1.0 Pengenalan
Puisi
Melayu tradisional dapat didefinisikan sebagai satu bentuk kesusasteraan Melayu
tradisional yang terdiri daripada pelbagai genre dan bentuk. Kepelbagaian
bentuk ini meliputi pantun, syair, gurindam, seloka, talibun, teromba,
peribahasa dan sebagainya (Rosli Saludin:2014). Gurindam merupakan satu bentuk
puisi Melayu lama yang terdiri daripada dua baris serangkap. Gurindam dibawa
oleh orang Hindu atau pengaruh sastera Hindu.
Gurindam
mempunyai fungsi dan peranannya dalam masyarakat Melayu iaitu sebagai tujuan
didikan, hiburan, gambaran masyarakat Melayu lama dan digunakan dalam
majlis-majlis formal. Gurindam terdiri daripada gurindam serangkap dua baris,
gurindam serangkap empat baris dan gurindam bebas. Gurindam Dua Belas merupakan
hasil karya Raja Ali Haji di Pulau Penyengat, kepulauan Riau pada tarikh 23
Rejab 1263 Hijriah atau 1847 Masihi dalam usia 38 tahun.
Dalam bidang penulisan, Raja Ali Haji
merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam.
Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus,
sebaliknya hanya dianggap sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada
pengucapan seharian. Kehebatan Raja Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu
terserlah melalui hasil tulisannya yang pelbagai.
Kearifan
beliau tidak terhad dalam bidang ilmu sahaja, malah beliau turut berkarya dalam
disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara
karya yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Syair Sultan Abdul Muluk (1847),
Bustan Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah Fi-Intizam
(1857), Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1858),
Gurindam Dua Belas (1864), Silsilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat
Al-Nafis (1865).
Karya
Gurindam Dua Belas terdiri atas dua belas pasal dan dikategorikan sebagai
Syi’ar al-Irsyadi atau dikenali sebagai puisi didakti. Hal ini adalah kerana
gurindam ini berisi nasihat dan petunjuk menuju hidup yang diredhai Allah.
Bukan itu sahaja, Gurindam Dua Belas mengandungi Ilmu Tasawuf tentang mengenal
yang empat iaitu syari’at, tarikat, hakikat dan makrifat.
2.0 Falsafah dan Pemikiran Gurindam
Dua Belas karya Raja Ali Haji
Falsafah
menurut Mohd Rashid Md Idris et. al (2014) membawa bermaksud cinta kepada ilmu
dan kebenaran. Falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi
dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Tegasnya, falsafah ialah mencari
kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang
dimasalahkan dengan berfikir secara radikal, sistematik, dan sejagat.
Di
antara bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizik, sejarah,
sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Etika ialah pemikiran tentang
moral, pendidikan dan pengajaran. Falsafah metafizik berkaitan kewujudan dan
keberadaan. Sejarah pula berkaitan dengan persoalan makna masa silam, seperti
tamadun dan keruntuhan. Sosial adalah gambaram kehidupan realiti manusia yang
kontekstual. Ekonomi ialah sistem pendapatan dan pengurusan harta benda.
Kosmologi pula adalah berkaitan perbincangan situasi persekitaran dan alam
sejagat. Bidang politik ialah aplikasi
dan tujuan system pemerintahan sesebuah negara. Logik ialah pemikiran yang
rasional, taakulan dan sebab musabab.
Konsep
pemikiran pula adalah mengenai pemikiran yang bermula dengan idea, kemudiannya
di matangkan oleh pengarang menjadi subjek, akhirnya menjadi buah-buah fikiran
yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri
memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej,
mutiara dan permata karya. Oleh itu, Gurindam Dua Belas turut mempunyai
kedudukannya yang tersendiri iaitu meskipun bentuknya yang ringkas, kelebihan
Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang
tinggi yang ditonjolkan oleh pengarang.
2.1 Akhlak dan Etika
perlu Diamalkan oleh Setiap Manusia yang Beragama Islam.
Pengarang
iaitu Raja Ali Haji telah menyedarkan kita mengenai perlunya seseorang yang
beragama mengikut panduan agama dalam kehidupan seharian. Bukan itu sahaja,
semua manusia haruslah memiliki akhlak yang mulia, berbuat kebaikan dan
bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu.
