terang itu.

             7.1.4        Teknik Imbas Muka

Imbas muka merupakan bayangan peristiwa yang akan berlaku . Biasanya ia wujud dalam fikiran atau minda watak dalam cerita sama ada dalam bentuk angan-angan atau jangkaan watak itu. Contohnya:

“Barangkali saya dituduh perempuan tidak berguna, tidak dapat anak. Barangkali mereka tuduh saya tidak boleh beranak, lalu suami saya mengambil perempuan lain.”
                                                                                    
                                                                        (Sakura Mengorak Kelopak: 57)

 Ayat di atas menunjukkan bahawa penulis telah menggunakan teknik imbas muka yang digunakan dalam watak Michiko. Dalam hal ini, Michiko telah membayangkan sesuatu yang terjadi pada masa akan datang yang dia sendiri bimbang sekiranya masyarakat menuduhnya sebagai seorang perempuan yang tidak berguna akibat tiada anak.


7.1.5 Teknik Imbas Kembali

Menurut Rahman Shaari (2002), imbas kembali merujuk kepada bahagian cerita yang mengisi kejadian atau kejadian-kejadian pada masa silam. Teknik ini merupakan teknik penceritaan semula sesuatu peristiwa yang pernah berlaku pada masa lepas.Ia diimbas secara langsung melalui pemerian penulis atau secara tidak langsung melalui pemikiran atau dialog watak. Contohnya :

“Saya tahu, papa,” suaranya lebih tegas, dan sungguh-sungguh mahu meyakinkan ayahnya.Tapi Michiko tidak mahu berterus-terang, bahawa empat bulan pertama dari perkahwinannya, dia sudah buang kandungan dua bulan dari dalam rahimnya, sebab dia belum bersedia menjadi ibu, dalam keadaan hidupnya seperti itu.Dia bekerja di Tokyo, sibuk dalam kampus dan kegiatan kemasyarakatan, dan suami jauh nun di Utara, di Aomori.      
   
                                                                                       (Sakura Mengorak Kelopak: 58)

            Imbas kembali ini berlaku penulis ingin menceritakan semula tentang peristiwa yang telah terjadi pada watak Michiko yang dahulunya Michiko telah hamil tetapi digugurkannya disebabkan oleh dia sendiri tidak bersedia menjadi seorang ibu dan keadaan hidupnya yang berasingan dengan suaminya. Bagi Michiko, mendapat anak di Tokyo begitu rumit, dia sanggup membiayainya tetapi tidak mudah untuk menjaganya.


            7.1.6 Teknik saspen

Teknik saspen merupakan keadaan tegang atau cemas dalam sesuatu peristiwa. Ia dapat dirasakan oleh pembaca atau watak dalam cerita yang mengalami peristiwa berkenaan. Keadaan cemas itu telah mewujudkan pelbagai andaian.Contohnya:

“ Dalam pakaian begini, Michiko-san?” “Kenapa?”Michiko hairan. “Saya selalu dalam yukuta kalau pulang ke Aomori. Kecuali dalam musim dingin!” “Tapi ini terlalu, Michiko-san!”“Apa maksudmu?” “Kenapa tidak pakaian berkabung?”
                                                                                                  
                                                                     (Sakura Mengorak Kelopak: 47)

            Dalam situasi dialog di atas merupakan dialog antara Michiko dengan pemandu teksi. Di sini telah wujudnya unsur saspen di mana Michiko sendiri berasa hairan terhadap apa yang diperkatakan oleh pemandu teksi tersebut. Apatah lagi apabila pemandu teksi tersebut menyatakan pakaian yang dipakai oleh Michiko itu keterlaluan dan bertanya kepada Michiko sebab tidak memakai pakaian untuk berkabung.


      7.1.7 Teknik Penerangan

Di dalam novel ini, teknik penerangan yang digunakan oleh pengarang adalah untuk menerangkan kepada sesuatu perkara yang merujuk kepada sesuatu perkara.. Penerangan ini diguanakan bagi memudahkan pembaca mudah memahami dan mengetahuiakan sesuatu perkara. Teknik penerangan yang digunakan secara langsung dapat menarik perhatian pembaca untuk mengetahui sesuatu perkara itu. Contohnya :

Contoh ayat 1:

Tempat ini dapat nama julukan semenjak tahun lima puluhan dengan nama Sasaki Kyori (Kyoori), yang dapat diertikan dalam tiga makna, iaitu kampong kediaman Sasaki, hati nurani Sasaki dan ajaran hidup Sasaki.

