1.0 Pengenalan
Dalam
kesusasteraan Melayu moden, perkataan novel itu dipinjam daripada perkataan
Inggeris novel dan perkataan ini
digunakan bagi menamakan sejenis prosa naratif yang munasabah panjangnya yang
terdapat dalam kesusasteraan tersebut yang muncul sekitar tahun-tahun dua
puluhan abad ini. Sesungguhnya dalam kajian kesusasteraan Melayu moden,
perkataan novel ini pertama kali digunakan oleh Za'ba sekitar tahun empat
puluhan dalam sebuah tulisannya berjudul, Modern
Developments. Tulisan ini berbahasa Inggeris yang membicarakan perkembangan
baru dalam kesusasteraan Melayu moden.
Dalam
tulisan berbahasa Melayu penggunaan perkataan novel itu, masih terlalu baru.
Ini berlaku sekitar akhir tahun 1940-an atau dalam tahun-tahun 50-an manakala
pembicaraan mengenai genre novel dan kajian mengenainya mula mendapat tempat
dalam penerbitan majalah, akhbar, dan di universiti tempatan. Sebelum itu,
berbagai-bagai sebutan digunakan bagi genre tersebut seperti hikayat, cerita,
citra, ceritera, dan rencana.
Perkataan
“novel” banyak maksud dan dapat dibahagikan kepada dua iaitu “novel kecil” yang
dikenali sebagi novella dan “novel
besar” yang dipanggil novel. Semua cerita yang panjangnya sederhana atau yang
sangat panjang semuanya boleh terangkum dalam satu dan dikenali sebagai novel.
Kemunculan karya-karya sastera seperti novel-novel Melayu sejak tahun-tahun
1920an hingga akhir-akhir tahun 1960an dengan membawakan isu, pemikiran dan dan
juga gaya bahasa dan teknik penceritaan tersendiri dan sesuai pada kontek
zamannya, sebenarnya telah menjadi dasar (model) dan kovensi kepada proses
penciptaan bentuk novel yang kukuh kepada pengarang-pengarang novel Melayu yang
mula berkarya pada dekad 40an hingga dekad 60an.
2.0 Sinopsis
Novel
Sakura Mengorak Kelopak mengisahkan
tentang kehidupan golongan wanita Jepun yang sangat dikenali dengan perwatakan
lembut dan bersopan santun. Mereka juga begitu sinonim dengan kesetiaan dan
kepatuhan mereka kepada golongan lelaki. Namun begitu, rasa kesetiaan tidak
lagi dianggap satu penghormatan oleh wanita Jepun yang kini didedahkan dengan
cara hidup moden yang dipengaruhi oleh Barat. Mereka telah bangkit untuk
merobohkan egoisme lelaki Jepun.
Dalam
Sakura Mengorak Kelopak diceritakan
tentang rasa kesetiaan yang telah lama wujud di dalam diri wanita Dai Nihon semenjak
berabad-abad lamanya sehingga menjadi kontroversi kerana mereka mula bangkit menentang.
Dalam hal ini, digambarkan tentang watak seorang wanita Jepun iaitu Michiko yang
berani menolak mayat suami yang mati yang melakukan harakiri (membunuh diri dengan
menikam atau memburaikan perutnya apabila mendapat malu atau dihukum mati) bersama-sama
dengan teman wanitanya yang mengandung.
Watak
utama bagi novel ini iaitu Nagai Michiko atau dikenali sebagai Michiko-San dari
Universiti Tokyo telah membuat keputusan untuk tidak menerima mayat suaminya,
Harumi yang curang. Walaupun didesak berkali-kali untuk menerima mayat Harumi
tetapi Michiko tetap berkeras dengan keputusannya itu. Oleh itu, mayat Harumi
akhirnya diuruskan oleh rumah sakit dan dibawa ke dewan besar Tonarigumi untuk
upacara dan adat kematian. Hal ini menunjukkan kebangkitan Michiko untuk
mendapatkan haknya sebagai seorang wanita yang tidak tunduk kepada lelaki yang mengambil kesempatan ke
atas dirinya.
Michiko
juga kecewa dengan ayahnya, Sa geike yang menganggap dirinya setia kepada
ibunya walaupun membuat pengakuan bahawa dia pernah mempunyai perempuan lain
selain ibunya. Bagi ayahnya, perkara itu merupakan perkara biasa bagi golongan
lelaki Nihongin. Selama ini Michiko menyangkakan bahawa ayahnya merupakan
seorang lelaki yang budiman dan setia setelah dia dikhianati oleh suaminya,
Harumi.
Pada
masa itu juga, Tokyo dan Kyoto mengalami satu siri letupan dan kebakaran yang
hampir memusnahkan bandar-bandar. Dalam kejadian tersebut diceritakan pula
tentang watak Atan iaitu seorang lelaki Melayu yang tinggal di Jepun yang kematian
isteri dalam kebakaran hotel. Dia mengikuti fellowship
selama setahun di Fakulti Pertanian Universiti Kyoto. Setelah kejadian malang
yang menimpa isterinya, Atan berubah kepada seorang pendiam dan suka termenung
kerana masih bersedih. Setelah bertemu dengan Michiko dalam satu perjumpaan,
ada sesuatu yang menarik hati Michiko untuk mendekati Atan lantas bibit cinta
muncul antara mereka. Tidak lama kemudian mereka berkahwin.
Melalui
perkahwinan Atan dan Michiko telah wujud pertembungan budaya antara dua bangsa
yang berbeza iaitu bangsa Jepun dan bangsa Melayu. Keadaan ini dapat dijelaskan
apabila watak Atan digelar sebagai Atai-No-San oleh Michiko. Atai-No-San
membawa maksud hadiah atau nilai berharga. Didapati adat masyarakat Jepun dan
masyarakat Melayu mempunyai perbezaan. Selain itu, perkahwinan ini juga
menyebabkan Michiko memeluk Islam dan banyak belajar tentang Islam melalui
suaminya Atan.
3.0 Pengarang
Muhammad
Dahlan bin Abdul Biang, Andi Mohalan Andi Beang atau lebih dikenali sebagai
Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupaten, Jeneponto,
Makasar, Indonesia dan meninggal dunia pada 25 Januari 2009. Beliau merupakan
Sasterawan Negara Malaysia pada tahun 1988. Nama pena beliau ialah Duta Muda
dan Patria.
Arena
Wati mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School,
sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan
kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943. Pengalamannya dalam bidang ini
meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang
baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953.
Novel
Sakura Mengorak Kelopak telah
dihasilkan pada tahun 1987. Dalam novel ini, Arena Wati
menyingkap beberapa aspek sistem nilai masyarakat Jepun. Turut dinaratifkannya
ialah perubahan yang berlaku dalam sistem nilai masyarakat tersebut yang
membawa kepada terjadinya emansipasi wanita Jepun. Arena
Wati berwacana
mengenai beberapa aspek pemikiran dan nilai masyarakat Jepun sambil meletakkannya
ke dalam fiksyen seperti feminisme. Hal
ini telah memulakan, secara serius, pembinaan perspektif baru bagi naratif
kesusasteraan Melayu yang berupaya keluar daripada kepompong Melayu Nusantara,
dan berupaya menyingkap rahsia minda dan nilai kebudayaan asing. Seperti yang
kita tahu, sasterawan Barat telah sekian lama menghasilkan naratif kita,
naratif masyarakat Dunia Ketiga, daripada kacamata Orientalisme mereka,
sehingga telah melahirkan wacana ilmu kolonial yang memperkecilkan minda Dunia
Ketiga.
4.0 Pemikiran dan Idealisme dalam Sakura Mengorak Kelopak
4.1 Definisi Pemikiran dan
Idealisme
Dalam
sesebuah buku, biasanya pengarang buku akan cuba mengetengahkan pemikiran dan
idealisme ke dalam karya. Hal ini demikian kerana, pemikiran dan idealisme
merupakan tonggak utama dalam sesebuah karya. Begitu juga halnya dengan Hikayat
Patani ini. Pengarang telah mengetengahkan pemikiran dan idealismenya yang
tersendiri.Istilah pemikiran itu pada asalnya terbit daripada kata akar ‘fikir’
(S. Othman Kelantan, 1997). Perkataan itu berasal dari istilah Arab fikrun atau aftar. Dua perkataan ini membawa maksud ‘fikiran’. Menurut S.