Seterusnya, seseorang itu tidak harus
bersikap sombong dan takbur kerana sesungguhnya sikap itu amat dibenci dan
dipandang hina oleh Allah S.W.T. Sebaliknya, kita harus bersikap merendah diri
dan sentiasa memohon keampunan-Nya akan
segala kesilapan yang telah kita lakukan.
Bukan itu sahaja, perbuatan seperti
dengki, marah, berbohong, mengumpat merupakan perbuatan yang dikeji oleh agama
dan seharusnya dihindar oleh semua orang. Hal ini adalah kerana, perasaan marah
merupakan perbuatan yang sia-sia dan boleh merugikan diri sendiri.
Hal
ini dapat dilihat seperti contoh di bawah:
Apabila dengki sudah bertanah,
Datangla daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
Di situlah banyak orang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.
Pengertian dalam pasal keempat ini, Raja
Ali Haji berwasiat tentang pentingnya menjaga hati seperti zalim,dengki, marah,
bakhil, dan lain sebagainya agar terhindar dari sifat-sifat tercela. Hal ini
dapat dilihat seperti contoh di atas, apabila sifat dengki sudah menguasai
diri, seseorang itu akan melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Bukan itu
sahaja, Raja Ali Haji juga menasihatkan bahawa apabila hendak memuji atau
mengata kepada seseorang haruslah berfikir terlebih dahulu supaya tidak
tergelincir atau berlakunnya pergaduhan atau persengketaan dalam masyarakat.
Selain itu, pada rangkap keenam seperti
contoh di atas, Raja Ali Haji juga menasihatkan bahawa seseorang itu harus
kawal perasaan marah dan tidak terlalu mengikut perasaan agar kewarasan akal
dapat dijaga. Seterusnya, jangan kita sesekali belajar berbohong dalam hidup
kerana akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap diri kita.
2.2 Bidang Agama yang Melengkapi
Kehidupan Masyarakat Melayu.
Di dalam Gurindam dua belas, Raja Ali
Haji telah mengungkapkan pemikiran dan cita-cita keagamaanya yang pada dasarnya
sangat erat kaitannya dengan sumber dan muara gurindam sebagai karya sastera, iaitu
bidang agama yang melingkupi Raja Ali Haji dan masyarakat Melayu. Bagi Raja Ali
Haji, seseorang itu tidak boleh dilihat pada nama apabila dia tidak mengenal
dan menghayati yang empat seperti yang diungkapkannya di dalam gurindam pasal
yang pertama iaitu syari’at, tarikat, hakikat, dan makrifat.
Hal
ini dapat dilihat seperti dalam Gurindam Dua Belas rangkap kedua seperti contoh
di bawah:
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka yaitulah orang yang ma’rifat.
Maksud
rangkap gurindam di atas adalah berkaitan seseorang manusia yang mahu mencapai
kesempurnaan dalam kehidupan, mereka harus mengenal empat zat yang menjadikan
manusia mula-mula iaitu syari’at, tarikat, hakikat dan makrifat.
Bukan itu sahaja, setiap manusia harus
memiliki agama karena agama sangat penting bagi kehidupan manusia, orang yang
tidak mempunyai agama akan buta arah dalam
menjalani kehidupan. Oleh itu, orang yang mengenal Allah SWT, harus
melakukan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, serta tidak akan melanggar
aturan-Nya.
Hal
ini dapat dilihat seperti contoh di dalam Gurindam Dua Belas seperti di bawah:
Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilang nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka yaitulah orang yang ma’rifat.
Maksud keseluruhan pasal pertama Gurindam
Dua Belas adalah Raja Ali Haji memberi nasihat tentang agama (religius) kepada
masyarakat Melayu pada waktu itu untuk mengenali tuhan yang satu iaitu Allah.
Bukan itu sahaja, seseorang manusia itu juga harus mentaati perintah Allah dan
menjauhi larangan-Nya.
2.3 Agama Pengikat
Sosial dalam Pembinaan Kebudayaan Bangsa dan Masyarakat.
Agama Islam bagi Raja Ali Haji merupakan
agama agung bagi karya sasteranya, atau merupakan sumber penciptaan gurindamnya. Bagi Raja Ali Haji
juga, agamalah yang menjadikan gurindamnya itu bermuara. Bukan itu sahaja, dalam
perspektif kebudayaan bangsa dan masyarakat, agama Islam merupakan simpul
pengikat bagi berbagai macam tingkat sosial dalam pembinaan kebudayaan itu
sendiri. Agama iaitu nilai-nilai islam yang menjaga tradisi Melayu, moral, dan
mengarahkan pembinaan generasi dengan mengajarkan pelbagai kebajikan, kebaikan,
dan kebenaran.