                                                                                          (Sakura Mengorak kelopak: 11)
Contoh ayat 2:

Bagi orang asing yang kurang memahami akar kata dalam bahasa Jepun dan tidak mengetahui tulisan kanji secara matang, perkataan ini bukan saja membawa erti tiga serangkai seperti yang disebut di atas, tetapi juga boleh mengelirukan kalau-kalau semata-mata membaca huruf Latinnya, kerana kata kyōri dengan ‘o’ panjang, dengan kyōri dengan ‘o’ pendek sudah membawa dua erti yang baru.
                                                                             (Sakura Mengorak Kelopak: 12)

            Melalui contoh ayat 1 di atas, penulis ingin menerangkan tentang nama tempat Sasaki Kyori yang diertikan dalam tiga makna, iaitu kampung kediaman Sasaki, hati nurani Sasaki dan ajaran hidup Sasaki.Manakala bagi contoh ayat 2 pula, ianya ingin menerangkan tentang penggunaan perkataan kyōri iaitu kyōri dengan ‘o’ panjang, dan kyōri dengan ‘o’ pendek yang membawa dua maksud yang berbeza.


7.2 Menggarap Corak Penulisan dengan Menggunakan Pelbagai Pengaruh Bahasa.

Bagi novel Sakura Mengorak Kelopak, terdapat banyak penggunaan bahasa yang telah digunakan. Bahasa-bahasa yang digunakan adalah seperti berikut :

7.2.1        Pengaruh Bahasa Jepun

Bahasa Jepun telah digunakan pada permulaan bab dalam penceritaan .Bahasa Jepun juga digunakan di dalam novel ini sebagai sesuatu yang menunjukkan identiti orang Jepun itu sendiri. Dalam hal ini, terdapat beberapa contoh yang menunjukkan penggunaan bahasa Jepun iaitu:

Begitu sederhana, memasuki sabishisa setelah Nobutake-san melampaui suatu peringkat waboku, dan di sini Nobutake –san tiba kepada ruang yang tidak mudah dicapai oleh kebanyakan orang, nikat dalam kesepian dan kita damai dengan diri kita sendiri.

                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 21)

Penggunaan perkataan Subishisa dan Waboku merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Jepun. Perkataan-perkataan ini mempunyai maksud yang tertentu.Dalam hal ini, Subishisa membawa maksud tenang dalam kesepian menyendiri, bening atau sunyi manakala waboku bermaksud kesimpulan yang tenteram, kepastian fikiran untuk bertindak secara mutlak.

7.2.2        Pengaruh Bahasa Arab

Selain itu, bahasa Arab juga terdapat di dalam novel ini. Bahasa Arab ini digunakan setelah Michiko memasuki agama Islam. Contohnya :

Atan mengangguk dan berkata, “Cuba ulang ucapan pendek dalam sujud itu, Chiko Chan”
“ Subhana Rabbil A’ala wa Bihamdih.” Michiko mengulang tiga kali.

                                                              (Sakura Mengorak Kelopak: 167)

Dalam contoh ayat di atas, Michiko telah menyebut ucapan pendek yang perlu dilafazkan ketika dalam sujud setelah diminta oleh Atan.


8.0 Kesenian bahasa

8.1 Definisi Retorik
Menurut Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, retorik merupakan satu seni gaya penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada dipersekitarannya. Aristotle menyatakan bahawa retorik adalah seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, kaedah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan (Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris,2010: 1-2). Orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin disampaikan.Orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre bagi mencapai sesuatu maksud. Mohd Affandi Hassan menyatakan bahawa apa juga usaha bagi menarik minat penonton misalnya penglipur lara, Tok Selampit, dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita cerita tambahan , penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik.