Othman Kelantan (1997: 6) lagi, kalimat fikir dan fikiran itu diertikan sebagai
“ingatan, angan-angan, renung, akal; anggapan, pendapat, sangka, kira, daya
berfikir, akal, ingatan, hasil pemikiran, pendapat, pertimbangan, upaya,
muslihat”.
Di samping itu, S.Othman Kelantan
(1997) turut menjelaskan bahawa pemikiran merupakan satu fikiran atau idea yang
muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan ini menggunakan akalnya
dalam memikirkan konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya, dan
pemikiran tersebut dilebarkan oleh golongan cerdik pandai ke luar lingkungannya.Pemikiran
pengarang juga merupakan penampilan makna dalaman dalam sesuatu karya klasik juga
dapat dilihat daripada sikap pengarang yang menampilkan pengembaraan
watak yang baik dan mengandungi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam
sesebuah karya klasik. Fungsi cerita-cerita tersebut pula bukanlah pula sekadar
menggambarkan selok-belok nasib wataknya, tetapi menampilkan atau mewujudkan
idea melalui imej-imej plastis, memenuhi segenap ‘ruang fikiran’ dengan idea tersebut yang disampaikan
melalui imej. Dengan hal itu pula, idea sedemikian membentuk
dan mendidik akal pembaca dan pendengar (V. I. Brinsky, 1994: 59)
Idealisme menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2007: 558-559) ialah sifat, iaitu sikap atau perbuatan melihat atau
mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Selain itu, idealisme turut
membawa maksud pemikiran atau idea. Pemikiran dan idealisme membawa makna yang
sama iaitu buah fikiran atau idea yang cuba diketengahkan oleh golongan cerdik
pandai. Kebanyakan pemikiran dan idealisme disebarkan melalui buku atau novel.
4.2 Terlatih DenganDisiplin Dan Semangat Yang Kental
Sebagai
gadis remaja zaman perang, Hanaoka terlatih dengan displin dan semangat
kebangsaan yang meluap-luap dan tinggi, dan inilah yang masih berkesan dalam
hidupnya sekarang. Kehidupan di Tokyo selepas perang dunia amat mencabar dan memaksanya
bekerja kerana untuk lulus dari
Christian Women’s University di Tokyo 1954 dan dia berhenti setakat Ijazah Kepujian Dalam Jurusan
Sosiologi, lalu berkahwin dengn Ozawa Nakamura pada tahun 1955. Persaingan
untuk mendapatkan pekerja amat sukar menyebabkan dia mengambil keputusan untuk
menjadi suri rumah dan menggalas tanggungjawab untuk menjaga keluarga
mertuanya, namun begitu dia masih mencari peluang dan ruang supaya dapat
meneruskan minatnya dalam bidang penulisan. Contohnya:
Persaingan untuk mendapat kerja terlalu
berat, dan dia sudah menjadi suri rumah dalam suatu keluarga ternama, yang
sekaligus berkewajipan seratus peratus menjaga mentua untuk mempersiapkan diri
sebagai kepala rumahtangga dalam keluarga suaminya. Untuk mempergunakan ilmunya
dan mengisi masanya, dia mengasah bakat semula jadi dari darah Sasaki dan
Kawatake untuk menjadi penulis fiksyen, dan ini membawa kepada suatu kejayaan sebagai novelis ketika usianya
meningkat tiga puluh lima.
(Sakura Mengorak Kelopak: 27)
4.3 Ritual Kematian Menurut Buddha
Masyarakat
Jepun mempercayai mengamalkan ritual kematian menurut Buddha seperti kehidupan
selepas mati dan kehadiran anasir-anasir jahat yang menganggu
kesejahteraan,antaranya kepercayaan terhadap kehadiran roh jahat. Contohnya :
Tanpa kata Sageike meninggalkan rumah,
lengkap baju hujan, topi dan payung dan segera menyelesaikan rawatannya, lalu
berkejar ke rumah Muragaki Harumi. Di sana Nagai Sageike dapati mayat sahabatnya
sudah dikerumuni anak-cucu, keluarga, jiran-jiran dan sahabat handai. Menantu
dari putera sulung Harumi telah melengkapi keperluan; pisau untuk menghalau roh
jahat, kapas, pakaian mayat, hidangan nasi dan lauk dan sake atas dulang kayu,
berbagai alat upacara kematian menurut Buddha campuran Shinto sudah lengkap
semuanya.
(Sakura Mengorak Kelopak: 41)
4.4 Kepentingan
Pendidikan Dalam Meneruskan Kehidupan
Michiko
mengetahui betapa pentingnya pendidikan
bagi dia untuk meneruskan kehidupan dan supaya berjaya mendapatkan pekerjaan
yang baik.Hal ini kerana saingan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik
contohnya seperti jawatan white collar
sangat terhad dan memberi saingan yang tinggi kepada pemohon. Contohnya:
Dari sekolah rendah Michiko membuktikan
bahawa dia lebih pintar dari abang-abangnya sehingga masing-masing lulus dari
High School di Aomori. Abang-abang Michiko hanya mencapai sekadar lulus, dan
akhirnya kembali dalam masyarakat sebagai nelayan dan petani moden, sebab saingan
untuk jawatan white collar sangat terbatas di utara; tidak mudah tembus dengan
hanya bersenjatakan High School yang tidak cemerlang. Michiko mengatasi semua
itu, lalu diterima masuk ke Universiti Tokyo.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 64)
4.5
Pengaruh Islam Dalam Kehidupan
Michiko
sudah mula untuk mendalami ajaran islam dalam kehidupan. Meskipun agak sukar
pada permulaannya, namun dia bertekad untuk mempelajari secara perlahan-lahan
sambil dibantu oleh suaminya. Suami Michiko iaitu Atan yang banyak mendorong
dan membantu Michiko dalam mempelajari tuntutan dalam agama Islam. Contohnya:
Atan memandikan Michiko, menjirusnya
dengan sekujur tubuh, tujuh kali dan berkata “Kau sudah tahu ambik wuduk.
Buatlah sekarang, dan kerana saya dan kau dalam mazhad Syafie, kita tidak boleh
bersentuhan buat sementara hingga selesai saya buat solat sunat.” Atan jadi
iman, dan Michiko jadi makmun dalam solat syukur, dan setelah Atan
menyelesaikan doa, dia berpaling kepada isterinya, menjabat tangan Michiko.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 173)
4.6
Bertimbang Rasa Sesama Manusia
Atan
yang kehabisan tenaga tidak dapat meneruskan perjalanan walaupun disuruh oleh
Pihak Polis. Dalam keadaan yang lemah Atan cuba untuk mengatur tutur kata dalam
bahasa Jepun walaupun masih kaku. Atan dan Isterinya iaitu Michiko dibukakan
pintu supaya dapat masuk ke dalam. Kehadiran orang ramai yang merempuh pintu
menyebabkan Atan tersepit. Akhirnya Atan dan isterinya dapat masuk ke dalam
dengan pertolongan polis yang berada disitu walaupun pada permulaannya dihimpit
oleh orang ramai. Contohnya:
Atan lega, kerana dia sedar sekarang, orang
Rusia ini mungkin dapat menolong. “Bolehkah isteri saya dan saya berlindung
sebentar? Saya tidak akan meminta apa-apa, kecuali telefon kalau masih dapat
digunakan.” “Kepada kedutaanmu”? Atan mengangguk. Dan orang ini memerintahkan
buka pintu pagar. Tapi sebelum Michiko dapat dimasukkan ke dalam, orang ramai
sudah merempuh pintu pagar yang terbuka sedikit itu. Atan tersepit. Dan polis
bersama tentera memegang tanggannya dari dalam. Akhirnya Michiko lolos, dan
orang yang memaksa dari luar dipujuk supaya jalan terus. Tapi pujukan tidak
laku dalam keadaan sebegitu. Lalu seorang polis bertindak kasar menolak keluar
dan Atan ditarik ke dalam.
Sakura
Mengorak Kelopak: 343)
4.7 Penggunaan Nama
Keluarga Dalam Masyarakat Jepun
Masyarakat
Jepun amat mementingkan penggunaan nama keluarga dalam kalangan mereka. Hal ini
boleh dilihat apabila setiap orang akan disebut dan ditulis nama keluarga
dahulu berbanding namanya sendiri. Seseorang akan dianggap kurang sopan
sekiranya nama dirinya mendahului nama keluarganya. Tambo dan salasilah
keluarga ini menjadi satu simpanan yang dianggap sakti, dijaga dan dipelihara.