Bersamaan dengan fungsinya yang konservatif
itu, agama iaitu nilai-nilai Islam bagi Raja Ali Haji juga merupakan faktor
yang kreatif dan dinamik, yang merangsang dan memberi makna kehidupan,
mempertahankan kemampanan suatu pola kemasyarakatan. Hal ini sekaligus menjadi
penunjuk jalan bagi umat manusia di tengah rimba belantara kehidupan dunia
dengan memberikan harapan akan masa depan.
Hal
ini dapat dilihat seperti contoh dalam pasal kedua Gurindam Dua Belas seperti
bawah:
Barang siapa mengenal yang tersebut,
Tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.
Makna yang terkandung dalam pasal kedua Gurindam
Dua Belas ialah menceritakan tentang orang-orang yang meninggalkan sembahyang,
puasa, zakat, dan haji beserta akibatnya. Hal ini akan mendidik masyarakat
menjadi masyarakat yang berjaya di dunia dan akhirat dan takot dengan perintah
tuhan. Dengan demikian, jelaslah bahawa agama iaitu nilai-nilai Islam merupakan
dorongan penciptaan Gurindam Dua Belas dan sebagai sumber ilhamnya.
2.4 Perlakuan yang Baik
Muncul dari Hati (Nurani) dan Akal Fikiran (Budi).
Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji
merupakan buah fikiran, perasaan, pandangan dan gagasan, ataupun segenap
pengalaman jiwanya, yang membuatkan pembaca mampu memahami dan tidak jemu untuk
sentiasa menjadikannya sebagai sesuatu yang menyenangkan dan berguna. Gurindam Dua
Belas menyelitkan nasihat bagi manusia supaya menjaga hati dan akal fikiran
agar tingkah laku atau perbuatan yang dilakukan berguna dan bermanfaat kepada
diri dan orang lain.
Raja Ali Haji menyifatkan bahawa segala
perbuatan atau perlakuan manusia itu bermula dari hati. Oleh itu, seseorang
manusia harus menjaga hati terlebih dahulu dari perkara yang dilarang agama
agar tidak merugikan diri sendiri. Hal ini dapat dilihat seperti rangkap
pertama pasal keempat Gurindam Dua Belas seperti contoh di bawah:
Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota tubuh pun rubuh.
Maksud
rangkap keempat Gurindam Dua Belas ini adalah seseorang manusia itu perlu
menjaga hati dari perbuatan yang dilarang oleh agama kerana segala perbuatan
dan perlakuan yang dibuat oleh seseorang bermula dari hati.
3.0 Kepengarangan Gurindam Dua
Belas Karya Raja Ali Haji
Kepengarangan
dilihat daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Keperibadian
merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan
klimaks dalam perjuangan seseorang pengarangn yang harus berusaha untuk membina
teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing.
Sebelum
membicarakan aspek keperibadian, seseorang pengarang itu biasanya akan
berhadapan dengan beberapa tahap penulisannya. Seorang pengarang perlu mepunyai
pengalaman artistik dan berharga yang akan mempengaruhi daya kreativitinya.
Pengalaman diperoleh melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan, pengaruh,
pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja
unsur yang hadir termasuk yang bersifat konseptual, dan kontekstual (Mana
Sikana, 2006).
3.1 Gaya Penulisan yang
Berunsurkan Islam.
Dalam Gurindam Dua Belas, Raja Ali Haji
telah memperlihatkan gaya penulisan yang berunsurkan islam. Pada keseluruhan Gurindam
Dua Belas adalah bercorak keagamaan. Kepengarangan yang ditujukan oleh Raja Ali
Haji adalah memberi nasihat, panduan dan petunjuk bagi semua lapisan masyarakat
supaya menjadi masyarakat yang beriman dan berakhlak mulia. Hal ini dapat
dibuktikan dengan memperlihatkan mesej dan nasihat yang sangat berguna sebagai
seorang yang beragama islam untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Nasihat dan pengajaran yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas ini dibahagikan
kepada dua belas pasal.