Pendekatan retorika menggunakan asas pemujukan sebagai elemen penting sesuatu penulisan.Kemampuan penulis menggarapkan isi serta mesej penulisannya terletak kepada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran analitis-logikal dan kemahiran menulis yang dimiliki oleh penulis.Kesemua elemen ini dirangkumkan dalam perenggan-perenggan penulisan. Antara contoh retorika yang digunakan dalam novel Sakura mengorak kelopak karya Arena Wati ini ialah retorik penerangan, retorik pendedahan, dan retorik pemerian,.

8.1.1        Retorik pemerian
Retorik pemerian membawa erti penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian mengenai sesuatu idea.Dalam penulisan jenis ini, tujuan penulis adalah untuk menggambarkan sesuatu.Sebagai contoh, misalnya penulis ingin memberikan gambaran kepada pembaca tentang sesuatu pemandangan, kejadian, benda, atau seseorang watak. Penulisan yang menggunakan mod ini memerlukan kemahiran menggambarkan sesuatu perkara secara terperinci menggunakan imej dan seumpamanya sama ada warna, bentuk, bunyi, bau dan lain-lain. Contoh retorik pemerian yang terdapat dalam novel ini ialah seperti dibawah:

Badannya kian bulat dan mukanya sudah menjadi empat segi, kepala sudah botak licin dan kakinya pengkar sudah tidak kuat berjalan jauh, matanya sudah menggunakan cermin tebal.

                                                                            (Sakura Mengorak Kelopak: 17)

Beranda itu lebih luas. Sebahagian besar lantainya terletak di atas tasik, dan di depan seberang sana, taman batu dan latar belakangnya rumpun bunga sebelum jalan setapak membatasinya kepada rimbunan pohon-pohon maple dan pokok pine yang jadi hutan kecil buatan manusia.


                                                               (Sakura Mengorak Kelopak: 30)

8.1.2        Retorik penceritaan

Retorik penceritaan pula merupakan satu bentuk penyampai melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Ia juga menghubungkan beberapa siri peristiwa yang berkaitan dalam satu plot yang logik. Contohnya dalam novel Sakura mengorak kelopak:

Sasaki Nobutake mengarahkan disediakan minuman dan makanan ringan di Pavilion Tasik untuk enam orang dan memberikannya sendiri lima nama tamu yang akan masuk menemuinya. Nobutake juga meminta disediakan makanan siang untuk enam orang di Pavilion Taman, bersama sake hangat dalam guci untuk menemani hidangan Jepun, dan wain dari anggur Jepun sendiri untuk menemani makanan Barat.

                                                                            (Sakura Mengorak Kelopak: 14)


8.1.3        Retorik pendedahan

Dalam novel ini juga terdapatnya retorik pendedahan. Tujuan retorik ini adalah untuk memberi pemahaman kepada khalayak. Sehubungan dengan itu, sesuatu topik itu perlu dihurai,disingkap dan ditunjukkan dengan jelas serta terperinci supaya khalayak memahami topik yang diperkatakan. Dalam retorik ini, pengarang berusaha memindahkan ideanya kepada khalayak secara berkesan. Kebiasaannya idea yang menggunakan retorik ini berkaitan dengan definisi, konsep, istilah, fakta, falsafah dan sebagainya.Contohnya:

Dalam masyarakat Jepun yang dianggap pada dasarnya masih banyak bergantung pada pertanian dengan menggunakan tanah lima setengah juta hektar, hanya tiga belas per sen rumah tangga Jepun yang terlibat dalam pertanian. Tidak sampai setengah per sen yang terlibat dalam perhutanan dan tidak sampai setengah juga yang bergantung hidup di laut sebagai nelayan.Selebihnya buruh dalam pemerintah dan dalam swasta, dan saudagar kecil dan besar.

                                                                            (Sakura Mengorak Kelopak: 25)

Keluarga Nagai adalah bekas Daimyo sebelum zaman Muromachi, berkuasa di Fukushima. Nenek moyang mereka dari Samurai yang terbilang pada zaman Kamakura. Ketika Kamakura jatuh dan kekuasaan kembali ke Kyoto dari tahun 1333 hingga 1573, Nagai kian meningkat, dan makin kukuh kedudukannya di Fukushima itu.