Contohnya:
Nama-nama keluarga itu kekal pada diri
setiap orang, kerana setiap orang disebut dan ditulis nama keluarga dulu baru
disebut nama diri. Dan umumnya dalam etika hubungan, dalam perbualan atau
pertemuan, namadiri jarang disebut tetapi diutamakan nama keluarga. Adalah
dianggap kurang sopan bagi seseorang yang belum akrab apalagi orang yang
dianggap lebih tua atau tinggi darjatnya kalau disebut nama dirinya mendahului
nama keluarganya.
(Sakura Mengorak Kelopak: 411)
4.8 Mempelajari
Budaya Asing
Atan merupakan individu yang dilahirkan di Malaysia dan berasal darisebuah
kampung. Cara hidup dan budaya yang dipelajari adalah berkitan dengan budaya
masyarakat Melayu. Namun Atan cuba untuk membiasakan diri dan mempelajari nilai
dan budaya masyarakat Jepun setelah berkawan dengan sahabatnya yang tinggal di
Jepun dan mempunyai ikatan perkahwinan dengan seorang gadis Jepun iaitu
Michiko. Atan telah mempelajari cara memegang mangkuk sup dengan betul dengan
bantuan sahabatnya Jirosaki Taeko. Atan juga menerapkan budaya menghormati tuan
rumah apabila berkunjung ke rumah sahabatnya. Contohnya:
Atan melihat Nobutake menghabiskan dua mangkuk nasi.
Dan untuk menghormati tuan rumahnya, dia membiarkan mangkuknya diisi oleh
Nobutake. Lalu meminum habis supnya. “Saya lihat caraAtan-san memegang mangkuk
sup sudah lancar, kena betul. Michiko ajar begitu?” “Di Kyoto, Sasaki-san. Lama
sebelum berjumpa dengan Michiko. Jirosaki Taeko banyak mengajar saya tentang
cara hidup di negeri ini. Tapi maafkan saya Sasaki-san. Saya masih bebal. Belum
sanggup hadir dalam majlis minum teh.”
.
(Sakura Mengorak Kelopak: 446)
5.0
Nilai Budaya dan Pandangan Hidup Dalam Sakura
Mengorak Kelopak
Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit
iaitu buddayah yang merupakan kata
jamak bagi perkataan buddhi yang
membawa maksud budi pekerti atau akal. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut
sebagai culture yang berasal daripada
perkataan Latin, iaitu colore yang
membawa maksud menanam atau mengerjakan.
Budaya mempunyai hubungan erat dengan
masyarakat. Segala sesuatu yang ditentukan dalam sesebuah masyarakat mempunyai
hubungkait dengan kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Bukan
itu sahaja, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi
ke generasi yang seterusnya.
Selain itu, budaya juga merujuk kepada
keseluruhan pengertian, nilai, normal, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur
kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni, dan intelektual yang membentuk
ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep
menyeluruh yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila,
undang-undang, adat resam serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai
anggota masyarakat.
Daripada kesemua pengertian ini, budaya boleh
disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk pemikiran dan hasil
ciptaan yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan
hidup dalam sesuatu kelompok masyarakat. Oleh itu, dalam karya agung Melayu
iaitu Sakura Mengorak Kelopak, turut
menggambarkan peribadi masyarakat Jepun sebagai masyarakat yang kuat berpegang
pada adat dan mengamalkan cara hidup yang berlandaskan agama Buddha dan warisan
nenek moyang.
5.1 Adat Perkahwinan
Adat perkahwinan masyarakat Jepun sedikit
sebanyak mempunyai persamaan dengan adat perkahwinan bagi masyarakat Melayu. Dalam
adat perkahwinan masyarakat Jepun iaitu adat merisik, mereka menggunakan orang
tengah bagi kedua-dua pihak iaitu pihak lelaki dan juga pihak perempuan. Orang
tengah akan meminta gambar dari pihak lelaki untuk dibawa kepada pihak
perempuan dengan syarat gadis tersebut belum terikat dengan risikan lain. Hal
ini juga dilakukan oleh pihak perempuan iaitu gambar gadis tersebut juga
diberikan kepada pihak lelaki.
Setelah kedua-dua pihak telah bersetuju dan
saling menyukai, barulah memasuki fasa yang rumit iaitu menyiasat latar
belakang kedua-dua belah pihak. Bagi pihak perempuan, mereka akan melantik
beberapa orang untuk mengumpulkan maklumat latar belakang diri lelaki, ibu bapa,
saudara baik dari segi adat, amanah, dan sesuatu kecacatan yang ditemui akan
dijadikan alasan untuk memberhentikan risikan yang dibuat.
Bagi pihak lelaki, mereka lebih berhati-hati
dengan erti kata lain, mereka akan mengkaji peribadi gadis dansejarah hidupnya,
melihat kekurangan saudara maranya dan jika terdapat cacat-celanyarisikan akan
diberhentikan dengan memulangkan cincin ikatan risikan melalui orang tengah.
Hal ini dapat dibuktikan seperti contoh dibawah:
…Hanaoka termenung panjang
menyusuri tatacara risiskan dan peminangan dalam perkahwinan orang
Jepun. Orang tengah akan meminta Orang tengah akan meminta gambar dari pihak
lelaki untuk dibawa kepada pihak perempuan setelah pasti bahawa gadis yang
dimaksud belum terikat risiskan lain. Dan sebaliknya, gambar gadis tersebut
juga diberikan kepada pihak lelaki.Setelah masing-masing berkenan, barulah
memasuki fasa yang rumit iaitu menyiasat keluarga kedua belah pihak. Bagi pihak
perempuan, mereka akan melantik beberapa orang untuk mengumpulkan keteranganatas
diri lelaki, ibu bapa, saudara baik dari segi adat, amanah, perangai dan segala
jenis penyakit, sudah cukup dijadikan alasan untuk memberhentikan risikan. Bagi
pihak lelaki, mereka lebih berhati-hati dengan erti lagi. Peribadi gadis dan
sejarah hidupnyaakan dikaji, cacat-cela saudara maranya, ibu bapanya. Dan
didapati sedikit kecacatan di kalangan mereka, risikan akan diberhentikan
dengan memulangkan cincin ikatan risikan melalui orang tengah.
(Sakura Mengorak Kelopak: 77)
5.2 Adat Membongkok sebagai Tanda Hormat
Masyarakat Jepun adalah masyarakat yang cukup
lemah lembut dan sopan. Hal ini dilihat melalui adat yang mereka sering buat
iaitu membongkok. Adat membongkok ini adalah bertujuan untuk meminta maaf,
berkenalan, berziarah di rumah orang, meminta kebenaran berbuat sesuatu, bahkan
sehingga berbicara di telefon pun orang Jepun sering membongkok sedikit walhal
orang yang berbicara dengannya tidak melihat dia.
Adat membongkok ini adalah suatu kemestian.
Tradisi ini sudah dididik daripada peringkat kanak-kanak lagi. Adat membongkok
dalam novel ini adalah bertujuan untuk menunjukkan tanda hormat dan tanda
meminta maaf Hanaoka kepada Nobutake kerana menyebabkan Nobutake menunggu lama.
Hal ini dapat dilihat seperti contoh di bawah:
…setelah saling
membongkok sebanyak tiga kali sebagai kelaziman adat, Hanaoka berkata halus
sekali, “Maafkan kerana barangkali menunggu lama.Tapi saya sudah berusaha tepat
pada waktunya.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 21)
5.3 Adat
Memakai Pedang
Adat memakai pedang bagi keturunan dari darah
samurai asal Hikone menjadi kebanggaan Tokugawa.Mereka lazimnya memakai pedang
pendek dalam kawasan sendiri sebagai symbol yang mana bukan sahaja harus
dipakai, malah mesti dihayati dengan tanggapan erti dan semangat pedang.Adat
memakai pedang ini menjadi teradat bagi anak lelaki yang tua yang menjadi
symbol pemegang waris. Hal ini dapat dilihat seperti contoh di bawah:
Nobutake tidak
pernah curiga atas keselamatan dirinya, terutama dalam kawasan Sasaki Kyori
sendiri.Tapi sebagai keturunan dari darah samurai asal Hikone yang jadi
kebanggaan Tokugawa, kelaziman memakai pedang dalam kawasan sendiri menjadi
teradat terutama bagi anak lelaki tertua, sebagai pemegang waris.Pedang pendek
itu hanya sebagai simbol, yang bukan saja harus dipakai, tetapi juga mesti
dihayati dengan tanggapan erti dan semangat jiwa pedang.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 14)
5.4 Adat
potong Rambut
Adat potong rambut hanya dilakukan oleh kaum
perempuan sahaja untuk menunjukkan bahawa mereka mahu berkahwin lain atau
menjadi janda seumur hidup. Pertama, jika seseorang wanita yang kematian suami
tidak mahu berkhawin lagi, maka dia harus memotong pendek rambutnya sebagai
tanda mahu menjadi janda seumur hidup. Kedua, jika wanita tersebut mahu
berkahwin lagi, maka dia akan membiarkan rambutnya panjang sebagai tanda
bersedia berkahwin.Hal ini dapat dibuktikan dalam novel Sakura Mengorak Kelopak seperti contoh di bawah:
“Andai kata saya
terima mayat suami saya dengan baik, ya, saya jadi janda yang normal.Ertinya
dalam adat kami, saya ada dua pilihan secara rasmi.Pertama, saya nyatakan tidak
mahu kahwin lagi dan untuk itu, saya mesti potong pendek rambut saya, sebagai
tanda pengumuman bahawa saya mahu jadi janda seumur hidup.Kedua, saya bersedia
untuk kahwin lagi dan dalam hal ini saya akan biarkan rambbut saya panjang
sebagai pengumuman bahawa saya bersedia kahwin”.