Hal
ini dapat dilihat seperti rangkap ketiga hingga keenam pasal pertama Gurindam
Dua Belas seperti contoh di bawah:
Barang siapa mengenal Allah SWT,
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudharat.
Pengertian rangkap di atas adalah
berkaitan dengan orang yang mengenal agama akan mengetahui dirinya dan mengenal
Tuhannya, sehingga tidak salah melangkah setiap perbuatannya di dunia.
Pengarang telah menekankan kepentingan manusia supaya mengenali dirinya, dari
mana dia datang dan atas kuasa siapa maka dia dapat melihat dunia. Setelah
mengenal dirinya, manusia perlu pula mengenal Tuhannya iaitu Allah yang maha
esa yang telah menjadikan alam semesta dan segala penghuninya. Oleh hal yang
demikian, manusia harus mengenali Tuhannya baik dari segi zat mahupun
sifat-Nya.
Kesedaran terhadap zat dan kuasa Allah
itu diwujudkan lagi apabila pengarang menerangkan tentang manusia yang mengenal
tuhannya pasti tidak akan tersilap langkah atau terpesong dalam menjalani
kehidupan yang lurus mengikut peraturan agama. Bukan itu sahaja, pengarang juga
menekankan bahawa manusia yang mengenal tuhannya juga pasti akan selamat di
dunia dan akhirat.
3.2 Unsur Nasihat
kepada Masyarakat
Unsur nasihat yang disampaikan oleh
pengarang dalam Gurindam Dua Belas ini adalah lebih ditujukan kepada masyarakat
Melayu islam di Kepulauan Riau. Gurindam Dua Belas juga berisikan nilai-nilai
karakter kebudayaan Melayu yang mempunyai antara nilai-nilai ajaran Islam
dengan kebudayaan Melayu. Nilai-nilai karakter yang terdapat dalam gurindam dua
belas antara lain: iman dan takwa, tidak berdusta, larangan mengumpat dan
mencacat, ringan tangan, menjaga hati, sikap berhemat, sabar, lemah lembut,
tanggung jawab, amanah, ikhlas dan rela berkorban, patuh kepada bapak dan ibu,
serta cinta Tanah Air.
Sebagai contoh nasihat Raja Ali Haji
kepada masyarakat adalah dapat dilihat kepada pemimpin yang
dipertanggungjawabkan untuk memimpin orang yang dipimpin iaitu golongan rakyat.
Kepimpinan yang adil merupakan teras kebahagiaan bagi setiap golongan yang
dipimpin. Sebagai seorang pemimpin, amatlah penting bagi kita memperlihatkan
contoh yang baik kerana tanggungjawab itu akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Hal
ini dapat dilihat dalam pasal kesebalas dan kedua belas Gurindam Dua Belas seperti
contoh di bawah:
Hendaklah
berjasa,
kepada yang
sebangsa.
Hendaklah jadi
kepala,
buang perangai
yang cela.
Hendaklah
memegang amanat,
buanglah
khianat.
Hendak marah,
dahulukan hajat.
Hendak dimulai,
jangan melalui.
Hendak ramai,
murahkan
perangai.
Gurindam Dua Belas juga membahas tentang
kepemimpinan, sebagaimana termaktub dalam pasal kesebelas. Pasal ini mendorong
siapa saja untuk menjadi pemimpin, yaitu pemimpin yang memberikan manfaat
kepada yang dipimpinnya(berjasa), beperangai baik (tidak tercela), teguh
menjaga amanat (tidak khianat),dan bersikap rasional (hujjah).
4.0
Estetika Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji
Perkataan
estetik sebenarnya berasal dari bahasa Yunani kuno iaitu aesthesis yang bererti
tanggapan. Istilah estetik telah diberikan makna baru pada tahun 1735 oleh Alexander
Baumgarten yang membawa maksud estetika penghakiman yakni menilai dan merasa
serta menghayati sesuatu dengan mendalam. Dengan kata lain, estetika sebenarnya
merupakan bidang ilmu ilmu yang membahaskan keindahan, bagaimana sesuatu seni
itu terhasil dan bagaimana seseorang dapat merasainya atau menghayatinya.