                                                                           (Sakura Mengorak Kelopak: 61)


8.2      Gaya Bahasa dalam novel Sakura Mengorak Kelopak

8.2.1        Skema perulangan

Dalam novel Sakura Mengorak Kelopak juga terdapat penggunaan gaya bahasa skema perulangan iaitu polisindeton dan anafora, paralelisme, dan epistrop. Polisindeton merupakan penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa. Ia juga digunakan bagi menunjukkan penekanan terhadap sesuatu maksud. Contoh dapat dilihat dalam petikan novel di bawah:

Perkahwinan Jahid dan Mariana akan berlangsung hujung bulan Julai, dan Pamela bersama emaknya dan Jane dengan emaknya akan kembali ke Kedah pada awal minggu keempat bersama Mariana.


                                                               (Sakura Mengorak Kelopak: 1)

Manakala anafora pula bermaksud sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu.

Waktu saya mahu check in, saya jumpa Atan dan Saira di lobi.Waktu itu Atan mahu buat field-work mengkaji tanah pamah di tebing Danau Kasumigaura di Ibaraki, sebelah Timur Laut Tokyo.

                                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 6)

Generasi baru Barat sudah hilang haluan.Generasi baru Asia belum menemukan titik tolak untuk menentukan haluan masa depannya.

                                                                        (Sakura Mengorak Kelopak: 16)

Paralelisme merujuk kepada salah satu asas dalam stilistik. Corbett dan Connors (1999:381) menterjemahkan sebagai kesamaan struktur atau pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan. Gaya ini mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Contohnya dalam novel ini adalah seperti di bawah:

Buah kaki (persimmom) atau pisang kaki, buah nashi (pear) dan buah samak, sedang membesarkan putik masing-masing, dengan makanan dari akar dan zat matahari dari daun, untuk matang dan dipetik bulan September.


                                                            (Sakura Mengorak Kelopak: 39)

Manakala skema perulangan jenis epistrop pula bermaksud sejenis perulangan kata-kata yang sama atau kumpulan yang sama pada akhir klausa yang berturutan. Pengulangan ini memberikan rima pada ayat dan memberikan penekanan khusus pada elemen yang diulang.Contohnya :
“Kau tidak perlu malu.Keluarga kita tidak malu. Mereka yang malu


                                                          (Sakura Mengorak Kelopak: 56)

8.2.2        Skema pengguguran

Tujuan penggunaan skema ini untuk memberi kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa. Skema pengguguran yang terdapat dalam novel ini ialah asindeton. Asindeton merujuk kepada pengguguran kata hubung antara siri-siri klausa yang berhubungan. Contohnya :

Perempuan itu mengandung, lalu pergi ke laut, berdua bunuh diri.


                                                                        (Sakura Mengorak Kelopak: 44)


8.2.3 Majaz pertautan

Majaz pertautan bermaksud memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan petunjuk. Majaz pertautan yang terdapat dalam novel Sakura mengorak kelopak ialahdisfemisme. Desfemisme merujuk kepada kata-kata kasar untuk tujuan tertentu.Contohnya :

“Kau orang tidak tahu adat!” Dan suara kasar itu memeranjatkan yang lain. “kau orang tahu, hanya Harumi-san yang mengerti apa itu perang. Sekarang dia sudah mati.“Saya tahu kau orang semua menghina aku, sebab menantuku hidup dengan perempuan lain, dan bunuh diri di laut!Tapi salah keluargakukah itu?Salah anak perempuankukah itu.Semua biadap!”

                                                                     (Sakura Mengorak Kelopak: 42)

8.2.4        Majaz perbandingan

Majaz perbandingan juga terdapat dalam novel Sakura mengorak kelopak. Misalnya seperti simile dan personafikasi. Simile bermaksud mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan kata seperti, ibarat, laksana, bagai, umpama, bak, dan sebagainya. Contohnya:

Ikan-ikan dalam tasik ini seperti bercerita kepada saya, bahawa mereka bahagia dalam pemeliharaan tangan yang kasih, dalam dunia hening syahdu begini.”