(Sakura Mengorak Kelopak:
66)
Seterusnya, konsep pandangan hidup merupakan
satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan
terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu
sistem nilai yang tertentu.Konsep pandangan hidup menurut
pandangan sarjana Islam, iaitu Syed Naqiub al-Attas (1972) pandangan hidup
mestilah bersumberkan islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu,
dari perspektif Islam, pandangan hidup ialah pandangan tentang realiti atau
hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.
Namun,
dalam novel Sakura Mengorak Kelopak banyak
menceritakan atau menerangkan permasalahan yang berkaitan dengan manusia dan
alam. Pandangan hidup tentang manusia dapat diperincikan kepada tiga bahagian
iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat.
5.5 Kesetiaan
Isteri kepada Suami
Berdasarkan novel Sakura Mengorak Kelopak, para isteri masyarakat Jepun harus
menunjukkan sepenuhnya taat setia mereka kepada suami walaupun mereka menyedari
suami mereka melakukan perbuatan yang tidak elok seperti curang secara
tersembunyi atau terang-terangan. Hal ini dapat diterima oleh semua kaum
perempuan masyarakat Jepun dan mereka juga tidak mempunyai hak untuk menahan
suami meraka keluar atau bersama perempuan lain.
Bukan itu sahaja, menurut tradisi wanita Jepun, mereka tidak
berasa khuatir suami mereka bersama dengan perempuan lain kerana mereka
menganggap bahawa suaminya mereka akan tetap ada bersama mereka. Hal ini
berlaku adalah disebabkan kaum lelaki masyarakat Jepun tidak boleh berkahwin
lebih daripada satu iaitu berkahwin lagi selepas adanya isteri di sisi. Hal ini
dapat dibuktikan seperti ayat dibawah iaitu percakapan antara Michiko dengan
ayahnya.
“Memang tidak Papa!”
suara Michiko seakan memberi jaminan. “Agama mereka melarang perbuatan begitu,
pergi ke perempuan lain. Tidak boleh ada dua atau tiga bini.Tapi mereka lakukan
juga.Saya mahu buat apa suami begitu?”
(Sakura Mengorak Kelopak:
66)
Oleh itu, kaum wanita masyarakat Jepun
membiarkan kecurangan suami mereka seperti membutakan mata dan memekakkan
telinga. Mereka harus mentaati suami mereka walau apa pun yang berlaku. Hal ini
dapat dilihat apabila seorang isteri yang betul-betul taat kepada suaminya
sehinggakan mereka menyediakan tempat tidurnya sendiri untuk diberikan kepada
perempuan yang dibawa suaminya masuk ke rumah.
Bukan itu sahaja, isteri yang sah tersebut
mesti setia menunggu di luar pintu, duduk atau berdiri secara senyap dan diam
sebagai persediaan sebarang kerja yang akan diarahkan oleh suami bagi
kesenangannya dengan perempuan yang dibawanya tidur. Hal ini dapat dibuktikan
seperti ayat di bawah:
…si isteri mesti
setia kepada suaminya, menyediakan tempat tidurnya sendiri, untuk diberikan
kepada perempuan yang dibawa suaminya masuk ke dalam rumah.Dan isteri yang sah
itu mesti setia menunggu di luar pintu, duduk atau berdiri diam-diam, untuk
segera melakukan kerja yang diarahkan oleh suaminya bagi kesenangannya dengan
perempuan yang dibawanya tidur itu.”
(Sakura Mengorak Kelopak:
118)
5.6 Pegangan
Etika Moral Masyarakat Jepun
Pegangan etika moral masyarakat Jepun adalah
sangat bercanggah dengan peraturan agama Islam bagi masyarakat Islam, namun
bagi mereka masyarakat Jepun, mereka khususnya kaum wanita di sana menerimanya
sebagai peraturan kehidupan yang dapat diterima oleh semua. Mereka memegang
etika moral ini dengan dua tujuan iaitu tujuan pertama adalah bagi menjaga air
muka roh nenek moyang mereka. Kedua adalah bagi menjaga maruah atau air muka
orang yang hidup iaitu merangkumi lingkungan keluarga, lingkungan jiran atau
Tonarigumi, linkungan masyarakat, dan sebagainya.
Keadaan ini dibuktikan oleh Michiko kepada
Atan kenalan yang ditemuinya di dalam pesawat ke Kyoto. Michiko menjelaskan
konsep etika moral kepada Atan dengan membuka pakaiannya sebelum pergi mandi
dengan berkeadaan berbogel di hadapan Atan. Menurut Michiko, berkeadaan
sedemikian tidak melanggar etika moral dalam masyarakat mereka. Hal ini adalah
disebabkan oleh Michiko berbogel di tempat tertutup atau dalam rumah di
tengah-tengah keluarga sendiri adalah tidak melanggar hukum etika moral.
Maksud di tengah-tengah keluarga sendiri
adalah ahli keluarga sendiri, suami, isteri, dan juga termasuk orang lain iaitu
orang yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri. Hal ini dapat
dibuktikan melalui percakapan Michiko dengan Atan di apartmen Michiko sewaktu
Michiko mahu Atan sebagai kawan menemaninya yang dalam kesedihan buat sementara
waktu. Contohnya adalah seperti berikut:
“Ini salah satu daripada
kriteria etika moral dalam konsep malu itu,” kata Michiko.“Telanjang dalam
tempat tertutup atau dalam rumah di tengah-tengah keluarga sendiri, tidak
melanggar etika moral.”
(Sakura Mengorak Kelopak:
114)
6.0
Konsep Nilai Ilmu Dalam Sakura Mengorak
Kelopak
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010),
perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu, dan taraf. Dalam bidang
sains sosial menurut Mohd Rashid (2011), nilai atau value boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama iaitu sebagai
menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai
ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga dapat
diistilahkan sebagai ‘Al-Qimah’ dalam
bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan
pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan
falsafah nilai.
Nilai
membolehkan manusia membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang
buruk dan yang betul dengan yang salah.Oleh hal yang demikian, nilai bukan
sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar
atau atau asas dalam menerima atau menolak dalam sesuatu perlakuan
manusia.Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh terlepas daripada
peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat.Hal
ini demikian kerana masyarakat Melayu amat mementingkan nilai dalam kehidupan
untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai dalam masyarakat Melayu dapat
dipupuk melalui dua cara iaitu formal dan tidak formal.
Seri
Lanang Jaya et. al (2013) menyatakan
bahawa nilai dan etika masyarakat berkait rapat dengan perkara yang mempunyai
nilai yang tinggi dari aspek kebenaran, kebaikan, dan keindahan yang sangat
sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu
seluruh Nusantara. Ketinggian dan kesucian nilai dan etika berdasarkan pengaruh
agama Islam itu sendiri telah memberi kesan yang sangat besar terhadap akal
budi Melayu sehingga hari ini.
Manakala,
ilmu pula bermaksud pengetahuan mengenai perkara dunia, akhirat, zahir, batin,
dan sebagainya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Oleh itu, ilmu
dikatakan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan usaha menyebarkannya dalam
bentuk maklumat kepada orang lain. Maklumat yang disebarkan itu mengandungi
pelbagai fungsi seperti untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan merungkaikan
segala kemusykilan.