Estetika
bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera. Nilai yang dimaksudkan
berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya. Contohnya, mungkin
pembaca pertama menganggap karya itu bernilai estetika, namun pembaca kedua
pula tidak menganggapnya sedemikian. Oleh itu bagi sesebuah karya, aspek teknik
dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Bahkan kehadiran
isi yang bagus tidak menjamin tingginya nilai estetika melainkan keseimbangan
kesemuanya dalam karya tersebut sangat dituntut.
Estetika
dan kepengarangan adalah dua aspek yang penting dan mempengaruhi kedudukan
sesebuah teks dan seseorang sasterawan. Pendekatan estetik ialah yang menilai
teks sastera dengan merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik
ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang
bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan
yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran.
Bukan
itu sahaja, keindahan juga terpancar daripada bahasa yang digunakan pengarang.
Cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya juga yang menyerlahkan
rasa keindahan. Keindahan ialah daya tarikan dan kepuasan dalam penikmatan
karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis yang memiliki
perasaan, pemikiran, dan sebagainya. Keindahan yang agung ialah yang membawa
manusia mencapai kebaikan, mengagungkan Allah Azza Wajalla.
Selain itu, keindahan pengalaman bergantung
kepada keunikan pengalaman. Keindahan pengalaman ini merupakan pengalaman yang
luar biasa, iaitu belum pernah dialaminya, menarik, dan memberi kepuasan.
Keindahan juga dapat dilihat daripada pembentukan tekstual dan kontekstual,
terutamanya aspek kebahasaanya juga (Mana Sikana, 2007).
4.1
Unsur Estetika Luaran dan Keindahan
Dalaman
Dalam
ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur
estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang diguna
pakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh
dan susunan nahu bahasa Arab.
Bukan itu sahaja, kata-kata yang
termaktub dalam Gurindam Dua Belas ini juga banyak terdapatnya unsur-unsur
keislaman yang memberi nasihat berguna kepada masyarakat, khususnya masyarakat
dimana Raja Ali Haji tinggal, iaitu masyarakat Melayu. Hal ini adalah karena,
dominannya unsur Islam dalam kehidupan bermasyarakat di kebudayaan Melayu dalam
proses Islamisasi di wilayah tersebut, khususnya Kepulauan Riau.
Dari bahasa yang di bentuk menjadi
sebuah kata lalu menjadi kalimat yang mempunyai makna yang terkandung di
dalamnya dan ciri-ciri yang terkandung dalam Gurindam Dua Belas ialah rangkap,
perkataan, suku kata dan juga rima.
Rangkap di dalam setiap pasal di gurindam
mempunyai dua baris dalam serangkap atau beberapa baris dalam serangkap. Setiap
baris ke baris di dalam gurindam 12 membawa makna yang lengkap dan saling
berkesinambungan antara baris pertama terhadap baris berikutnya. Baris pertama
biasanya dikenali sebagai “syarat” dan baris kedua sebagai “jawab”. Baris
pertama atau “syarat” menyatakan suatu pikiran atau peristiwa sedangkan baris
kedua atau “jawab” menyatakan keterangan atau menjelaskan apa yang telah
dinyatakan oleh baris atau ayat pertama tadi.
Jumlah perkataan sebaris tidak tetap
dalam Gurindam Dua Belas. Jumlah suku kata juga tidak tetap. Rima akhir tidak tetap
dan hampir semua lariknya mempunyai rima yang sama dalam satu bait.
5.0 Kesimpulan
Tuntasnya,
Raja Ali Haji telah menunjukkan kemampuannya dalam menyerap teks-teks sumber
ajaran agama, ajaran Islam, yang kemudian diaktualisasikannya di dalam
bait-bait gurindamnya. Raja Ali Haji telah memanfaatkan sebaik-baiknya
teks-teks sumber ajaran agamanya itu, digunakannya untuk melaksanakan cita-cita
artistiknya dalam kerangka sistem konvensi sastera yang ada, konvensi sastera
yang cukup terkenal dan menguasai masyarakat zamannya, jenis gurindam di
samping jenis pantun dan syair, konvensi puisi yang dipertahankan dengan
konsisten untuk menjadi dasar ekspresidan merupakan pelaksanaan pola harapan
dari masyarakat pembaca. Dengan membaca dan memahami makna dari Gurindam Dua
Belas, Raja Ali Haji mengharapkan agar terbentuknya masyarakat melayu yang
agamis dan selalu berpegang teguh pada ajaran Islam, sehingga akan selamat
dunia dan akhirat.