                                                        (Sakura Mengorak Kelopak: 30)

Pengakuan ayahnya seperti pohon besar tempat bernaung dari panas terik matahari, tenang dan teduh.

                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 56)

Personifikasi pula merupakan sejenis gaya perbandingan iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri peribadi atau sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, objek atau idea. Misalnya dalam petikan novel seperti di bawah:

Tokyo bukan sahaja melahirkan manusia, tapi juga telah mencipta  watak yang menyimpang dari Jepun.


                                                        (Sakura Mengorak Kelopak: 28)

“Sebab saya rasa beg fakultimu telah bercerita banyak kepada saya sekarang, bahawa kau datang ke Sasaki Kyori sebagai suatu tugas yang kau samakan dengan kerjamu di fakulti.”


                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 31)

8.2.5        Majaz pertentangan

Penggunaan pertentangan turut  terdapat dalam novel ini. Majaz pertentangan bermaksud bentuk bahasa yang mengemukakan makna yang bertentangan dengan makna sebenarnya. Majaz pertentangan yang terdapat dalam novel ini ialah hiperbola. Maksud hiperbola ialah untuk mencapai kesan tertentu, iaitu suatu gaya bahasa yang mengandungi kebenaran yang diperbesar-besar. pembaziran atau suatu cara yang melebih-lebihkan semata-mata. Hiperbola juga boleh dikatakan sebagai perbandingan yang melampau. Contoh petikan yang mengandungi unsur hiperbola dalam novel ini ialah:

Rasa simpati itu menebuk benteng hati Michiko, dan dari lubang itu mengalir dan membuak keluar rasa sedih dan marah yang terbendung, menjadi tangis yang mencurah terus-menerus hingga kering empangannya dalam kolam sukma.


                                                         (Sakura Mengorak Kelopak: 56-57)



9.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya, novel Sakura Mengorak Kelopak karya Arena Wati ini merupakan sebuah karya yang mempunyai nilai kepengarangan dan estetika yang tinggi.Arena Wati merupakan seorang sasterawan yang berjiwa besar dan seorang intelektual.  Naratifnya sentiasa diilhami oleh matahati serta  kalbunya yang luhur dan  jujur.  Tenaga kepengarangan dan kreatifnya begitu perkasa dalam membisikkan pemikiran inteleknya menerusi pelbagai genre sastera.Beliau berupaya mengangkat semangat serta martabat bahasa dan kebudayaan Melayu Nusantara, dan meletakkannya di atas singgahsana peradaban dunia.

Menerusi novel Sakura Mengorak Kelopak ini, Arena wati dengan jayanya mendedahkan stratifikasi masyarakat serta budaya orang-orang Jepun. Segala gerak laku watak-wataknya dilukis dengan terperinci sehingga pembaca dapat menyelami suasana kehidupan di negara Jepun tersebut. Perkara yang paling menarik ialah dengan kehadiran watak-watak Melayu di tengah-tengah pergolakan masyarakat industri di Jepun. Penulis amat bijak mengambil latar belakang bangsa Jepun untuk menceritakan perjuangan sesuatu bangsa, yang sudah tentu amat relevan dengan bangsa Melayu yang masih tenggelam punca, mencari arah tuju dan mencari jati diri.

Arena Wati merupakan antara sasterawan yang diasuh dan diajar oleh alam yang cukup kuat kepekaannya.Arena Wati ialah seorang pelaut semula jadi dan sepanjang hayat.Beliau singgah dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan. Beliau melihat pelbagai fenomena kehidupan, lalu dijelmakan dalam tulisannya. Namun demikian, Arena Wati bukan sahaja diajar oleh gelombang laut namun berada dalam kancah nasionalisme dan sosiopolitik yang juga seperti ombak laut. Analogi pengalaman beliau dapat dilihat melalui novel-novel beliau yang tidak terhafal judulnya yang terlalu banyak termasuklah novel Sakura Mengorak Kelopak ini. Beliau juga merupakan seorang fenomenologis dan etnografis pelbagai budaya. Kepekaan tanggapannya membolehkannya mengangkat fenomena "biasa" menjadi naratif fenomena transcendental.