6.1 Nilai Ilmu yang Terdapat dalam Sakura Mengorak Kelopak
Dalam menganalisis karya moden kali ini, Arena
Wati telah menyelitkan beberapa nilai ilmu dalam karyanya yang bertajuk Sakura Mengorak Kelopak. Berbeza dengan
novel lain, Arena Wati telah menyelitkan nilai-nilai ilmu yang lebih
mengfokuskan ke arah negara Timur iaitu negara Jepun. Antara nilai-nilai ilmu
yang dapat diketengahkan berdasarkan novel Sakura
Mengorak Langkah ialah nilai ilmu pendidikan, ilmu perniagaan, ilmu
pertanian, ilmu firasat, ilmu mantera, ilmu perikanan, dan ilmu keagamaan.
6.1.1
Ilmu Perniagaan
Ilmu
perniagaan telah lama wujud sejak zaman Nabi Adam sehinggalah zaman keemasan
pemerintah Islam yang menggariskan tentang halal haram sesuatu perniagaan di
dalam khazanah ilmu yang terdapat di dalam kitab-kitab semasa zaman Abbasiah. Jadi,
tidak hairanlah ilmu ini telah berkembang pesat sehingga ke pelusuk dunia.
Arena Wati telah menggambarkan ilmu perniagaan dalam novel Sakura Mengorak Kelopak dengan menceritakan bahawa Sasaki Nabutake
seorang yang bekerja keras dalam mengumpul harta di mana beliau telah
memulihkan perusahaan Sasaki sebagai jurubina dan kontraktor dan sekaligus
memasuki bidang hartanah. Hal ini dapat dibuktikan pada muka surat 18.
“Di sinilah Nabutake mulai bekerja keras,
menggunakan bekas tentera yang masih hidup dan pernah dipimpinnya. Dia
memulihkan perusahaan Sasaki sebagai jurubina, kontraktor dan sekaligus
memasuki bidang hartanah. Dasar MacArthur membangun kembali Jepun dengan
mengenakan cukai pembangunan yang terlalu tinggi menyebabkan ramai pemilik hartanah di Jepun, terutama
di Tokyo tidak mampu membayar cukai lalu menjual tanah mereka.”
(Sakura Mengorak Kelopak : 18)
6.1.2
Ilmu
Pertanian
Sektor
pertanian sememangnya merupakan salah satu sektor yang terpenting bagi setiap
negara. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara
negara-negara membangun dan negara-negara maju.Berdasarkan novel yang dikaji,
Arena Wati turut menyelitkan ilmu pertanian dalam kalangan masyarakat
Jepun.Sektor pertanian merupakan sektor yang kurang diceburi dalam masyarakat
Jepun.Hal ini dapatdibuktikan pada muka
surat 25.
“Dalam masyarakat Jepun yang dianggap pada dasarnya
masih banyak bergantungan pada pertanian dengan menggunakan tanah lima setengah
juta hectare, hanya 13% rumah tangga Jepun yang terlibat dalam sektor
pertanian.”
(Sakura Mengorak Kelopak: 25)
6.1.3
Ilmu
Pendidikan
Pendidikan
adalah hal terpenting dalam kehidupan seseorang. Melalui pendidikan, seseorang
akan dipandang tinggi, memiliki kerjaya yang baik serta dapat bertingkah-laku
sesuai dengan norma-norma yang berlaku. Ilmu pendidikan juga turut diselitkan
dalam novel yang dikaji iaitu novel Sakura
Mengorak Kelopak. Dalam novel ini, Arena Wati menceritakan Nabutake pada
zaman remajanya merupakan seorang pelajar yang berkelulusan dari High School di Tokyo, namun pencapaianya
tidak cukup untuk beliau menyambung pembelajarannya ke Tokyo Imperial
University. Oleh kerana Nobutake merupakan seorang anak dari hartawan, Nobutake
telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Waseda sehingga beliau lulus dalam
kelulusan Kejuruteraan Awam. Hal ini dapat dibuktikan pada muka surat 17 hingga
18.
Pada zaman remajanya, Nonutake lulus dari High
School Di Tokyo, tetapi pencapaiannya tidak cukup untuk masuk ke Tokyo Imperial
Uiversity. Bukan salahnya semata-mata.Ini tergantung pada sikap ayahnyasendiri
yang terlalu banyak mengambil masa Nobutake untuk melibatkannya dalam urusan
perniagaan. Tetapi, sebagai anak orang kaya, Nobutake mudah masuk ke Universiti
Waseda, dan di sana dia lulus Kejuruteraan Awam pada tahun 1936.
(Sakura Mengorak Kelopak :17-18)
Berdasarkan
rangkap di atas, dapat dibuktikan sememangnya orang Jepun begitu mementingkan
ilmu pendidikan.
6.1.4
Ilmu
Firasat
Menurut
Kamus Dewan (2010), firasat bermaksud pengetahuan mengenai tanda-tanda pada
muka, badan, dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang.
Tilikan atau ramalan ahli nujum juga antara contoh ilmu firasat. Menurut
Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat, atau
mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang berlaku. Melalui ilmu firasat juga
seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, hari,
atau ketika. Umumnya, ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat
tilik nasib, firasat mimpi, dan firasat terhadap binatang. Contoh ilmu firasat
dalam novel Sakura Mengorak Kelopak
ialah:
“Michiko-san langsung dari fakulti?” Tanya Nobutake.
“Maafkan saya kalau terpaksa mengambil waktumu hari ini.” Michiko senyum dan
geleng kepala, “Langsung dari rumah!”“Ya, sekali lagi maafkan saya yang tua
renta ini, Michiko-san, sebab saya rasa beg fakultimu telah bercerita banyak
kepada saya sekarang, bahawa kau datang ke Sasaki Kyori sebagai suatu tugas
yang kau samakan dengan kerjamu di fakulti.”
(Sakura Mengorak Kelopak: 31)
Berdasarkan
petikan yang dinyatakan di atas, dapat dibuktikan bahawa Nobutake berpendapat
atau berfirasat bahawa Michiko telah menyamakan tugasnya di fakulti dengan
kehadiran dirinya ke Sasaki Kyori.
6.1.5
Ilmu
Keagamaan
Ilmu
keagamaan juga cuba digambarkan oleh Arena Wati dalam novel Sakura Mengorak Kelopak. Ilmu keagamaan
yang cuba ditonjolkan ialah ilmu keislaman. Bagaimana seorang lelaki muslim
iaitu Atan menerangkan adat perkahwinan mengikut cara Islam kepada seorang wanita
Jepun yang beragama Buddha iaitu Michiko. Hal ini dapat dibktikan pada rangkap
di bawah:
“Kaum wanita kami lebih beruntung, dibandingkan
wanita Nihon. Dalam hal ini, norma kami terbahagi dua. Pertama, isteri yang
kematian suami.Kedua, isteri yang bercerai dengan suami.” “Bagaimana itu?Yang
pertama dulu.” “Isteri yang kematian suami, boleh kahwin dengan lelaki lain,
kalau dia mahu, dengan syarat kena melalui tempoh selama setahun. Tujuan tempoh
setahun tersebut ialah untuk memastikan bahawa tidak ada lagi kandungan dalam
rahimnya hasil dari percampuran dengan
suaminya sebelum suami itu meninggal dunia.
(Sakura Mengorak Kelopak: 112)
7.0 Teknik Kepengarangan
Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al ( 2014 ), kepengarangan dianalisis daripada pelbagai aspek keperibadian
yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang
pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang
pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta
sifat keperibadian masing-masing.
Keindahan dapat dilihat daripada pembentukan tekstual dan kontekstual ,
terutamanya aspek kebahasaan juga ( Mana Sikana, 2007 ).
Dalam karya yang dikaji iaitu Sakura Mengorak Kelopak karya Arena
Wati, terdapat beberapa teknik kepengarangan yang diperoleh berdasarkan hasil
pembacaan. Teknik kepengarangan ini telah digunakan di sepanjang jalan cerita
novel tersebut. Antara teknik kepengarangan yang terdapat dalam novel Sakura Mengorak Kelopak ialah:
7.1
Teknik Penceritaan
Teknik penceritaan merupakan salah satu cara atau
kaedah seseorang penulis menyampaikan
cerita dalam karya mereka. Dalam teknik ini, terdapat beberapa teknik
penceritaan yang biasa digunakan oleh penulis.Menurut Sulaiman Masri et al ( 2006 ), teknik penceritaan yang
biasa termasuklah teknik dialog, monolog dalaman, monolog luaran, pemerian dan
sebagainya. Dalam novel Sakura Mengorak
Kelopak, teknik penceritaan yang digunakan adalah seperti yang berikut:
7.1.1
Teknik pemerian
Pemerian merupakan teknik yang paling tua dan paling
banyak digunakan oleh penulis dalam karya-karya mereka. Melalui teknik ini,
penulis telah bercerita secara langsung tentang apa sahaja sama ada peristiwa
atau keadaan, watak dan perwatakan atau latar cerita dalam karya tersebut.
Dalam novel yang dikaji, contoh teknik pemerian yang terdapat adalah seperti
yang berikut:
Contoh ayat 1:
Panas lembap awal Julai dengan curahan hujan yang
mula merosot menjelang kemuncak musim panas di Tokyo, menggerakkan thermometer
naik ke angka tiga puluh darjah celcius.Daun-daun mencapai puncak
kesuburannya.Angin Tenggara dari Pasifik mengalir sepoi basah. Suara burung
mencicik tingkah-bertingkah, berpasangan, bertenggek mematuk ulat dahan,
melayang, menyambar serangga dalam sebuah taman yang luas. Tubuh-tumbuhan
merimbun dengan ranting baru yang menjulur dari bekas cantasan bulan November.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 11)
Contoh ayat 2:
Sikapnya terbuka, peramah tapi hormat kepada orang,
dan dengan kegemarannya sendiri, Ariyoshi sanggup membuang masa sehari penuh,
kalau ada pelanggannya dari Indonesia atau Malaysia, dan dilayannya berbual
dengan bahasa Melayu yang lancar.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 101)
Berdasarkan contoh ayat 1, pemerian yang
digunakan oleh penulis ialah pemerian tentang keadaan di Tokyo. Dalam hal ini,
penulis telah menceritakan suasana pada waktu itu dengan mengaitkan tentang
cuaca panas, hujan, tumbuh-tumbuhan dan haiwan iaitu burung. Manakala bagi
contoh ayat 2 pula, penulis telah membuat pemerian tentang perwatakan bagi
watak Osaragi Ariyoshi yang merupakan seorang yang bersikap terbuka,
hormat-menghormati dan seorang yang melayan pelanggannya dengan baik.
7.1.2
Teknik dialog
Dialog pula merupakan percakapan watak dengan watak
dalam cerita yang melibatkan dua watak atau lebih yang akan berbalas kata.
Melalui teknik ini, penulis menyampaikan cerita secara tidak langsung pembaca
dapat mengetahui sesuatu peristiwa, watak dan perwatakan serta latar belakang
dialog. Contohnya :
“
Tentu papa marah pada perempuan itu?”
“
Mama juga marah.”
“
Nah, kalau papa marah, dan mama juga marah kepada perempuan itu, kenapa mereka
bertengkar tentang perempuan itu?”
“Papa
berkeras , mahu perempuan itu dibunuh.”
(Sakura Mengorak Kelopak: 153)
Berdasarkan dialog di atas, ia merupakan
dialog antara Kenji dengan isterinya yang berbual tentang ibu bapanya yang
bertengkar disebabkan oleh peristiwa Michiko yang bertindak tidak menerima
mayat suaminya.
7.1.3
Monolog dalaman
Monolog dalaman merupakan percakapan di dalam minda
atau fikiran watak dengan dirinya sendiri.Ia tidak mengeluarkan suara.
Sesetengah penulis menggunakan akan menggunakan tanda pengikat kata, terdapat
juga yang tidak menggunakan pengikat kata. Monolog dalaman yang terdapat dalam
novel ini ialah:
‘Kenapa
suamiku berubah?’ dia bertanya dalam hati, dan mencari liku-liku persoalan
itu.‘ kenapa dia tidak berterus terang?’
(Sakura
Mengorak kelopak: 46)
Dalam ayat ini, Michiko bertanya dalam
hatinya tentang sikap suaminya yang telah berubah.Dia tertanya-tanya sebab
berlakunya sedemikian.Dia juga tertanya tentang sebab suaminya yang tidak
berterus terang itu.
7.1.4
Teknik Imbas Muka
Imbas muka merupakan bayangan peristiwa yang akan
berlaku . Biasanya ia wujud dalam fikiran atau minda watak dalam cerita sama
ada dalam bentuk angan-angan atau jangkaan watak itu. Contohnya:
“Barangkali
saya dituduh perempuan tidak berguna, tidak dapat anak. Barangkali mereka tuduh
saya tidak boleh beranak, lalu suami saya mengambil perempuan lain.”
(Sakura Mengorak Kelopak: 57)
Ayat di atas menunjukkan bahawa penulis telah
menggunakan teknik imbas muka yang digunakan dalam watak Michiko. Dalam hal
ini, Michiko telah membayangkan sesuatu yang terjadi pada masa akan datang yang
dia sendiri bimbang sekiranya masyarakat menuduhnya sebagai seorang perempuan
yang tidak berguna akibat tiada anak.
7.1.5
Teknik Imbas Kembali
Menurut Rahman Shaari (2002), imbas kembali merujuk
kepada bahagian cerita yang mengisi kejadian atau kejadian-kejadian pada masa
silam. Teknik ini merupakan teknik penceritaan semula sesuatu peristiwa yang
pernah berlaku pada masa lepas.Ia diimbas secara langsung melalui pemerian
penulis atau secara tidak langsung melalui pemikiran atau dialog watak.
Contohnya :
“Saya tahu,
papa,” suaranya lebih tegas, dan sungguh-sungguh mahu meyakinkan ayahnya.Tapi
Michiko tidak mahu berterus-terang, bahawa empat bulan pertama dari
perkahwinannya, dia sudah buang kandungan dua bulan dari dalam rahimnya, sebab
dia belum bersedia menjadi ibu, dalam keadaan hidupnya seperti itu.Dia bekerja
di Tokyo, sibuk dalam kampus dan kegiatan kemasyarakatan, dan suami jauh nun di
Utara, di Aomori.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 58)
Imbas
kembali ini berlaku penulis ingin menceritakan semula tentang peristiwa yang
telah terjadi pada watak Michiko yang dahulunya Michiko telah hamil tetapi
digugurkannya disebabkan oleh dia sendiri tidak bersedia menjadi seorang ibu
dan keadaan hidupnya yang berasingan dengan suaminya. Bagi Michiko, mendapat
anak di Tokyo begitu rumit, dia sanggup membiayainya tetapi tidak mudah untuk
menjaganya.
7.1.6 Teknik saspen
Teknik saspen merupakan keadaan tegang atau cemas
dalam sesuatu peristiwa. Ia dapat dirasakan oleh pembaca atau watak dalam
cerita yang mengalami peristiwa berkenaan. Keadaan cemas itu telah mewujudkan
pelbagai andaian.Contohnya:
“ Dalam pakaian begini,
Michiko-san?” “Kenapa?”Michiko hairan. “Saya selalu dalam yukuta kalau pulang
ke Aomori. Kecuali dalam musim dingin!” “Tapi ini terlalu, Michiko-san!”“Apa
maksudmu?” “Kenapa tidak pakaian berkabung?”
(Sakura
Mengorak Kelopak: 47)
Dalam
situasi dialog di atas merupakan dialog antara Michiko dengan pemandu teksi. Di
sini telah wujudnya unsur saspen di mana Michiko sendiri berasa hairan terhadap
apa yang diperkatakan oleh pemandu teksi tersebut. Apatah lagi apabila pemandu
teksi tersebut menyatakan pakaian yang dipakai oleh Michiko itu keterlaluan dan
bertanya kepada Michiko sebab tidak memakai pakaian untuk berkabung.
7.1.7 Teknik
Penerangan
Di dalam novel ini, teknik penerangan yang digunakan
oleh pengarang adalah untuk menerangkan kepada sesuatu perkara yang merujuk
kepada sesuatu perkara.. Penerangan ini diguanakan bagi memudahkan pembaca
mudah memahami dan mengetahuiakan sesuatu perkara. Teknik penerangan yang
digunakan secara langsung dapat menarik perhatian pembaca untuk mengetahui
sesuatu perkara itu. Contohnya :
Contoh ayat 1:
Tempat
ini dapat nama julukan semenjak tahun lima puluhan dengan nama Sasaki Kyori (Kyoori),
yang dapat diertikan dalam tiga makna, iaitu kampong kediaman Sasaki, hati
nurani Sasaki dan ajaran hidup Sasaki.
(Sakura
Mengorak kelopak: 11)
Contoh ayat 2:
Bagi
orang asing yang kurang memahami akar kata dalam bahasa Jepun dan tidak
mengetahui tulisan kanji secara matang, perkataan ini bukan saja membawa erti
tiga serangkai seperti yang disebut di atas, tetapi juga boleh mengelirukan
kalau-kalau semata-mata membaca huruf Latinnya, kerana kata kyōri dengan ‘o’
panjang, dengan kyōri dengan ‘o’ pendek sudah membawa dua erti yang baru.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 12)
Melalui
contoh ayat 1 di atas, penulis ingin menerangkan tentang nama tempat Sasaki
Kyori yang diertikan dalam tiga makna, iaitu kampung kediaman Sasaki, hati
nurani Sasaki dan ajaran hidup Sasaki.Manakala bagi contoh ayat 2 pula, ianya
ingin menerangkan tentang penggunaan perkataan kyōri iaitu kyōri dengan ‘o’
panjang, dan kyōri dengan ‘o’ pendek yang membawa dua maksud yang berbeza.
7.2 Menggarap
Corak Penulisan dengan Menggunakan Pelbagai Pengaruh Bahasa.
Bagi novel Sakura
Mengorak Kelopak, terdapat banyak penggunaan bahasa yang telah digunakan.
Bahasa-bahasa yang digunakan adalah seperti berikut :
7.2.1
Pengaruh Bahasa Jepun
Bahasa Jepun telah digunakan pada permulaan bab
dalam penceritaan .Bahasa Jepun juga digunakan di dalam novel ini sebagai
sesuatu yang menunjukkan identiti orang Jepun itu sendiri. Dalam hal ini,
terdapat beberapa contoh yang menunjukkan penggunaan bahasa Jepun iaitu:
Begitu
sederhana, memasuki sabishisa
setelah Nobutake-san melampaui suatu peringkat waboku, dan di sini Nobutake –san tiba kepada ruang yang tidak
mudah dicapai oleh kebanyakan orang, nikat dalam kesepian dan kita damai dengan
diri kita sendiri.
(Sakura Mengorak Kelopak: 21)
Penggunaan perkataan Subishisa dan Waboku merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Jepun.
Perkataan-perkataan ini mempunyai maksud yang tertentu.Dalam hal ini, Subishisa
membawa maksud tenang dalam kesepian menyendiri, bening atau sunyi manakala
waboku bermaksud kesimpulan yang tenteram, kepastian fikiran untuk bertindak
secara mutlak.
7.2.2
Pengaruh Bahasa Arab
Selain itu, bahasa Arab juga terdapat di dalam novel
ini. Bahasa Arab ini digunakan setelah Michiko memasuki agama Islam. Contohnya
:
Atan
mengangguk dan berkata, “Cuba ulang ucapan pendek dalam sujud itu, Chiko Chan”
“ Subhana Rabbil A’ala wa Bihamdih.” Michiko
mengulang tiga kali.
(Sakura Mengorak Kelopak: 167)
Dalam contoh ayat di atas, Michiko telah
menyebut ucapan pendek yang perlu dilafazkan ketika dalam sujud setelah diminta
oleh Atan.
8.0 Kesenian bahasa
8.1 Definisi Retorik
Menurut
Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris, retorik merupakan satu seni gaya
penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu
individu yang berada dipersekitarannya. Aristotle menyatakan bahawa retorik
adalah seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik,
kaedah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan (Abu Hassan
Abdul & Mohd Rashid Md Idris,2010: 1-2). Orang Melayu lebih cenderung untuk
menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding
isi yang ingin disampaikan.Orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada
genre bagi mencapai sesuatu maksud. Mohd Affandi Hassan menyatakan bahawa apa
juga usaha bagi menarik minat penonton misalnya penglipur lara, Tok Selampit,
dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita cerita tambahan , penggunaan
suara dan sebagainya sebagai elemen retorik.
Pendekatan
retorika menggunakan asas pemujukan sebagai elemen penting sesuatu
penulisan.Kemampuan penulis menggarapkan isi serta mesej penulisannya terletak
kepada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran analitis-logikal dan
kemahiran menulis yang dimiliki oleh penulis.Kesemua elemen ini dirangkumkan
dalam perenggan-perenggan penulisan. Antara contoh retorika yang digunakan
dalam novel Sakura mengorak kelopak karya
Arena Wati ini ialah retorik penerangan, retorik pendedahan, dan retorik
pemerian,.
8.1.1
Retorik
pemerian
Retorik
pemerian membawa erti penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian
mengenai sesuatu idea.Dalam penulisan jenis ini, tujuan penulis adalah untuk
menggambarkan sesuatu.Sebagai contoh, misalnya penulis ingin memberikan
gambaran kepada pembaca tentang sesuatu pemandangan, kejadian, benda, atau
seseorang watak. Penulisan yang menggunakan mod ini memerlukan kemahiran
menggambarkan sesuatu perkara secara terperinci menggunakan imej dan
seumpamanya sama ada warna, bentuk, bunyi, bau dan lain-lain. Contoh retorik
pemerian yang terdapat dalam novel ini ialah seperti dibawah:
Badannya kian bulat dan mukanya sudah menjadi empat
segi, kepala sudah botak licin dan kakinya pengkar sudah tidak kuat berjalan
jauh, matanya sudah menggunakan cermin tebal.
(Sakura Mengorak Kelopak: 17)
Beranda
itu lebih luas. Sebahagian besar lantainya terletak di atas tasik, dan di depan
seberang sana, taman batu dan latar belakangnya rumpun bunga sebelum jalan
setapak membatasinya kepada rimbunan pohon-pohon maple dan pokok pine yang jadi
hutan kecil buatan manusia.
(Sakura Mengorak Kelopak: 30)
8.1.2
Retorik
penceritaan
Retorik
penceritaan pula merupakan satu bentuk penyampai melalui cerita, sama ada dalam
penulisan mahupun lisan. Ia juga menghubungkan beberapa siri peristiwa yang
berkaitan dalam satu plot yang logik. Contohnya dalam novel Sakura mengorak kelopak:
Sasaki Nobutake
mengarahkan disediakan minuman dan makanan ringan di Pavilion Tasik untuk enam
orang dan memberikannya sendiri lima nama tamu yang akan masuk menemuinya.
Nobutake juga meminta disediakan makanan siang untuk enam orang di Pavilion
Taman, bersama sake hangat dalam guci untuk menemani hidangan Jepun, dan wain
dari anggur Jepun sendiri untuk menemani makanan Barat.
(Sakura Mengorak Kelopak: 14)
8.1.3
Retorik
pendedahan
Dalam
novel ini juga terdapatnya retorik pendedahan. Tujuan retorik ini adalah untuk
memberi pemahaman kepada khalayak. Sehubungan dengan itu, sesuatu topik itu
perlu dihurai,disingkap dan ditunjukkan dengan jelas serta terperinci supaya
khalayak memahami topik yang diperkatakan. Dalam retorik ini, pengarang
berusaha memindahkan ideanya kepada khalayak secara berkesan. Kebiasaannya idea
yang menggunakan retorik ini berkaitan dengan definisi, konsep, istilah, fakta,
falsafah dan sebagainya.Contohnya:
Dalam masyarakat Jepun yang dianggap pada dasarnya
masih banyak bergantung pada pertanian dengan menggunakan tanah lima setengah
juta hektar, hanya tiga belas per sen rumah tangga Jepun yang terlibat dalam
pertanian. Tidak sampai setengah per sen yang terlibat dalam perhutanan dan
tidak sampai setengah juga yang bergantung hidup di laut sebagai
nelayan.Selebihnya buruh dalam pemerintah dan dalam swasta, dan saudagar kecil
dan besar.
(Sakura Mengorak Kelopak: 25)
Keluarga Nagai adalah bekas Daimyo sebelum zaman
Muromachi, berkuasa di Fukushima. Nenek moyang mereka dari Samurai yang
terbilang pada zaman Kamakura. Ketika Kamakura jatuh dan kekuasaan kembali ke
Kyoto dari tahun 1333 hingga 1573, Nagai kian meningkat, dan makin kukuh
kedudukannya di Fukushima itu.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 61)
8.2 Gaya Bahasa dalam novel Sakura Mengorak Kelopak
8.2.1
Skema
perulangan
Dalam
novel Sakura Mengorak Kelopak juga
terdapat penggunaan gaya bahasa skema perulangan iaitu polisindeton dan
anafora, paralelisme, dan epistrop. Polisindeton merupakan penggunaan kata hubung
yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa. Ia
juga digunakan bagi menunjukkan penekanan terhadap sesuatu maksud. Contoh dapat
dilihat dalam petikan novel di bawah:
Perkahwinan Jahid dan Mariana akan berlangsung hujung bulan Julai, dan Pamela bersama emaknya dan Jane dengan emaknya akan kembali ke
Kedah pada awal minggu keempat bersama Mariana.
(Sakura Mengorak Kelopak: 1)
Manakala
anafora pula bermaksud sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan perkataan
pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan
supaya memperoleh kesan tertentu.
Waktu saya mahu check in, saya jumpa Atan dan Saira di
lobi.Waktu itu Atan mahu buat
field-work mengkaji tanah pamah di tebing Danau Kasumigaura di Ibaraki, sebelah
Timur Laut Tokyo.
(Sakura Mengorak Kelopak: 6)
Generasi baru Barat sudah hilang haluan.Generasi baru Asia belum menemukan titik tolak untuk menentukan
haluan masa depannya.
(Sakura Mengorak Kelopak: 16)
Paralelisme
merujuk kepada salah satu asas dalam stilistik. Corbett dan Connors (1999:381)
menterjemahkan sebagai kesamaan struktur atau pasangan atau siri kata-kata,
frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan. Gaya ini mensejajarkan
beberapa ayat yang berpola sama. Contohnya dalam novel ini adalah seperti di
bawah:
Buah
kaki (persimmom)
atau pisang kaki, buah nashi (pear)
dan buah samak, sedang membesarkan
putik masing-masing, dengan makanan dari akar dan zat matahari dari daun, untuk
matang dan dipetik bulan September.
(Sakura Mengorak Kelopak: 39)
Manakala
skema perulangan jenis epistrop pula bermaksud sejenis perulangan kata-kata
yang sama atau kumpulan yang sama pada akhir klausa yang berturutan.
Pengulangan ini memberikan rima pada ayat dan memberikan penekanan khusus pada
elemen yang diulang.Contohnya :
“Kau tidak perlu malu.Keluarga kita tidak malu.
Mereka yang malu”
(Sakura
Mengorak Kelopak: 56)
8.2.2
Skema
pengguguran
Tujuan
penggunaan skema ini untuk memberi kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa.
Skema pengguguran yang terdapat dalam novel ini ialah asindeton. Asindeton
merujuk kepada pengguguran kata hubung antara siri-siri klausa yang
berhubungan. Contohnya :
Perempuan itu
mengandung, lalu pergi ke laut, berdua bunuh diri.
(Sakura
Mengorak Kelopak: 44)
8.2.3 Majaz pertautan
Majaz
pertautan bermaksud memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat
difahami dengan adanya hubungan dan petunjuk. Majaz pertautan yang terdapat
dalam novel Sakura mengorak kelopak ialahdisfemisme.
Desfemisme merujuk kepada kata-kata kasar untuk tujuan tertentu.Contohnya :
“Kau orang tidak
tahu adat!” Dan suara kasar itu memeranjatkan yang lain. “kau orang tahu,
hanya Harumi-san yang mengerti apa itu perang. Sekarang dia sudah mati.“Saya tahu kau orang semua
menghina aku, sebab menantuku hidup dengan perempuan
lain, dan bunuh diri di laut!Tapi salah keluargakukah itu?Salah anak
perempuankukah itu.Semua biadap!”
(Sakura Mengorak Kelopak: 42)
8.2.4
Majaz
perbandingan
Majaz
perbandingan juga terdapat dalam novel Sakura
mengorak kelopak. Misalnya seperti simile dan personafikasi. Simile
bermaksud mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan
kata seperti, ibarat, laksana, bagai,
umpama, bak, dan sebagainya. Contohnya:
Ikan-ikan dalam tasik ini seperti bercerita kepada saya, bahawa
mereka bahagia dalam pemeliharaan tangan yang kasih, dalam dunia hening syahdu
begini.”
(Sakura Mengorak Kelopak: 30)
Pengakuan ayahnya seperti pohon besar
tempat bernaung dari panas terik matahari, tenang dan teduh.
(Sakura Mengorak Kelopak: 56)
Personifikasi
pula merupakan sejenis gaya perbandingan iaitu penginsanan atau pemberian
ciri-ciri peribadi atau sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang,
tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, objek atau idea. Misalnya dalam petikan
novel seperti di bawah:
Tokyo
bukan sahaja melahirkan manusia,
tapi juga telah mencipta watak yang
menyimpang dari Jepun.
(Sakura Mengorak
Kelopak: 28)
“Sebab saya rasa beg fakultimu telah bercerita banyak kepada saya sekarang, bahawa
kau datang ke Sasaki Kyori sebagai suatu tugas yang kau samakan dengan kerjamu
di fakulti.”
(Sakura Mengorak Kelopak: 31)
8.2.5
Majaz
pertentangan
Penggunaan
pertentangan turut terdapat dalam novel
ini. Majaz pertentangan bermaksud bentuk bahasa yang mengemukakan makna yang
bertentangan dengan makna sebenarnya. Majaz pertentangan yang terdapat dalam
novel ini ialah hiperbola. Maksud hiperbola ialah untuk mencapai kesan
tertentu, iaitu suatu gaya bahasa yang mengandungi kebenaran yang
diperbesar-besar. pembaziran atau suatu cara yang melebih-lebihkan semata-mata.
Hiperbola juga boleh dikatakan sebagai perbandingan yang melampau. Contoh
petikan yang mengandungi unsur hiperbola dalam novel ini ialah:
Rasa simpati itu menebuk benteng hati
Michiko, dan dari lubang itu mengalir dan membuak keluar rasa sedih dan marah
yang terbendung, menjadi tangis yang mencurah terus-menerus hingga kering
empangannya dalam kolam sukma.
(Sakura Mengorak Kelopak: 56-57)
9.0 Kesimpulan
Secara
kesimpulannya, novel Sakura Mengorak Kelopak
karya Arena Wati ini merupakan sebuah karya yang mempunyai nilai kepengarangan
dan estetika yang tinggi.Arena Wati merupakan seorang sasterawan yang berjiwa
besar dan seorang intelektual.
Naratifnya sentiasa diilhami oleh matahati serta kalbunya yang luhur dan jujur.
Tenaga kepengarangan dan kreatifnya begitu perkasa dalam membisikkan
pemikiran inteleknya menerusi pelbagai genre sastera.Beliau berupaya mengangkat
semangat serta martabat bahasa dan kebudayaan Melayu Nusantara, dan
meletakkannya di atas singgahsana peradaban dunia.
Menerusi
novel Sakura Mengorak Kelopak ini,
Arena wati dengan jayanya mendedahkan stratifikasi masyarakat serta budaya
orang-orang Jepun. Segala gerak laku watak-wataknya dilukis dengan terperinci
sehingga pembaca dapat menyelami suasana kehidupan di negara Jepun tersebut.
Perkara yang paling menarik ialah dengan kehadiran watak-watak Melayu di
tengah-tengah pergolakan masyarakat industri di Jepun. Penulis amat bijak
mengambil latar belakang bangsa Jepun untuk menceritakan perjuangan sesuatu
bangsa, yang sudah tentu amat relevan dengan bangsa Melayu yang masih tenggelam
punca, mencari arah tuju dan mencari jati diri.
Arena
Wati merupakan antara sasterawan yang diasuh dan diajar oleh alam yang cukup
kuat kepekaannya.Arena Wati ialah seorang pelaut semula jadi dan sepanjang
hayat.Beliau singgah dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan. Beliau melihat
pelbagai fenomena kehidupan, lalu dijelmakan dalam tulisannya. Namun demikian, Arena
Wati bukan sahaja diajar oleh gelombang laut namun berada dalam kancah
nasionalisme dan sosiopolitik yang juga seperti ombak laut. Analogi pengalaman
beliau dapat dilihat melalui novel-novel beliau yang tidak terhafal judulnya
yang terlalu banyak termasuklah novel Sakura
Mengorak Kelopak ini. Beliau juga
merupakan seorang fenomenologis dan etnografis pelbagai budaya. Kepekaan
tanggapannya membolehkannya mengangkat fenomena "biasa" menjadi
naratif fenomena transcendental.